lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rosol Ulangi Gesaan Kerajaan Kembalikan Hukuman Rotan
Rosol Ulangi Gesaan Kerajaan Kembalikan Hukuman Rotan
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman rotan di sekolah sebagai langkah memperkukuh disiplin dan memulihkan matlamat sebenar sistem pendidikan negara. Rosol, yang juga bekas pendidik, menegaskan bahawa keseimbangan antara ganjaran dan hukuman amat penting dalam membentuk sahsiah serta akhlak pelajar. “Sebagai bekas guru, saya ingin mengulangi cadangan saya, kembalikan semula hukuman rotan di sekolah untuk tujuan mendidik,” tegas beliau ketika berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini. Menurutnya, konsep ganjaran dan hukuman bukan sahaja asas kepada pendidikan berimbang, malah selari dengan tuntutan agama yang menekankan nilai pengajaran dan penginsafan. “Bagi mereka yang berakhlak baik, kita beri penghargaan. Bagi yang bersalah, kita kenakan hukuman. Prinsip ini juga dianjurkan oleh agama,” ujarnya. Dalam masa sama, Rosol turut menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju pendidikan negara yang disifatkan semakin tersasar daripada usaha membentuk insan yang sebenar. “Saya setuju dengan cadangan (Ahli Parlimen) Muar untuk memasang CCTV di sekolah, tetapi ia tidak mencukupi jika pendidikan kita tidak menjurus kepada usaha memanusiakan manusia,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa matlamat utama pendidikan bukan sekadar mencapai kecemerlangan akademik, sebaliknya untuk melahirkan insan yang berakhlak, bertanggungjawab dan mampu menghadapi cabaran masa depan. “Saya lihat pendidikan kita seolah-olah hilang arah. Ke mana sebenarnya kita mahu membawa pelajar-pelajar ini bagi menghadapi realiti kehidupan mendatang?,” soal beliau.
16 Oct 25
50
Projek Negeri Lain RM17 Bilion 'Lulus', LPT3 Masih 'Sangkut'
Projek Negeri Lain RM17 Bilion 'Lulus', LPT3 Masih 'Sangkut'
KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam menyeimbangkan jurang antara wilayah apabila projek pengangkutan di negeri lain terus diberi perhatian dalam belanjawan tahunan berbanding Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).  Menteri Besar Terengganu itu berkata, walaupun kos projek di negeri berkenaan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM17 bilion, ia masih diluluskan, sedangkan LPT3 yang amat penting kepada rakyat Terengganu dan Kelantan kekal 'tergantung'.  Beliau berkata, projek LPT3 telah diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion, namun akibat penangguhan demi penangguhan, anggaran kos kini meningkat kepada RM9.8 bilion. “Bagaimanakah pengagihan perbelanjaan ini dilaksanakan secara adil oleh Persekutuan terutama dalam menjadi pemacu pembangunan ekonomi bagi negeri yang masih kekurangan infrastrukturnya?.  “Walaupun kajian awal LPT3 sudah siap sejak Ogos 2022, projek ini masih tidak dimasukkan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.  “Ia kekal di peringkat Request for Proposal (RFP) sahaja, sedangkan manfaatnya sangat besar kepada 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan,” katanya pada sesi Perbahasan Belanjawan di Parlimen. Menurut beliau, kelewatan ini menunjukkan seolah-olah projek strategik Pantai Timur tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, berbeza dengan projek negeri lain yang terus mendapat peruntukan saban tahun tanpa gangguan. “Persoalannya, di mana keutamaan dan keadilan dalam pengagihan pembangunan negara?,” tegasnya. Untuk rekod, pada Mac 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk menampung kos projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dianggarkan berjumlah hampir RM17 bilion keseluruhan.  Manakala, projek LPT3 dilihat sebagai infrastruktur penting yang mampu membuka akses ekonomi baharu, mempercepatkan mobiliti logistik, dan merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan wilayah lain terus kekal tiada penyelesaian. 
16 Oct 25
1984
Ahmad Samsuri Urges Higher Budget Allocation for National Unity
Ahmad Samsuri Urges Higher Budget Allocation for National Unity
KUALA LUMPUR, October 16 – Kemaman Member of Parliament, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, has urged the government to significantly increase the allocation for the Ministry of National Unity to strengthen the nation’s social harmony agenda. Ahmad Samsuri said the move is crucial to ensure that national unity is truly prioritised as a pillar of national stability. The Terengganu Menteri Besar noted that although the ministry’s allocation has slightly increased compared to the previous year, the amount  approximately RM768 million remains the lowest among all ministries, which does not reflect the significance of the unity agenda. “We must elevate the role of this ministry as a key national agenda,” he stressed during the debate on the 2026 Supply Bill in the Dewan Rakyat today. In his speech, Ahmad Samsuri emphasised that all Malaysians aspire to live in a harmonious society that transcends religious, ethnic and socio-economic boundaries, which is a fundamental key to the country’s long-term stability and progress. He cited Sabah and Sarawak as prime examples of harmonious multicultural societies, where a far more diverse population lives peacefully without conflict. This, he said, should serve as a model for fostering national unity across the country.
16 Oct 25
44
Ahmad Samsuri Gesa Peruntukan Keharmonian Kaum Dinaikkan
Ahmad Samsuri Gesa Peruntukan Keharmonian Kaum Dinaikkan
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Perpaduan Negara secara ketara. Jelas Ahmad Samsuri ia bagi memastikan agenda perpaduan benar-benar diberi keutamaan sebagai tunjang kestabilan negara. Menteri Besar Terengganu itu berkata, meskipun peruntukan kementerian tersebut meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya, jumlahnya sekitar RM768 juta masih yang paling kecil dalam kalangan semua kementerian. “Kita wajar mengangkat peranan kementerian ini sebagai agenda penting negara,” tegasnya ketika membahaskan RUU Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam ucapannya, Ahmad Samsuri turut menekankan bahawa semua pihak mengimpikan sebuah Malaysia yang bukan sahaja merdeka, tetapi hidup dalam suasana harmoni merentasi agama, kaum, etnik dan latar belakang sosioekonomi. Beliau memberi contoh keharmonian di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepelbagaian etnik lebih besar berbanding Semenanjung, namun tetap hidup aman tanpa kekacauan. Perkara itu jelasnya adalah sesuatu yang wajar dijadikan teladan dalam usaha memupuk perpaduan nasional.
16 Oct 25
43
Warga Emas Terima Tanah Selepas Dua Dekad Menanti
Warga Emas Terima Tanah Selepas Dua Dekad Menanti
KUALA NERUS, 16 Oktober- Hasrat untuk memiliki tanah sejak 25 tahun yang lalu akhirnya tercapai buat seorang penduduk di sini apabila menerima borang 5A, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) hari ini. Che Wan Zainol Anuar Che Wan Ahmad, 60, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terkejut ketika menerima tanah berkenaan dalam penyerahan di Dewan Cendarawasih Pejabat Daerah Kuala Nerus yang disampaikan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. “Saya rasa seperti bermimpi kerana perkara ini sudah lama tiada khabar dan saya memang tidak menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki tanah. "Bukan sekadar sehelai borang, tapi inilah harapan, maruah dan impian yang tertanam sejak dulu.  “Sejujurnya saya tidak percaya apabila saya diserahkan surat untuk menerima borang 5A pada hari ini, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menunaikan janji manifesto,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis hari ini. Sementara itu, bagi penerima borang RTB Mengabang Bakong, Azhar Abdul Ghani Muhammad, 63 berkata, dia sangat terharu dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengembalikan semula tanah yang ditarik lebih dua dekad dahulu. “Hari ini salah satu hari paling gembira dalam hidup saya. Impian memiliki secebis harta untuk diri sendiri akhirnya termakbul. “Saya mewakili semua peserta yang terkilan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, ADUN Batu Rakit dan pejabat daerah kuala nerus,” tambah beliau. Dalam pada itu, menurut Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, seramai 219 penerima yang menerima tanah borang 5A hari ini dilarang menjual semula tanah itu dalam masa 10 tahun pertama. "Itu adalah syarat utama, kalau boleh usaha mendirikan rumah dan manfaatkan tanah tapak kediaman ini,” ujarnya.
