lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dasar Kerajaan Masih Tidak Konsisten
Dasar Kerajaan Masih Tidak Konsisten
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegur kelemahan dan percanggahan dalam Belanjawan 2026 yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dan gagal menzahirkan komitmen sebenar kerajaan terhadap rakyat dan dasar negara. Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beliau menumpukan kepada beberapa isu utama termasuk kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi undang-undang, perubahan dasar PTPTN, kekeliruan peranan GLC dan GLIC dalam belanjawan negara, ketidakseimbangan pembangunan wilayah serta isu penjualan arak dalam kapal terbang. Beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk menterjemah undang-undang pra-1967 daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, namun menegaskan langkah itu tidak cukup berani dan belum menggambarkan kesungguhan sebenar dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Menurutnya, selepas 68 tahun merdeka dan 58 tahun Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan, masih banyak undang-undang negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai naskhah rasmi. Beliau menegur kerajaan kerana hanya memfokuskan kepada undang-undang pra-1967 sedangkan akta-akta yang digubal selepas 1967 juga masih dalam Bahasa Inggeris, termasuk ketika pindaan Kanun Kesiksaan dibentangkan baru-baru ini.  "Keadaan ini menunjukkan masih ada urusan rasmi kerajaan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan, sedangkan Akta Bahasa Kebangsaan sudah lama berkuat kuasa. "Saya mencadangkan agar kerajaan menetapkan sasaran nasional menjelang tahun 2030 untuk menyiapkan semua terjemahan undang-undang serta menjadikan versi Bahasa Melayu sebagai naskhah autoritatif mengatasi versi Bahasa Inggeris, selaras dengan subseksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan," katanya.  Dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Che Mohamad Zulkifly menyifatkan langkah kerajaan untuk menghadkan pengecualian bayaran balik kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan menengah sebagai dasar yang tidak adil dan tidak konsisten. Menurutnya, sebelum ini semua graduan kelas pertama diberi pengecualian bayaran balik tanpa mengira latar belakang keluarga, namun dasar baharu kerajaan menafikan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang bukan daripada keluarga miskin. Beliau turut mengingatkan janji Perdana Menteri sebelum ini yang pernah menyatakan hasil Petronas boleh digunakan bagi menampung hutang PTPTN. "Petronas tahun lepas merekodkan keuntungan RM55 bilion, manakala hutang PTPTN hanya RM6 bilion, tetapi janji tersebut tidak pernah ditunaikan. "Sebaliknya, kerajaan kini mahu menyekat rakyat keluar negara sekiranya gagal membayar balik pinjaman.  “Tindakan kerajaan ini menunjukkan perubahan nada dan dasar yang ketara, menimbulkan persoalan terhadap kejujuran dalam pelaksanaan janji kepada rakyat. Islam memberi amaran keras kepada orang yang berjanji tetapi mungkir dan mengkhianati amanah,” tegas beliau. Che Mohamad Zulkifly turut menegur tindakan kerajaan memasukkan angka dan aktiviti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam Belanjawan 2026. Jelasnya, belanjawan sepatutnya membincangkan dasar fiskal kerajaan, bukan akaun syarikat. "Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi bercanggah dengan amalan tadbir urus kewangan yang baik," katanya.   
