lightning-solid
Berita :
SEPONDOK' 2025 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Institusi Pondok
SEPONDOK' 2025 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Institusi Pondok
Rohayati Ripin
16 Oct 25
19

Oleh : Nor Amira Amijudin

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Kehadiran lebih 80 warga pondok dari daerah Besut ke Seminar Pondok Terengganu 2025 (SEPONDOK ’25) di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini membuktikan kesatuan tekad institusi pondok dalam menyahut usaha kerajaan negeri memperkasa warisan keilmuan Islam.

Rombongan yang disertai para asatizah, pengurus dan pelajar pondok dari pelbagai pusat pengajian di Besut itu turut diwakili oleh Pusat Tarbiah Nurul Iman, diketuai Adam Said.

Menurut Adam Said, penganjuran SEPONDOK ’25 bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk memberi pendedahan kepada pengurus pondok tentang aspek pengurusan, kewangan dan hala tuju pembangunan institusi pondok agar terus relevan dan berdaya saing dalam dunia pendidikan Islam masa kini.

“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keprihatinan dan tanggungjawab yang ditunjukkan.

"Program seperti ini membuka ruang kepada pondok-pondok untuk memahami cabaran sebenar dalam mentadbir, selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan,” jelasnya. 

Tambah beliau lagi, program seperti SEPONDOK bukan sekadar medan ilmu, malah menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa dekat dengan institusi pondok bukan hanya dari segi bantuan kewangan tetapi juga dari sudut bimbingan, pengiktirafan dan pembangunan insan.

“Harapan kami agar kesinambungan program seperti ini terus dipertingkatkan mungkin dengan bengkel susulan di peringkat daerah supaya manfaatnya lebih meluas.

"Pondok adalah warisan ummah, ia perlu terus disokong agar cahaya ilmu tidak malap di bumi Terengganu,” katanya.

Selain itu, penganjuran SEPONDOK ’25 dilihat sebagai platform strategik bagi mengukuhkan hubungan antara pondok dan kerajaan negeri, di samping memastikan legasi keilmuan Islam terus subur sebagai teras pembangunan masyarakat Terengganu Darul Iman.


Tag :

Artikel Berkaitan