16 Oct 25
77
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan komited memperkasakan institusi pondok sebagai teras pembinaan ummah di Terengganu, selaras dengan usaha menjadikan negeri ini maju, berkat dan sejahtera. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Noor Hamzah, berkata, kerajaan amat menghormati sumbangan tuan guru dan institusi pondok yang sejak dahulu menjadi benteng akidah, sumber kefahaman Islam dan medan lahirnya ulama serta pemimpin ummah. “Pondok merupakan institusi pendidikan tradisional yang telah lama menjadi teras kepada pembangunan  insan bahkan  telah melalui  jalur sejarah perjuangan hebat menghadapi penjajah inggeris.  “Dan beri kesedaran kpada rakyat untuk bangkit dengan agama serta memahami tentang kepentingan beragama bukan sahaja dalam hidup peribadi tetapi dalam seluruh aspek,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pondok Terengganu 2025 (SEPONDOK’ 25) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, data menunjukkan Terengganu kini mempunyai 62 buah sekolah pondok dengan 3,145 pelajar dan 406 tenaga pengajar, membuktikan kesinambungan sistem pendidikan Islam tradisional yang terus subur dan relevan. Tambahnya, penganjuran seminar ini menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu, dialog terbuka serta pengiktirafan kepada seluruh institusi pondok di negeri Terengganu.  Selain itu katanya, ia turut menjadi medan penyelarasan hala tuju bersama antara negeri, agensi dan semua pondok yang ada, ke arah memperkukuh kesinambungan generasi pelapis, keupayaan pengurusan, penambahbaikan fasiliti serta keperluan digitalisasi ilmu. “Kerajaan negeri mahu dan mengharapkan institusi pondok diperkasakan demi memartabat ekosisitem Pendidikan negara tanpa mengorbankan identity tradisinya. “Saya yakin jika pondok diberikan ruang bergerak secara strategik ia mampu jadi pusat pemikiran islam ketemporari, benteng menangani kefahaman yang sesat, liberal, sekuralisme dan berbagai-bagai ideologi yang ada pada hari ini menjadi pusat latihan kepimpinan komuniti dan juga sebagai pusat rujukan kepada kehidupan ummah, insya Allah,” ujar Mohd Noor. Justeru itu, beliau turut menyeru agar seluruh pengurusan pondok di negeri ini terus berganding bahu dengan kerajaan dalam membangunkan Islam, sekaligus memastikan resolusi seminar memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan pondok pada masa hadapan. Program SEPONDOK’ 25 merupakan julung kali diadakan dan dapat menghimpunkan  penyertaan seramai 1,000 orang dari 41 pondok di negeri Terengganu.
16 Oct 25
158
Rakyat Mahu Pemimpin Berintegriti Bukan Kejar Pangkat
Rakyat Mahu Pemimpin Berintegriti Bukan Kejar Pangkat
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) komited membina kepimpinan negara yang berintegriti dan berasaskan nilai Islam, sebagai landasan utama dalam membawa perubahan besar kepada negara. Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beliau menekankan bahawa meskipun PN belum menguasai majoriti kerusi, usaha memperbaiki dasar dan sistem negara tetap diteruskan secara konsisten. “Insya-Allah, kami dari Perikatan Nasional akan berusaha untuk membuat perubahan dalam kebijakan negara. “Sedaya upaya, PAS memperkenalkan cara pemilihan Islam setiap calon dinilai dari segi ilmu, akhlak, perangai dan integriti sejak awal lagi,” katanya. Mengulas mengenai persoalan mengapa PN belum menamakan calon Perdana Menteri secara rasmi, beliau menjelaskan langkah itu diambil atas faktor keselamatan. “Orang tanya kenapa tak umum lagi calon Perdana Menteri? Sebab nak jaga keselamatan. Bila orang tahu dia bakal PM, macam-macam boleh berlaku disabotaj, difitnah, bahkan ada yang ditanam dadah atau emas dalam kenderaan,” ujarnya. Menurut Presiden PAS itu, perkara yang lebih utama ialah rakyat memilih pemimpin yang benar-benar berintegriti, bukan semata-mata kerana jawatan atau kedudukan. Beliau turut menegaskan bahawa PAS mempunyai jawatankuasa disiplin yang tegas, bukan hanya dalam hal parti tetapi juga merangkumi salah laku peribadi dan moral calon, bagi memastikan standard kepimpinan yang tinggi sentiasa dipertahankan. Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa PN akan terus berjuang membawa perubahan menyeluruh demi membina sebuah negara yang adil, amanah dan berpaksikan nilai Islam.
