lightning-solid
Berita :
Rakyat Mahu Pemimpin Berintegriti Bukan Kejar Pangkat
Rakyat Mahu Pemimpin Berintegriti Bukan Kejar Pangkat
Amirul Aizab Mohd
16 Oct 25
36

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) komited membina kepimpinan negara yang berintegriti dan berasaskan nilai Islam, sebagai landasan utama dalam membawa perubahan besar kepada negara.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beliau menekankan bahawa meskipun PN belum menguasai majoriti kerusi, usaha memperbaiki dasar dan sistem negara tetap diteruskan secara konsisten.

“Insya-Allah, kami dari Perikatan Nasional akan berusaha untuk membuat perubahan dalam kebijakan negara.

“Sedaya upaya, PAS memperkenalkan cara pemilihan Islam setiap calon dinilai dari segi ilmu, akhlak, perangai dan integriti sejak awal lagi,” katanya.

Mengulas mengenai persoalan mengapa PN belum menamakan calon Perdana Menteri secara rasmi, beliau menjelaskan langkah itu diambil atas faktor keselamatan.

“Orang tanya kenapa tak umum lagi calon Perdana Menteri? Sebab nak jaga keselamatan. Bila orang tahu dia bakal PM, macam-macam boleh berlaku disabotaj, difitnah, bahkan ada yang ditanam dadah atau emas dalam kenderaan,” ujarnya.

Menurut Presiden PAS itu, perkara yang lebih utama ialah rakyat memilih pemimpin yang benar-benar berintegriti, bukan semata-mata kerana jawatan atau kedudukan.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS mempunyai jawatankuasa disiplin yang tegas, bukan hanya dalam hal parti tetapi juga merangkumi salah laku peribadi dan moral calon, bagi memastikan standard kepimpinan yang tinggi sentiasa dipertahankan.

Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa PN akan terus berjuang membawa perubahan menyeluruh demi membina sebuah negara yang adil, amanah dan berpaksikan nilai Islam.


Tag :

Artikel Berkaitan