KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahidbmenggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan tidak benar mengenai isu subsidi minyak RON95 untuk warga asing.
Rosol dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah serius dan menuntut kejelasan daripada pimpinan tertinggi negara.
“Sehingga hari ini, saya dan Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) masih menunggu permohonan maaf daripada Tambun yang menuduh kami kononnya menggalakkan pengagihan subsidi minyak kepada warga asing, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku,” tegas beliau.
Dalam masa sama, Rosol turut mempertikai kecekapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa lambat bertindak menyiasat sumber maklumat fitnah berkenaan.
“Saya nak tanya MCMC, sejauh mana siasatan dibuat? Sudah dua bulan berlalu, namun masih belum ada jawapan. Ini menunjukkan kelemahan dalam tindakan MCMC,” katanya lagi.
Menurut Rosol, kegagalan kerajaan mengemukakan permohonan maaf walaupun sumber maklumat diragui memberi tanggapan negatif terhadap tatakelola pentadbiran negara.
“Kalau sudah ada hasil siasatan, kita tunggu permohonan maaf daripada Tambun sebagai contoh kepimpinan berintegriti kepada rakyat,” katanya menutup ucapan.