lightning-solid
Berita :
Warga Emas Terima Tanah Selepas Dua Dekad Menanti
Warga Emas Terima Tanah Selepas Dua Dekad Menanti
Izzat Al-qushairi
16 Oct 25
77

KUALA NERUS, 16 Oktober- Hasrat untuk memiliki tanah sejak 25 tahun yang lalu akhirnya tercapai buat seorang penduduk di sini apabila menerima borang 5A, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) hari ini.

Che Wan Zainol Anuar Che Wan Ahmad, 60, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terkejut ketika menerima tanah berkenaan dalam penyerahan di Dewan Cendarawasih Pejabat Daerah Kuala Nerus yang disampaikan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

“Saya rasa seperti bermimpi kerana perkara ini sudah lama tiada khabar dan saya memang tidak menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki tanah.

"Bukan sekadar sehelai borang, tapi inilah harapan, maruah dan impian yang tertanam sejak dulu. 

“Sejujurnya saya tidak percaya apabila saya diserahkan surat untuk menerima borang 5A pada hari ini, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menunaikan janji manifesto,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis hari ini.

Sementara itu, bagi penerima borang RTB Mengabang Bakong, Azhar Abdul Ghani Muhammad, 63 berkata, dia sangat terharu dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengembalikan semula tanah yang ditarik lebih dua dekad dahulu.

“Hari ini salah satu hari paling gembira dalam hidup saya. Impian memiliki secebis harta untuk diri sendiri akhirnya termakbul.

“Saya mewakili semua peserta yang terkilan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, ADUN Batu Rakit dan pejabat daerah kuala nerus,” tambah beliau.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, seramai 219 penerima yang menerima tanah borang 5A hari ini dilarang menjual semula tanah itu dalam masa 10 tahun pertama.

"Itu adalah syarat utama, kalau boleh usaha mendirikan rumah dan manfaatkan tanah tapak kediaman ini,” ujarnya.


Artikel Berkaitan