lightning-solid
Berita :
Rosol Ulangi Gesaan Kerajaan Kembalikan Hukuman Rotan
Rosol Ulangi Gesaan Kerajaan Kembalikan Hukuman Rotan
Muhammad Aqil Mat Ali
16 Oct 25
50

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman rotan di sekolah sebagai langkah memperkukuh disiplin dan memulihkan matlamat sebenar sistem pendidikan negara.

Rosol, yang juga bekas pendidik, menegaskan bahawa keseimbangan antara ganjaran dan hukuman amat penting dalam membentuk sahsiah serta akhlak pelajar.

“Sebagai bekas guru, saya ingin mengulangi cadangan saya, kembalikan semula hukuman rotan di sekolah untuk tujuan mendidik,” tegas beliau ketika berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, konsep ganjaran dan hukuman bukan sahaja asas kepada pendidikan berimbang, malah selari dengan tuntutan agama yang menekankan nilai pengajaran dan penginsafan.

“Bagi mereka yang berakhlak baik, kita beri penghargaan. Bagi yang bersalah, kita kenakan hukuman. Prinsip ini juga dianjurkan oleh agama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rosol turut menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju pendidikan negara yang disifatkan semakin tersasar daripada usaha membentuk insan yang sebenar.

“Saya setuju dengan cadangan (Ahli Parlimen) Muar untuk memasang CCTV di sekolah, tetapi ia tidak mencukupi jika pendidikan kita tidak menjurus kepada usaha memanusiakan manusia,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa matlamat utama pendidikan bukan sekadar mencapai kecemerlangan akademik, sebaliknya untuk melahirkan insan yang berakhlak, bertanggungjawab dan mampu menghadapi cabaran masa depan.

“Saya lihat pendidikan kita seolah-olah hilang arah. Ke mana sebenarnya kita mahu membawa pelajar-pelajar ini bagi menghadapi realiti kehidupan mendatang?,” soal beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan