lightning-solid
Berita :
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
Rohayati Ripin
16 Oct 25
156

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan komited memperkasakan institusi pondok sebagai teras pembinaan ummah di Terengganu, selaras dengan usaha menjadikan negeri ini maju, berkat dan sejahtera.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Noor Hamzah, berkata, kerajaan amat menghormati sumbangan tuan guru dan institusi pondok yang sejak dahulu menjadi benteng akidah, sumber kefahaman Islam dan medan lahirnya ulama serta pemimpin ummah.

“Pondok merupakan institusi pendidikan tradisional yang telah lama menjadi teras kepada pembangunan  insan bahkan  telah melalui  jalur sejarah perjuangan hebat menghadapi penjajah inggeris. 

“Dan beri kesedaran kpada rakyat untuk bangkit dengan agama serta memahami tentang kepentingan beragama bukan sahaja dalam hidup peribadi tetapi dalam seluruh aspek,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pondok Terengganu 2025 (SEPONDOK’ 25) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, data menunjukkan Terengganu kini mempunyai 62 buah sekolah pondok dengan 3,145 pelajar dan 406 tenaga pengajar, membuktikan kesinambungan sistem pendidikan Islam tradisional yang terus subur dan relevan.

Tambahnya, penganjuran seminar ini menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu, dialog terbuka serta pengiktirafan kepada seluruh institusi pondok di negeri Terengganu. 

Selain itu katanya, ia turut menjadi medan penyelarasan hala tuju bersama antara negeri, agensi dan semua pondok yang ada, ke arah memperkukuh kesinambungan generasi pelapis, keupayaan pengurusan, penambahbaikan fasiliti serta keperluan digitalisasi ilmu.

“Kerajaan negeri mahu dan mengharapkan institusi pondok diperkasakan demi memartabat ekosisitem Pendidikan negara tanpa mengorbankan identity tradisinya.

“Saya yakin jika pondok diberikan ruang bergerak secara strategik ia mampu jadi pusat pemikiran islam ketemporari, benteng menangani kefahaman yang sesat, liberal, sekuralisme dan berbagai-bagai ideologi yang ada pada hari ini menjadi pusat latihan kepimpinan komuniti dan juga sebagai pusat rujukan kepada kehidupan ummah, insya Allah,” ujar Mohd Noor.

Justeru itu, beliau turut menyeru agar seluruh pengurusan pondok di negeri ini terus berganding bahu dengan kerajaan dalam membangunkan Islam, sekaligus memastikan resolusi seminar memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan pondok pada masa hadapan.

Program SEPONDOK’ 25 merupakan julung kali diadakan dan dapat menghimpunkan  penyertaan seramai 1,000 orang dari 41 pondok di negeri Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan