KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam menyeimbangkan jurang antara wilayah apabila projek pengangkutan di negeri lain terus diberi perhatian dalam belanjawan tahunan berbanding Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Menteri Besar Terengganu itu berkata, walaupun kos projek di negeri berkenaan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM17 bilion, ia masih diluluskan, sedangkan LPT3 yang amat penting kepada rakyat Terengganu dan Kelantan kekal 'tergantung'.
Beliau berkata, projek LPT3 telah diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion, namun akibat penangguhan demi penangguhan, anggaran kos kini meningkat kepada RM9.8 bilion.
“Bagaimanakah pengagihan perbelanjaan ini dilaksanakan secara adil oleh Persekutuan terutama dalam menjadi pemacu pembangunan ekonomi bagi negeri yang masih kekurangan infrastrukturnya?.
“Walaupun kajian awal LPT3 sudah siap sejak Ogos 2022, projek ini masih tidak dimasukkan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.
“Ia kekal di peringkat Request for Proposal (RFP) sahaja, sedangkan manfaatnya sangat besar kepada 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan,” katanya pada sesi Perbahasan Belanjawan di Parlimen.
Menurut beliau, kelewatan ini menunjukkan seolah-olah projek strategik Pantai Timur tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, berbeza dengan projek negeri lain yang terus mendapat peruntukan saban tahun tanpa gangguan.
“Persoalannya, di mana keutamaan dan keadilan dalam pengagihan pembangunan negara?,” tegasnya.
Untuk rekod, pada Mac 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk menampung kos projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dianggarkan berjumlah hampir RM17 bilion keseluruhan.
Manakala, projek LPT3 dilihat sebagai infrastruktur penting yang mampu membuka akses ekonomi baharu, mempercepatkan mobiliti logistik, dan merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan wilayah lain terus kekal tiada penyelesaian.