lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

UC TATI Perkukuh Ekosistem Inovasi TVET, Selaras PITAS 2030
UC TATI Perkukuh Ekosistem Inovasi TVET, Selaras PITAS 2030
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Usaha Kolej Universiti TATI (UC TATI) memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal negeri Terengganu melalui lawatan akademik ke Jepun pada awal Oktober yang lalu disifatkan selari dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerana melalui pelan strategik negeri Terengganu itu antara perkara yang ditekankan adalah pembangunan modal insan berteraskan ilmu, teknologi dan nilai Islam. "Apabila pelajar TVET (pendidikan dan latihan teknikal) berupaya mencipta dan berinovasi, ia bukan sahaja memperkukuh UC TATI, tetapi juga membuka peluang eknomi baharu untuk rakyat Terengganu," katanya dalam satu kenyataan. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata apa yang bermakna delegasi Terengganu telah didedahkan dengan pengalaman Jepun dalam memupuk budaya 'Science driven innovation'. Dalam pada itu Satiful berkata, dalam kunjungan ke negara terbabit pihak UC TATI, Leave A Nest Japan dan Hadid Group yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). "Di mana 'Leave A Nest' akan menyediakan bimbingan dan akses kepada rangkaian inovasi Jepun, Hadid Group akan menyokong pembangunan industri dan komersialisasi produk pelajar. "Manakala UC TATI, akan berfungsi sebagai hub pelaksanaan program yang mengabungkan TVET dengan keusahawanan teknologi," katanya.  
21 Oct 25
26
Perkasa Institusi Pondok Dan Pengajian Turath
Perkasa Institusi Pondok Dan Pengajian Turath
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan institusi pondok dan pengajian turath sebagai benteng utama dalam melahirkan, membentuk akhlak serta jati diri generasi muda negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan di bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), termasuk pendaftaran, penyelarasan dan pemerkasaan semua institusi pendidikan Islam agar bernaung di bawah satu sistem tersusun. “Kita tidak mahu pengajian turath kita ini sampai satu masa berada dalam kemalapan. Antaranya adalah kehilangan tokoh-tokoh, guru-guru hebat yang perlu kita sediakan pelapis-pelapis untuk meneruskan kesinambungan ini dan juga kepada pelajar-pelajar serta minat mereka.  “Sebab itu kerajaan menubuhkan Pusat Tafaqquh Fi al-Din bagi melahirkan tenaga pengajar dalam bidang turath untuk berkhidmat di negeri ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian  ketika berucap dalam Program SEPONDOK’ 25 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, kelmarin.  Katanya, ilmu merupakan fardu ain yang wajib dipelajari oleh setiap individu. “Ia bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau lulus peperiksaan, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk nilai kemanusiaan dan akhlak yang mulia. “Apatah lagi mutakhir ini dengan isu-isu yang ada dalam pendidikan, isu rogol, bunuh, dan isu-isu akhlak. Jadi ini cukup membimbangkan ibu bapa dan kitalah, masyarakat kita bagaimana nilai akhlak yang makin hari makin orang panggil merudum,” ujar beliau. Satiful turut melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan minat pelajar dalam pengajian agama serta gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja. Justeru itu katanya, antara alternatif yang ada adalah pendidikan turath perlu diperkasakan sama untuk memberi keyakinan, kepercayaan kepada masyarakat akan terus melahirkan nilai muslim, rakyat jati diri tinggi untuk masa akan datang. Beliau menambah, sehingga kini lebih 145 institusi pondok dan maahad tahfiz telah berdaftar di bawah JPINT, dan kerajaan negeri akan terus memudah cara segala urusan melibatkan pentadbiran, pengurusan serta bantuan kewangan kepada institusi berkenaan. Menurutnya, walaupun berdepan kekangan kewangan, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam hal pendidikan, malah menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan rakyat Terengganu. “Pendidikan ini banyak orang panggil pelaburan, tidak ada ‘return’, pulangan dolar dan sen, tapi kita tahu pelaburan ini penting kerana ia melibatkan anak-anak ataupun rakyat Terengganu bagi melapisi generasi yang akan datang,” katanya. Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat dan pondok-pondok akan diselesaikan pada bulan November ini, selain perancangan mengembalikan semula bantuan TVET pondok bagi melahirkan pelajar berkemahiran. Beliau menambah, langkah ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri di bawah tema “Maju, Berkat dan Sejahtera” dan pelaksanaan Blueprint Pendidikan Sejahtera 2030, yang menjadi hala tuju pembangunan pendidikan Islam serta insan seimbang di Terengganu.
18 Oct 25
66
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
Perkasa Institusi Pondok Sebagai Teras Pembinaan Ummah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan komited memperkasakan institusi pondok sebagai teras pembinaan ummah di Terengganu, selaras dengan usaha menjadikan negeri ini maju, berkat dan sejahtera. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Noor Hamzah, berkata, kerajaan amat menghormati sumbangan tuan guru dan institusi pondok yang sejak dahulu menjadi benteng akidah, sumber kefahaman Islam dan medan lahirnya ulama serta pemimpin ummah. “Pondok merupakan institusi pendidikan tradisional yang telah lama menjadi teras kepada pembangunan  insan bahkan  telah melalui  jalur sejarah perjuangan hebat menghadapi penjajah inggeris.  “Dan beri kesedaran kpada rakyat untuk bangkit dengan agama serta memahami tentang kepentingan beragama bukan sahaja dalam hidup peribadi tetapi dalam seluruh aspek,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pondok Terengganu 2025 (SEPONDOK’ 25) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, data menunjukkan Terengganu kini mempunyai 62 buah sekolah pondok dengan 3,145 pelajar dan 406 tenaga pengajar, membuktikan kesinambungan sistem pendidikan Islam tradisional yang terus subur dan relevan. Tambahnya, penganjuran seminar ini menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu, dialog terbuka serta pengiktirafan kepada seluruh institusi pondok di negeri Terengganu.  Selain itu katanya, ia turut menjadi medan penyelarasan hala tuju bersama antara negeri, agensi dan semua pondok yang ada, ke arah memperkukuh kesinambungan generasi pelapis, keupayaan pengurusan, penambahbaikan fasiliti serta keperluan digitalisasi ilmu. “Kerajaan negeri mahu dan mengharapkan institusi pondok diperkasakan demi memartabat ekosisitem Pendidikan negara tanpa mengorbankan identity tradisinya. “Saya yakin jika pondok diberikan ruang bergerak secara strategik ia mampu jadi pusat pemikiran islam ketemporari, benteng menangani kefahaman yang sesat, liberal, sekuralisme dan berbagai-bagai ideologi yang ada pada hari ini menjadi pusat latihan kepimpinan komuniti dan juga sebagai pusat rujukan kepada kehidupan ummah, insya Allah,” ujar Mohd Noor. Justeru itu, beliau turut menyeru agar seluruh pengurusan pondok di negeri ini terus berganding bahu dengan kerajaan dalam membangunkan Islam, sekaligus memastikan resolusi seminar memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan pondok pada masa hadapan. Program SEPONDOK’ 25 merupakan julung kali diadakan dan dapat menghimpunkan  penyertaan seramai 1,000 orang dari 41 pondok di negeri Terengganu.
16 Oct 25
156
Guru Al-Quran Dihargai
Guru Al-Quran Dihargai
HULU BESUT, 15 Oktober — Peranan guru al-Quran dalam membentuk masyarakat berakhlak dan berilmu tinggi amat besar nilainya dalam membina generasi Islam yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,  Mohd Husaimi Hussin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan kepada para guru al-Quran dalam satu majlis yang diadakan hari ini. Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru al-Quran yang selama ini mencurahkan masa, tenaga dan ilmu bagi mendidik masyarakat mengenal Kalamullah.  “Tuan-tuan dan puan-puanlah sebenarnya pewaris para nabi dalam menyampaikan cahaya ilmu dan hidayah kepada umat,” ujar beliau dalam majlis yang diadakan itu Tambah beliau lagi, guru al-Quran bukan sekadar mengajar huruf dan tajwid, tetapi berperanan besar dalam membentuk jiwa serta akhlak masyarakat.  “Melalui tuan-tuanlah, anak-anak kecil kita mengenal huruf pertama dalam hidup mereka alif, ba, ta yang akhirnya membuka jalan kepada cinta terhadap kitab Allah,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegaskan hasrat kepimpinan Hulu Besut untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja tahu membaca al-Quran, tetapi juga hidup berlandaskan ajaran al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk rumah tangga, pekerjaan dan pergaulan seharian. Sementara itu, beliau turut menzahirkan komitmen pihak kepimpinan Hulu Besut untuk memperkukuh jaringan guru-guru al-Quran di bawah seliaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta institusi masjid.  “Kita mahu pastikan tidak ada satu pun kampung di Hulu Besut yang tidak mendengar suara al-Quran,” katanya lagi. Pada majlis tersebut, seramai 102 guru al-Quran menerima sumbangan penghargaan sebagai tanda ingat-ingatan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik masyarakat. “Sumbangan yang disampaikan ini mungkin tidak seberapa, namun ia sebagai tanda penghargaan atas jasa besar tuan-tuan dan puan-puan dalam memartabatkan pendidikan al-Quran di Hulu Besut,” ujar beliau. Beliau turut menyeru semua pihak termasuk guru, JPKK, masjid dan masyarakat untuk terus berganding bahu dalam menyebarkan nur al-Quran di bumi Hulu Besut. Di akhir ucapannya, Mohd Husaimi mendoakan agar semua guru al-Quran terus diberikan kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tugas mulia tersebut. “Semoga setiap huruf yang diajarkan menjadi amal jariah yang berkekalan hingga ke akhirat,” katanya. Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW:  “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)  
15 Oct 25
68
Ikhlas Dalam Khidmat, Cemerlang Dalam Keberkatan