16 Oct 25
36
Rosol Persoal Tindakan MCMC, Desak Anwar Mohon Maaf Isu Subsidi Minyak
Rosol Persoal Tindakan MCMC, Desak Anwar Mohon Maaf Isu Subsidi Minyak
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahidbmenggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan tidak benar mengenai isu subsidi minyak RON95 untuk warga asing. Rosol dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah serius dan menuntut kejelasan daripada pimpinan tertinggi negara. “Sehingga hari ini, saya dan Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) masih menunggu permohonan maaf daripada Tambun yang menuduh kami kononnya menggalakkan pengagihan subsidi minyak kepada warga asing, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku,” tegas beliau. Dalam masa sama, Rosol turut mempertikai kecekapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa lambat bertindak menyiasat sumber maklumat fitnah berkenaan. “Saya nak tanya MCMC, sejauh mana siasatan dibuat? Sudah dua bulan berlalu, namun masih belum ada jawapan. Ini menunjukkan kelemahan dalam tindakan MCMC,” katanya lagi. Menurut Rosol, kegagalan kerajaan mengemukakan permohonan maaf walaupun sumber maklumat diragui memberi tanggapan negatif terhadap tatakelola pentadbiran negara. “Kalau sudah ada hasil siasatan, kita tunggu permohonan maaf daripada Tambun sebagai contoh kepimpinan berintegriti kepada rakyat,” katanya menutup ucapan.
16 Oct 25
47
SEPONDOK' 2025 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Institusi Pondok
SEPONDOK' 2025 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Institusi Pondok
Oleh : Nor Amira Amijudin KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Kehadiran lebih 80 warga pondok dari daerah Besut ke Seminar Pondok Terengganu 2025 (SEPONDOK ’25) di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini membuktikan kesatuan tekad institusi pondok dalam menyahut usaha kerajaan negeri memperkasa warisan keilmuan Islam. Rombongan yang disertai para asatizah, pengurus dan pelajar pondok dari pelbagai pusat pengajian di Besut itu turut diwakili oleh Pusat Tarbiah Nurul Iman, diketuai Adam Said. Menurut Adam Said, penganjuran SEPONDOK ’25 bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk memberi pendedahan kepada pengurus pondok tentang aspek pengurusan, kewangan dan hala tuju pembangunan institusi pondok agar terus relevan dan berdaya saing dalam dunia pendidikan Islam masa kini. “Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keprihatinan dan tanggungjawab yang ditunjukkan. "Program seperti ini membuka ruang kepada pondok-pondok untuk memahami cabaran sebenar dalam mentadbir, selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan,” jelasnya.  Tambah beliau lagi, program seperti SEPONDOK bukan sekadar medan ilmu, malah menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa dekat dengan institusi pondok bukan hanya dari segi bantuan kewangan tetapi juga dari sudut bimbingan, pengiktirafan dan pembangunan insan. “Harapan kami agar kesinambungan program seperti ini terus dipertingkatkan mungkin dengan bengkel susulan di peringkat daerah supaya manfaatnya lebih meluas. "Pondok adalah warisan ummah, ia perlu terus disokong agar cahaya ilmu tidak malap di bumi Terengganu,” katanya. Selain itu, penganjuran SEPONDOK ’25 dilihat sebagai platform strategik bagi mengukuhkan hubungan antara pondok dan kerajaan negeri, di samping memastikan legasi keilmuan Islam terus subur sebagai teras pembangunan masyarakat Terengganu Darul Iman.
16 Oct 25
19
UC TATI Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri Di Jepun
UC TATI Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri Di Jepun
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan negeri melalui University College TATI (UC TATI) telah mengadakan lawatan akademik ke Jepun pada 2 hingga 7 Oktober lalu sekali gus menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri peneraju pendidikan teknikal bertaraf global. Delegasi UC TATI yang diketuai oleh Rektornya, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bersama Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Satiful Bahri Mamat, mengadakan siri lawatan rasmi, perbincangan akademik serta libat urus industri di beberapa bandar utama Jepun termasuk Tokyo, Tsu (Mie Prefecture) dan Osaka. Kemuncak lawatan ialah kunjungan rasmi ke Mie University, sebuah universiti awam ternama yang diketuai oleh Presiden Prof. Dr. Masaaki Ito. Menurut Hairul, dalam sesi pertemuan tersebut, kepimpinan Mie University dan UC TATI mencapai persetujuan awal untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan, latihan teknikal, dan penyelidikan bersama, khususnya yang melibatkan Fakulti Pendidikan universiti berkenaan. “Perbincangan menjurus kepada keperluan membangunkan program pertukaran pelajar dan staf, pembangunan profesional tenaga pengajar TVET, serta perkongsian bahan rujukan dan modul pendidikan. “Delegasi turut berpeluang melawat Tadika Mie University, yang berfungsi sebagai pusat latihan guru prasekolah dan tapak penyelidikan pedagogi,” ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, pendekatan Jepun yang menekankan rasa ingin tahu dan disiplin sejak peringkat awal boleh dijadikan model untuk memperkukuh program Pendidikan Awal Kanak-kanak UC TATI dan kursus latihan guru di bawah fakulti kemanusiaan universiti tersebut. “Kita melihat nilai yang sama antara falsafah pendidikan Jepun dan prinsip pendidikan insan di UC TATI. Ia bukan hanya soal kemahiran, tetapi tentang membentuk keperibadian dan rasa tanggungjawab,” ujarnya. Mengulas lanjut, beliau berkata, delegasi turut berpeluang ke Suzuka KOSEN (National Institute of Technology Suzuka College), salah satu kolej teknikal paling berprestij di Jepun. “Di sini, rombongan meninjau fasiliti latihan mekatronik, kejuruteraan elektrik, dan sistem automasi yang menggabungkan pembelajaran berasaskan projek industri sebenar,” ujarnya. Katanya, model KOSEN memberi inspirasi kepada UC TATI untuk terus memperkukuh elemen TVET berasaskan industri (Work-Based Learning) serta memperluas program dual training dengan syarikat-syarikat strategik di Kemaman dan Kerteh. Sementara itu katanya, di Osaka pula delegasi UC TATI melanjutkan misi ke Japan Halal Association (JHA) badan utama yang diiktiraf oleh JAKIM Malaysia dalam pensijilan halal di Jepun. “Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam usaha memupuk kerjasama teknikal dan pembangunan kompetensi halal antara kedua-dua institusi. “JHA turut menyatakan kesediaan untuk membantu UC TATI dalam aspek latihan bahasa Jepun dan pemahaman konteks budaya tempatan bagi memperkukuh daya saing pelajar Malaysia yang berhasrat bekerja dalam sektor halal global,” ujarnya. Jelas beliau, hasil perbincangan di Mie University, Suzuka KOSEN dan Japan Halal Association serta pengiktirafan antarabangsa melalui International Halal Conference Osaka menunjukkan bahawa Terengganu kini berada di landasan tepat untuk menjadi model negeri berteraskan pendidikan, teknologi dan nilai Islam yang progresif.  
16 Oct 25
69