lightning-solid
Berita :
UC TATI Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri Di Jepun
UC TATI Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri Di Jepun
Noraini Jusoh
16 Oct 25
69

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan negeri melalui University College TATI (UC TATI) telah mengadakan lawatan akademik ke Jepun pada 2 hingga 7 Oktober lalu sekali gus menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri peneraju pendidikan teknikal bertaraf global.

Delegasi UC TATI yang diketuai oleh Rektornya, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bersama Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Satiful Bahri Mamat, mengadakan siri lawatan rasmi, perbincangan akademik serta libat urus industri di beberapa bandar utama Jepun termasuk Tokyo, Tsu (Mie Prefecture) dan Osaka.

Kemuncak lawatan ialah kunjungan rasmi ke Mie University, sebuah universiti awam ternama yang diketuai oleh Presiden Prof. Dr. Masaaki Ito.

Menurut Hairul, dalam sesi pertemuan tersebut, kepimpinan Mie University dan UC TATI mencapai persetujuan awal untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan, latihan teknikal, dan penyelidikan bersama, khususnya yang melibatkan Fakulti Pendidikan universiti berkenaan.

“Perbincangan menjurus kepada keperluan membangunkan program pertukaran pelajar dan staf, pembangunan profesional tenaga pengajar TVET, serta perkongsian bahan rujukan dan modul pendidikan.

“Delegasi turut berpeluang melawat Tadika Mie University, yang berfungsi sebagai pusat latihan guru prasekolah dan tapak penyelidikan pedagogi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pendekatan Jepun yang menekankan rasa ingin tahu dan disiplin sejak peringkat awal boleh dijadikan model untuk memperkukuh program Pendidikan Awal Kanak-kanak UC TATI dan kursus latihan guru di bawah fakulti kemanusiaan universiti tersebut.

“Kita melihat nilai yang sama antara falsafah pendidikan Jepun dan prinsip pendidikan insan di UC TATI. Ia bukan hanya soal kemahiran, tetapi tentang membentuk keperibadian dan rasa tanggungjawab,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, delegasi turut berpeluang ke Suzuka KOSEN (National Institute of Technology Suzuka College), salah satu kolej teknikal paling berprestij di Jepun.

“Di sini, rombongan meninjau fasiliti latihan mekatronik, kejuruteraan elektrik, dan sistem automasi yang menggabungkan pembelajaran berasaskan projek industri sebenar,” ujarnya.

Katanya, model KOSEN memberi inspirasi kepada UC TATI untuk terus memperkukuh elemen TVET berasaskan industri (Work-Based Learning) serta memperluas program dual training dengan syarikat-syarikat strategik di Kemaman dan Kerteh.

Sementara itu katanya, di Osaka pula delegasi UC TATI melanjutkan misi ke Japan Halal Association (JHA) badan utama yang diiktiraf oleh JAKIM Malaysia dalam pensijilan halal di Jepun.

“Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam usaha memupuk kerjasama teknikal dan pembangunan kompetensi halal antara kedua-dua institusi.

“JHA turut menyatakan kesediaan untuk membantu UC TATI dalam aspek latihan bahasa Jepun dan pemahaman konteks budaya tempatan bagi memperkukuh daya saing pelajar Malaysia yang berhasrat bekerja dalam sektor halal global,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil perbincangan di Mie University, Suzuka KOSEN dan Japan Halal Association serta pengiktirafan antarabangsa melalui International Halal Conference Osaka menunjukkan bahawa Terengganu kini berada di landasan tepat untuk menjadi model negeri berteraskan pendidikan, teknologi dan nilai Islam yang progresif.
 


Artikel Berkaitan