Ikhlas Dalam Khidmat, Cemerlang Dalam Keberkatan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan bukan sekadar menghasilkan kejayaan, bahkan membawa keberkatan dalam setiap langkah yang dilalui. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap komitmen warga Kolej Quran Terengganu (KQT) yang terus istiqamah menabur bakti di kolej tersebut. “Kita bukan mencari pangkat atau pengiktirafan semata-mata, tetapi keberkatan dalam setiap khidmat yang diberi. "Bila kerja dilakukan dengan ikhlas, hasilnya akan membawa manfaat bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan ummah keseluruhannya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kolej Quran Terengganu (KQT) 2023/2024 di Dewan Bintang Laut, Sumai Hotel semalam. Beliau turut menyeru semua penjawat awam khususnya warga pendidik agar menjadikan anugerah tersebut sebagai pemangkin semangat untuk terus meningkatkan kualiti kerja dan penghayatan terhadap amanah yang dipikul. Kolej Quran Terengganu memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi celik al-Quran dan berakhlak mulia. Oleh itu, setiap warga kolej perlu terus berusaha memperkukuh budaya kerja cemerlang berasaskan nilai Islam,” ujarnya lagi. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderamata kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023/2024, sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam mendidik dan membimbing pelajar.  
15 Oct 25
39
Pusat Sains Terengganu Ambil Inisiatif Pupuk Kesedaran Berkaitan Gempa Bumi
Pusat Sains Terengganu Ambil Inisiatif Pupuk Kesedaran Berkaitan Gempa Bumi
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Berikutan tular berita tentang negeri Terengganu sebagai salah satu negeri yang berisiko mengalami gempa bumi baru-baru ini, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bencana itu. Ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, sebagai pusat pengembangan ilmu sains, teknologi dan inovasi tempatan, pihaknya telah memulakan kempen dan penyebaran ilmu tentang bencana alam lebih awal kepada rakyat negeri itu, terutama pelajar dan golongan muda. "Antara usaha yang dilakukan adalah melalui Sciences Journey Carnival (SJC) 2025 yang diadakan di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di Hulu Dungun, hujung minggu lalu. Simulasi letusan gunung berapi turut diadakan. "Salah satu acara pentas utama dalam karnival itu adalah Bicara STEM yang bertajuk Gempa Bumi dan Keselamatan Diri yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, selain pameran tentang peralatan untuk mengesan gempa dan tsunami yang memberikan lebih maklumat kepada pelajar-pelajar yang hadir. "Usaha ini adalah kolaborasi PSKT bersama pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Petronas dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebenarnya," katanya. Jelasnya, penganjuran SJC sedikit sebanyak membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat luar bandar tentang bahaya bencana itu serta langkah-langkah menghadapinya. "Sebenarnya karnival ini merupakan kali pertama diadakan dengan berskala besar sebegini. "Dengan jumlah penyertaan yang kami terima memberi inspirasi dan aspirasi untuk melihat aktiviti, kempen kesedaran dan penyebaran maklumat seumpama ini dapat diadakan dari masa ke masa, insya-Allah," ujarnya. PSKT yang bertempat di Kampung Laut, Kuala Terengganu mempunyai ruang pameran interaktif khusus berkaitan bencana alam yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, bahkan menyediakan simulasi skala kecil sesuatu bencana alam yang berlaku supaya ia lebih difahami oleh para pengunjung yang hadir.  
07 Oct 25
208
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
KUALA NERUS, 6 Oktober – Kerajaan Terengganu terus komited memperkukuh masa depan pendidikan negeri dengan menyalurkan bantuan one-off berjumlah RM1.99 juta kepada 19,932 calon peperiksaan awam di seluruh negeri sebagai dorongan semangat menjelang peperiksaan tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif di bawah Yayasan Terengganu itu mencerminkan keprihatinan dan kebersamaan kerajaan negeri dalam memastikan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM bersedia menghadapi cabaran akademik dengan penuh keyakinan dan iltizam. "Program ini salah satu usaha untuk membuktikan kebersamaan kita bersama-sama dengan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM supaya mereka mempersembahkan yang terbaik untuk peperiksaan serta memperoleh keputusan cemerlang nanti. "Itu doa kami daripada pihak kerajaan negeri kepada semua calon-calon yang terlibat," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini. Menurutnya, seramai 2,605 calon daripada 17 buah sekolah menengah di daerah Kuala Nerus turut menerima bantuan pendidikan berjumlah RM260,500 dengan kadar RM100 seorang, melibatkan 2,424 calon SPM, 169 calon STPM dan 12 calon STAM. "Gunakanlah bantuan bernilai RM100 ini secara bijaksana dan bertanggungjawab. "Ia bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi tanda kasih serta dorongan moral agar anda lebih bersemangat menghadapi detik penting ini," tambahnya. Hishamuddin turut menzahirkan harapan agar semua calon menjadikan peperiksaan yang bakal diduduki sebagai langkah awal membina masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna. "Jadikanlah peperiksaan ini sebagai permulaan ke arah menara gading serta kehidupan yang gemilang. "Ingatlah, setiap kejayaan anda adalah hadiah paling berharga buat ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu berkorban demi memastikan anda berjaya," ujarnya. Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon peperiksaan awam di negeri ini agar terus melangkah dengan penuh keyakinan dan membawa nama Terengganu sebagai negeri yang unggul dalam kecemerlangan pendidikan.  
06 Oct 25
446
Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
DUNGUN, 4 Oktober - Negeri Terengganu mampu menjadi negeri yang kaya dengan inovasi sekiranya diuruskan dengan baik. Pengarah Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar menyatakan harapan itu ketika menyentuh isu penurunan minat pelajar bagi memasuki aliran sains. "Saya berpandangan, Terengganu memiliki modal insan yang besar dan saya lihat sebagai antara negeri yang boleh kembangkan inovasi. "Cuma, kerajaan negeri perlu lebih proaktif buka ruang dan peluang kerana anak-anak Terengganu bijak dan berkebolehan," katanya. Dr. Roslan menunjukkan alat cerapan UniSZA yang dipamerkan. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengendalikan Bicara STEM bertajuk Astronomi, Falak dan Alam Semesta dalam Sciences Journey Carnival STI Madani anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam. Selain bertindak sebagai panel dalam program tersebut, Dr. Roslan juga merupakan salah seorang daripada 100 saintis tempatan yang dilantik bagi Program STI 100 on Power of Three yang diketengahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pemerkasaan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).  Tambahnya, penganjuran karnival yang boleh dianggap 'pusat sains bergerak' itu merupakan langkah bijak bagi pembudayaan ilmu sains di kalangan masyarakat luar bandar. "Saya rasa PSKT telah berjaya menarik banyak institusi turun padang ke karnival ini dan ia menjadi titik permulaan. "Inilah peluang yang cukup baik dan perlu disokong. Program begini perlu dilakukan secara berkala dan mencapai daerah-daerah," katanya.
05 Oct 25
122
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
DUNGUN, 4 Oktober - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah proaktif membawa 'sains' menerobos kawasan luar bandar menerusi Science Journey Carnival STI Madani yang diadakan di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. Terkenal sebagai pusat transformasi yang berkaitan sains kreativiti tempatan yang bertempat di bandar, akses itu kini dapat dirasai pelajar-pelajar di desa. Menurut salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Ayer Putih, Mustafa Mohd Rafi, 26, peluang itu perlu dimanfaatkan pelajar dengan mencuba semua aktiviti kerana bukan mudah untuk memperolehi suasana sebegitu. Mustafa bersama sebahagian anak-anak muridnya  ​​​​mencuba aktivti yang disediakan. "Kita hendak bawa mereka ke PSKT pun jauh dan perlukan bajet yang banyak, jadi peluang agak terhad. "Di sini, anak-anak murid di luar bandar akan lebih terdedah dan boleh datang terokai sendiri. "Walaupun zaman ini zaman teknologi, masih ada sedikit jurang antara bandar dan luar bandar, tetapi dengan program sebegini membolehkan mereka belajar.  "Paling saya suka, tidak sangka ia meriah begini dengan kawasan agak kecil," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini. Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan bahawa program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan sains. "Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI). "Kalau diteruskan, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan," jelasnya. Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepda lima orang anak yang hadir di sini. Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti. "Tidak sangka PSKT buat begini, saya dapat makluman anak cakap ada sukaneka sahaja, yalah dari luar nampak kecil sahaja. "Program ini bagus dan molek, anak-anak boleh kenal tentang sains lagi, macam begini anak boleh rasa sendiri, buat kajian sains depan mata dia, dia boleh rasa pengalaman itu," tambahnya. Zulaikha bersama anak-anaknya di depan Dome Show. Berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Sciences Journey Carnival menawarkan aktiviti antaranya pertunjukan silap mata, projek Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pameran agensi, cerapan langit dan banyak lagi. Karnival diadakan bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang yang akan berakhir esok. Pelajar SK Durian Mas mencuba aktiviti yang disediakan Petrosains.  
04 Oct 25
110
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini. Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail. Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan. Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya. Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.  
02 Oct 25
1385