16 Oct 25
35
Maulid Akbar Terengganu Diangkat Sebagai Acara Tahunan
Maulid Akbar Terengganu Diangkat Sebagai Acara Tahunan
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat UntukMu al-Aqsa diangkat sebagai acara tahunan negeri dalam usaha memperkukuh dakwah, menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan memperteguh solidariti umat Islam terhadap perjuangan membebaskan bumi al-Aqsa. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan menjadikan program itu acara tahunan mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh syiar Islam serta keprihatinan terhadap nasib saudara seagama di Palestin. "Kerajaan Terengganu mengumumkan bahawa Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat UntukMu al-Aqsa akan dijadikan acara tahunan negeri sebagai satu usaha memperkukuh dakwah, menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan memperteguh solidariti terhadap perjuangan umat Islam di Palestin. "Program ini membuktikan bahawa rakyat Terengganu teguh mencintai Rasulullah SAW dan prihatin terhadap isu ummah global. Inilah kekuatan sebenar umat apabila kita bersatu dalam zikrullah dan perjuangan menegakkan Islam," katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam. Beliau menjelaskan, ribuan umat Islam hadir membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam bagi bersama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. "Program yang berlangsung di stadium menyaksikan lautan manusia membanjiri ruang bagi bersama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. "Kehadiran rakyat daripada segenap lapisan pemimpin negeri, ulama, pelajar, belia serta masyarakat umum mencerminkan satu kesatuan hati yang luar biasa," jelasnya. Muhammad Khalil turut menegaskan bahawa tema ‘UntukMu al-Aqsa’ menjadi simbol cinta dan tanggungjawab umat Islam terhadap kiblat pertama umat dan tanah suci yang kini terus dizalimi. "Tema ini dipilih sebagai simbol cinta dan tanggungjawab terhadap Masjid al-Aqsa, tanah perjuangan para anbiya’ yang sedang menghadapi penindasan berterusan. "Terengganu mahu menjadi antara negeri terkehadapan dalam dunia Islam yang menghubungkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan tanggungjawab mempertahankan bumi perjuangan itu," tambahnya. Dalam masa sama, beliau menyeru agar umat Islam tidak hanya berdiam diri menyaksikan penderitaan di Palestin, sebaliknya menjadikan selawat dan doa sebagai senjata menyatukan hati. "Kita tidak boleh hanya menyaksikan dari jauh. Dengan selawat dan doa, kita menyatukan jiwa dan menyemarakkan kesedaran masyarakat. "Perjuangan membebaskan al-Aqsa adalah perjuangan seluruh umat Islam, dan ia mesti ditanam dalam hati anak muda kita," jelas beliau. Menurut beliau, dengan pelaksanaan tahunan selepas ini, program tersebut akan menjadi acara rasmi dalam kalendar dakwah negeri yang menggabungkan semangat kerohanian dan solidariti antarabangsa. "Dengan pelaksanaan tahunan selepas ini, program ini akan menjadi acara rasmi yang menggabungkan dimensi kerohanian, kebersamaan rakyat dan solidariti antarabangsa. "Hasrat Terengganu ialah untuk kekal sebagai Negeri Anjung Ilmu dan benteng Islam di rantau ini," ujarnya.
16 Oct 25
57
Rosol Cadang Negara Islam Guna Mata Wang Sendiri
Rosol Cadang Negara Islam Guna Mata Wang Sendiri
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, mencadangkan agar negara-negara Islam mengambil langkah berani dan proaktif untuk mengurangkan pergantungan terhadap Dolar Amerika Syarikat (AS) dengan menerajui penggunaan mata wang sendiri dalam urus niaga antarabangsa. Cadangan itu disuarakan beliau ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, sambil menegaskan bahawa negara-negara Islam memiliki kekayaan sumber hasil bumi yang seharusnya memberi kelebihan untuk membentuk sistem kewangan tersendiri. “Berkenaan kekayaan negara Islam yang memiliki pelbagai hasil bumi, saya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen Marang, setujukah bahawa kita tidak perlu lagi bergantung kepada Dolar Amerika? Malaysia seharusnya menerajui penggunaan mata wang untuk negara-negara Islam. Kita tolak Amerika,” katanya.  Rosol turut menyatakan pendirian tegasnya menolak sebarang bentuk perjanjian yang membolehkan tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Malaysia, sambil menegaskan perlunya dunia Islam menilai semula kebergantungan terhadap dasar kewangan AS. Menjawab persoalan tersebut, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuan terhadap pandangan Rosol. Menurut beliau, sudah tiba masanya negara-negara Islam mempertimbangkan penggunaan semula mata wang dinar sebagai simbol kekuatan ekonomi bersama. Cadangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh autonomi ekonomi dunia Islam, sekali gus mengurangkan risiko terhadap ketidaktentuan pasaran global yang bergantung kepada Dolar AS. Isu ini dijangka terus menjadi perbincangan utama dalam kalangan negara-negara Islam, khususnya yang berhasrat untuk meneroka alternatif baharu dalam sistem kewangan antarabangsa.
