Artikel "Utama" Terkini
Perkasa Institusi Pondok Dan Pengajian Turath
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan institusi pondok dan pengajian turath sebagai benteng utama dalam melahirkan, membentuk akhlak serta jati diri generasi muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan di bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), termasuk pendaftaran, penyelarasan dan pemerkasaan semua institusi pendidikan Islam agar bernaung di bawah satu sistem tersusun.
“Kita tidak mahu pengajian turath kita ini sampai satu masa berada dalam kemalapan. Antaranya adalah kehilangan tokoh-tokoh, guru-guru hebat yang perlu kita sediakan pelapis-pelapis untuk meneruskan kesinambungan ini dan juga kepada pelajar-pelajar serta minat mereka.
“Sebab itu kerajaan menubuhkan Pusat Tafaqquh Fi al-Din bagi melahirkan tenaga pengajar dalam bidang turath untuk berkhidmat di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program SEPONDOK’ 25 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, kelmarin.
Katanya, ilmu merupakan fardu ain yang wajib dipelajari oleh setiap individu.
“Ia bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau lulus peperiksaan, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk nilai kemanusiaan dan akhlak yang mulia.
“Apatah lagi mutakhir ini dengan isu-isu yang ada dalam pendidikan, isu rogol, bunuh, dan isu-isu akhlak. Jadi ini cukup membimbangkan ibu bapa dan kitalah, masyarakat kita bagaimana nilai akhlak yang makin hari makin orang panggil merudum,” ujar beliau.
Satiful turut melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan minat pelajar dalam pengajian agama serta gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.
Justeru itu katanya, antara alternatif yang ada adalah pendidikan turath perlu diperkasakan sama untuk memberi keyakinan, kepercayaan kepada masyarakat akan terus melahirkan nilai muslim, rakyat jati diri tinggi untuk masa akan datang.
Beliau menambah, sehingga kini lebih 145 institusi pondok dan maahad tahfiz telah berdaftar di bawah JPINT, dan kerajaan negeri akan terus memudah cara segala urusan melibatkan pentadbiran, pengurusan serta bantuan kewangan kepada institusi berkenaan.
Menurutnya, walaupun berdepan kekangan kewangan, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam hal pendidikan, malah menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan rakyat Terengganu.
“Pendidikan ini banyak orang panggil pelaburan, tidak ada ‘return’, pulangan dolar dan sen, tapi kita tahu pelaburan ini penting kerana ia melibatkan anak-anak ataupun rakyat Terengganu bagi melapisi generasi yang akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat dan pondok-pondok akan diselesaikan pada bulan November ini, selain perancangan mengembalikan semula bantuan TVET pondok bagi melahirkan pelajar berkemahiran.
Beliau menambah, langkah ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri di bawah tema “Maju, Berkat dan Sejahtera” dan pelaksanaan Blueprint Pendidikan Sejahtera 2030, yang menjadi hala tuju pembangunan pendidikan Islam serta insan seimbang di Terengganu.
18 Oct 25
67
Cukai Rokok Naik: Kerajaan Perlu Sedia Strategi Elak Penyeludupan Berleluasa
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Keputusan kerajaan menaikkan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau dalam Belanjawan 2026 disambut baik, namun langkah itu menimbulkan kebimbangan berhubung peningkatan aktiviti penyeludupan yang semakin sukar dibendung.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berkata walaupun kenaikan cukai rokok dianggap wajar bagi tujuan kesihatan awam dan menambah hasil negara, kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya disokong dengan kawalan penguatkuasaan yang berkesan.
“Setiap kali cukai rokok dinaikkan, kadar penyeludupan turut meningkat. Akhirnya hasil negara terjejas dan rakyat pula terdedah kepada produk seludup yang jauh lebih berbahaya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan perlu memperincikan pelan taktikal bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi maritim bagi memperketatkan kawalan di sempadan dan pelabuhan utama.
“Persoalan saya, adakah pegawai penguat kuasa di agensi-agensi terlibat mencukupi?,” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa isu kecukupan pegawai penguat kuasa perlu diberi perhatian serius, apatah lagi tiada pengumuman khusus mengenai penambahan peruntukan atau jawatan dalam Belanjawan 2026 untuk memperkukuh agensi-agensi terbabit.
“Pasaran gelap rokok kini dianggarkan mencecah hampir 50 peratus. Jika tiada tindakan serius, keadaan ini boleh menjadi lebih parah,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Alias turut meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan langkah persediaan mereka dalam mengharamkan rokok elektronik (vape).
Katanya, larangan tersebut berisiko mewujudkan pasaran gelap vape, sebagaimana yang berlaku terhadap rokok seludup jika tiada strategi penguatkuasaan yang jelas.
“Apakah langkah KKM bersama agensi lain bagi memastikan pasaran gelap vape dapat dikawal sepenuhnya sebelum menjadi ancaman baharu kepada kesihatan awam dan ekonomi negara?,” ujarnya.
18 Oct 25
53
Hospital Berkait Kerajaan Terengganu Raih Anugerah Kecemerlangan Global
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman (KMI) Kuala Terengganu di sini terus melakar kejayaan membanggakan apabila menerima ‘Global Performance Excellence Awards’ (GPEA) 2025 yang berlangsung di Beijing, China.
Pengurus Besarnya, Salina Long berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi bagi prestasi organisasi dan kecemerlangan perniagaan di rantau Asia Pasifik.
"Selain anugerah ini, KMIKT turut diiktiraf untuk ‘Best Practice’ melalui inisiatif ‘Special Task Force (STF) for Profitability’, yang menekankan pendekatan inovatif dalam meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi keuntungan hospital.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KMIKT terhadap kecemerlangan, pengoptimuman sumber, dan pengurusan strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan selari dengan perkhidmatan berkualiti tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Salina, penilaian bagi GPEA merangkumi beberapa aspek utama seperti kepimpinan, strategi, fokus pelanggan, penglibatan tenaga kerja, keputusan operasi dan inovasi.
"Ia antara nilai-nilai yang sentiasa menjadi teras kepada budaya kerja kami di KMIKT.
"Tahniah kepada seluruh warga kerja KMIKT atas kejayaan antarabangsa yang membanggakan ini. Bersama-sama kita terus memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk masa depan yang lebih cemerlang, " ujarnya.
17 Oct 25
2243
Rosol Persoal Larangan Qunut Nazilah, Desak KPM Muhasabah Punca Masalah Sekolah
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermuhasabah terhadap dasar sedia ada, termasuk larangan amalan keagamaan seperti bacaan Qunut Nazilah di sekolah.
Beliau mendakwa larangan itu mungkin menjadi antara punca peningkatan masalah disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar.
Berucap ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang di Dewan Rakyat, Rosol yang juga Ketua Portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes luar jangka dan kejadian tragis yang berlaku di sekolah-sekolah kebelakangan ini.
“Mutakhir ini kita banyak mendengar isu berkaitan pendidikan. Apa ‘suwey’ (silap) Menteri Pendidikan hari ini? Banyak kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tegasnya.
Beliau merujuk kepada beberapa insiden yang mendapat perhatian umum, termasuk kes membabitkan pelajar Zara, kes cabul di Sabak Bernam, serta kes bunuh dan gantung diri di Petaling Jaya, yang menurutnya menimbulkan persoalan besar terhadap tahap keselamatan dan moral di institusi pendidikan.
Rosol kemudian mempersoalkan sama ada permasalahan tersebut berkait dengan arahan KPM yang melarang amalan tertentu di sekolah.
“Adakah kesilapannya berpunca daripada larangan Menteri yang tidak membenarkan bacaan Qunut Nazilah di sekolah?,” soalnya.
Beliau turut menasihatkan agar KPM tidak mencampuri urusan para pendidik dan pelajar yang ingin mengamalkan perkara-perkara baik di sekolah, selagi ia mendidik jiwa dan memperkukuh nilai kerohanian.
“Saya cadangkan, jangan ganggu guru saya, jangan ganggu pelajar saya, jangan ganggu sekolah saya,” tegasnya.
Rosol menambah, masalah sosial dan disiplin yang semakin meningkat perlu ditangani secara menyeluruh, dengan menekankan aspek nilai, agama dan pembentukan sahsiah dalam sistem pendidikan.
“Satu demi satu masalah berlaku dalam sistem pendidikan. Di mana silapnya?,” ujar beliau, sambil menggesa pihak kementerian memberi penjelasan serta mengambil tindakan segera bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan peranan sekolah sebagai institusi pembentuk insan.
17 Oct 25
148
Terengganu Gergasi REE, Namun 'Lumpuh' Tanpa Pelabuhan Bertaraf Dunia
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Negeri Terengganu yang diisytiharkan sebagai gergasi Unsur Nadir Bumi (REE) dengan deposit dianggarkan melebihi 7 juta tan metrik berdepan dengan tugas berat untuk memajukan sektor itu jika tiada pelabuhan berkualiti dunia.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, ini kerana pelabuhan biasa tidak mampu menyokong aktiviti eksport hiliran dan mineral bernilai tinggi tersebut.
Katanya, Pelabuhan Kemaman disifatkan sebagai satu-satunya lokasi yang memiliki ciri fizikal yang sesuai, termasuk kedalaman semula jadi melebihi 16 meter, kemudahan dermaga industri berat, serta sambungan jalan dan rel yang menghubungkannya terus ke kawasan pengeluaran REE utama di Hulu Terengganu dan Setiu.
Namun, Dr. Alias membangkitkan kebimbangan bahawa kapasiti sedia ada pelabuhan itu belum dimaksimumkan.
“Lebih membimbangkan, tiada pelan pengembangan menyeluruh di peringkat nasional untuk mengubahnya menjadi hab eksport REE dan bahan hiliran yang kompetitif di rantau ini," katanya.
Dr. Alias turut mencetuskan persoalan mengenai keadilan pembangunan wilayah, dengan membandingkan peruntukan projek besar antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
“Jika negeri seperti Pulau Pinang boleh menerima RM17 bilion untuk projek LRT, mengapa pelabuhan penting yang berpotensi memacu ekonomi Pantai Timur tidak dijadikan keutamaan nasional?,” soalnya tegas.
Jelas beliau, jika pelabuhan yang dinaiktaraf sepenuhnya barulah sektor REE Terengganu dapat dikembangkan secara bersepadu.
“Pembangunan ini dijangka akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan hasil negeri secara drastik, dan menarik pelaburan asing yang berkualiti ke Pantai Timur.
“Pihak berkepentingan mendesak kerajaan persekutuan untuk segera menjadikan pembangunan Pelabuhan Kemaman sebagai projek keutamaan nasional agar Terengganu dapat mengoptimakan kekayaan mineralnya demi manfaat ekonomi negara dan penduduk setempat,” katanya.
17 Oct 25
2100
Perkukuh Pendidikan Turath Bagi Bendung Krisis Akhlak Pelajar
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober — Pendidikan turath atau sistem pondok merupakan warisan keilmuan Islam yang terbukti berperanan besar dalam membentuk sahsiah, adab dan jati diri umat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata pendidikan turath bukan sahaja mendidik akal dan minda, tetapi juga melatih hati dan jiwa agar berdisiplin, beradab dan beriman.
“Apa yang kita mahu ialah sistem pendidikan yang bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi membentuk insan yang beradab, bertanggungjawab dan berakhlak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan terhadap pelbagai isu sosial yang melibatkan pelajar akhir-akhir ini, termasuk kes rogol, bunuh, dan salah laku moral yang kian meningkat di sekolah-sekolah.
Justeru, usaha memperkasakan sistem pondok ini perlu digerakkan dengan lebih tersusun, agar ia terus relevan dan diyakini oleh masyarakat sebagai model pendidikan akhlak berkesan.
“Pendidikan turath telah membuktikan kemampuan itu, dan kini tiba masanya kita memperkukuh semula peranannya.
“Kes rogol berkumpulan yang berlaku baru-baru ini cukup membimbangkan. Ia bukan lagi isu kecil, tetapi tanda jelas bahawa nilai akhlak dalam kalangan generasi muda semakin merudum. Hal ini perlu ditangani segera dengan memperkukuh pendidikan yang berteraskan agama dan nilai,” ujarnya.
Katanya lagi, masyarakat kini perlu memberi keyakinan dan kepercayaan semula kepada sistem pendidikan turath sebagai alternatif terbaik dalam membentuk rakyat berjati diri tinggi, berilmu dan beriman.
“Kalau kita ingin melihat masa depan bangsa dan negara yang sejahtera, kita mesti mula dengan akhlak. Pendidikan turath inilah benteng utama untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja cerdik, tetapi juga berjiwa hamba dan berakhlak mulia,” katanya.
17 Oct 25
65
Impian Miliki Tanah Jadi Realiti Buat 219 Penduduk
KUALA NERUS, 15 Oktober – Seramai 219 penerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kawasan Mengabang Bakong menerima khabar gembira apabila borang 5A diserahkan kepada mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata penyerahan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menunaikan janji manifesto walaupun kini berada di penggal kedua pemerintahan.
“Majlis penyerahan borang 5A ini menjadi khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB Kediaman Mengabang Bakong.
“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi diteruskan pada penggal kedua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Borang 5A yang berlangsung di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima RTB secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati hak pemilikan tanah dengan segera.
Sementara itu, rata-rata penerima RTB terkilan yang hadir pada majlis tersebut meluahkan rasa syukur dan terharu atas peluang memiliki tanah yang diberikan.
Mereka turut berterima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana menunaikan janji manifesto yang telah diumumkan sebelum ini.
17 Oct 25
5648
‘Wanita Besi’ Marang Buktikan Kemampuan
MARANG, 17 Oktober – Lumrahnya wanita dikenali sebagai seorang yang berpersonaliti anggun dan lemah lembut.
Bagaimanapun, sejajar dengan peredaran masa, wanita hari ini kian bergerak maju berdiri di atas kaki sendiri sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada kelompok wanita lain.
Percaya kepada kemampuan diri, Maziah Ghazali, 38, dari Kampung Sungai Serai, Binjal Rendah, di sini nekad menceburi pekerjaan sebagai juru kimpal atau 'welder' yang sering digambarkan sebagai kerjaya lasak dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
Isteri kepada Ahmad Sobri Hashimi, 39, mengakui, dia tidak sedikit pun kekok bekerja dalam keadaan panas, berdebu serta berdepan percikan api yang memerlukan kekuatan fizikal.
“Sebelum ini, saya berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengedar dan kontraktor untuk produk-produk kejuruteraan termasuk terlibat dalam industri penyudah logam. Ketika itu, suami turut berkerja di tempat sama dengan membuat kerja-kerja kimpalan.
“Saya sering memerhati tugas juru kimpal malah ada kalanya saya menggantikan kerja mereka, lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami ‘dunia’ ini membuatkan saya dan suami nekad berhenti kerja pada tahun 2022 dan membuka bengkel kimpalan sendiri di rumah,” ujarnya.
Maziah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman ke bengkelnya.
Sebagai wanita, dia mengakui berdepan cabaran berbeza apabila menceburi bidang yang dikuasai lelaki terutamanya dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Reaksi yang saya terima pelbagai, ada baik dan sebaliknya. Maklumlah kerja juru kimpal biasanya melibatkan penyambungan, pembaikan, dan pemotongan logam yang banyak ‘bermain’ dengan api bukan sesuatu yang biasa buat wanita dan membuatkan ada klien yang kurang percaya dengan kemampuan saya.
"Masa mula bekerja sendiri, setiap kali berjumpa 'tauke-tauke' besar untuk dapatkan tawaran kerja-kerja kimpalan, setiap kali itu juga mereka tanya 'bolehkah saya buat kerja untuk model saiz industri?'
"Tapi saya tidak mudah melatah sebaliknya meminta mereka beri peluang untuk lakukan kerja terbabit terlebih dahulu. Dengan dibantu suami, saya telah buktikan setiap kerja tersebut dapat dilakukan sehabis baik," katanya.
Maziah berkata, kini dia bukan sahaja berjaya membuktikan kerjaya lasak ini boleh diceburi golongan wanita, malah keupayaan dan ketelitiannya membuatkan tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai klien yang berpuas hati dengan hasil kerja saya, ada yang dulunya tidak percaya dengan kemampuan saya, sekarang datang cari,” ujarnya.
Maziah berkata, paling membanggakan apabila bengkel kimpalan yang diusahakan bersama suaminya itu turut mendapat projek-projek besar daripada syarikat ternama termasuk anak syarikat kerajaan negeri serta industri perkapalan di Terengganu.
17 Oct 25
119
Krisis Sosial Kian Parah
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azzamuddin menegaskan bahawa negara kini sedang berdepan dengan satu krisis sosial dan moral yang semakin meruncing, khususnya melibatkan pelajar-pelajar sekolah.
Menurut beliau, isu tersebut tidak boleh diserahkan hanya kepada satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh merentasi pelbagai kementerian, sama seperti ketika negara menangani wabak COVID-19 pada tahun 2020.
“Kalau COVID-19 dahulu kita anggap krisis kesihatan, maka isu yang sedang berlaku di sekolah hari ini boleh kita anggap sebagai krisis moral atau sosial.
“Ini bukan perkara kecil kerajaan perlu bertindak segera,” tegasnya dalam sidang media.
Ketua Pemuda PAS itu turut menekankan bahawa punca kepada krisis tersebut bermula dari rumah, bukan semata-mata di sekolah.
“Anak-anak kita tidak jadi bermasalah dalam sekelip mata. Di rumah ada ibu bapa, ada gajet. Tetapi kandungan gajet dikawal oleh kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan SKMM. Mak ayah hanya boleh menasihati, tapi kawalan sebenar berada di tangan kerajaan,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar Kementerian Komunikasi turut digerakkan bersama Kementerian Pendidikan dalam menangani gejala sosial yang berpunca daripada pendedahan kandungan tidak bermoral di internet dan permainan video ganas.
“Daripada gajet juga datangnya sikap ganas ada yang menonton perkara tidak bermoral, lalu mencuba di dunia sebenar. Ini bukan sekadar isu sekolah, tetapi penyakit sosial yang semakin merebak,” katanya.
Tambahnya lagi, sistem pendidikan juga tidak boleh terlalu berorientasikan pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan pembangunan sahsiah pelajar.
“Apa guna sekolah berprestasi tinggi kalau jiwa pelajarnya kosong? Hari ini semua kejar KPI, ibu bapa kejar pendapatan, sekolah kejar gred. Akhirnya kita hilang nilai dan akhlak dalam diri anak-anak,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut menawarkan kerjasama Perikatan Nasional kepada pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang berlaku, termasuk memberi sumbangan idea dan program intervensi di sekolah.
“Kami bukan mahu berpolitik di sekolah, kami mahu membantu sebagai pemimpin masyarakat. Kalau reunion boleh diadakan di sekolah, sampai ada hidangan arak, mengapa pemimpin masyarakat yang mahu membantu tidak dibenarkan masuk?,” soal beliau.
Mengulas lanjut, Afnan turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara Menteri Pendidikan menangani isu berkenaan yang dianggap tidak menenangkan keadaan.
“Sepatutnya Menteri meredakan keadaan, bukan menambah kegusaran. Maka saya berpendapat, solusi terakhir adalah menukar Menteri Pendidikan sekiranya beliau terus gagal menangani krisis ini dengan serius,” katanya.
17 Oct 25
31
Tugas, Rezeki Terhenti - Dua Lelaki Maut dalam Kemalangan Motosikal
KEMAMAN, 16 Oktober – Dua lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan, berhampiran sebuah kilang besi keluli, kira-kira jam 8.01 pagi semalam.
Mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Shamsuddin Yusof, 39, seorang tukang masak kilang, dan Mohd Alis Ismail, 36, pekerja Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Mohd Alis dalam perjalanan ke bandar Kerteh untuk menjalankan tugas, manakala Shamsuddin yang datang dari Dungun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang berhampiran.
“Kemalangan tragis ini berlaku apabila motosikal yang ditunggang Shamsuddin dipercayai telah memasuki laluan bertentangan untuk masuk ke kawasan kilang, menyebabkan pertembungan dengan motosikal Mohd Alis,” katanya.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mereka telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
17 Oct 25
1230