15 Oct 25
70
Budaya Kerja Menyeronokkan Tingkat Produktiviti Penjawat Awam
Budaya Kerja Menyeronokkan Tingkat Produktiviti Penjawat Awam
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Keseronokan bekerja merupakan elemen penting dalam meningkatkan produktiviti, motivasi dan kepuasan dalam kalangan penjawat awam, sekali gus memberi kesan positif terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, berkata pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan perlu diberi keutamaan kerana dalam sektor awam, kakitangan merupakan tulang belakang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. "Keseronokan bekerja merujuk kepada perasaan positif yang dialami oleh pekerja ketika melaksanakan tugas mereka, yang melibatkan gabungan pelbagai elemen seperti suasana kerja yang kondusif, hubungan baik dengan rakan sekerja serta penghargaan terhadap usaha yang dilakukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan pelakon terkenal, Dato’ Rosyam Noor, sebagai panel jemputan dalam slot Bicara Psikologi bertajuk 'Mode Kerja: On, Stress: Off' yang berjaya menarik perhatian para peserta melalui penyampaian yang santai dan inspiratif. Dalam pada itu, Dato’ Nara Setia turut mengharapkan agar suasana kerja yang kondusif dan menyeronokkan dapat diterapkan di semua peringkat jabatan kerajaan serta agensi negeri. Beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk membina suasana kerja yang positif, saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain serta memberi makna yang mendalam supaya setiap individu bukan sahaja bekerja atas dasar tanggungjawab, tetapi juga kerana rasa bangga dan bahagia dalam menyumbang kepada organisasi. Menurut beliau, pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan bukan sahaja merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan besar kepada penjawat awam, malah turut memberikan manfaat secara menyeluruh kepada negeri. Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang dianjurkan oleh Unit Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, telah menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat. Antara pengisian yang diadakan termasuk Program Mental Health Fun Run & Fun Ride for Waqf 2025 yang berlangsung pada 11 Oktober lalu dan berjaya menarik penyertaan lebih 1,800 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, turut diadakan Program Pementoran Kepimpinan dan Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Terengganu serta slot Bicara Psikologi pada hari ini sebagai kemuncak kepada program tersebut.    
15 Oct 25
82
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Menteri Besar Terengganu hari ini menyantuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam satu majlis di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan skuad itu menjulang empat kejuaraan utama musim ini. Majlis itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun, yang bersama-sama menyaksikan penyerahan piala kepada kepimpinan tertinggi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kehadiran Menteri Besar bersama pemain-pemain THT memberi makna besar kepada seluruh keluarga hoki Terengganu. "Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari. "Kehadiran Menteri Besar membuktikan bahawa kejayaan atlet negeri diraikan bukan hanya sebagai kemenangan sukan, tetapi sebagai kebanggaan seluruh rakyat Terengganu," katanya dalam sidang media seusai majlis penghargaan tersebut. Beliau menambah, majlis berkenaan diadakan sebagai lambang kasih dan penghargaan THT kepada kerajaan negeri yang sentiasa menyokong perjuangan mereka di gelanggang dan di luar padang. "Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri. "Ia tanda penghargaan tulus pasukan kepada kepimpinan negeri yang tidak pernah jemu memberikan dorongan dan kepercayaan kepada mereka," tambahnya. Majlis itu menutup musim penuh gemilang buat THT dengan semangat kebersamaan yang menyentuh hati, sekali gus menjadikan kejayaan mereka bukan hanya milik pasukan, tetapi milik seluruh negeri yang bersatu di bawah panji Terengganu.  
15 Oct 25
93
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usaha gigih pemain dan pengurusan THT membuahkan hasil luar biasa. "Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari. "Kemenangan itu melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama musim ini yang amat membanggakan seluruh rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pasukan Hoki Terengganu Menjulang Trofi Bersama Menteri Besar Terengganu di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.  Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan juga Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun. Beliau menambah, prestasi THT menggambarkan kejayaan kesinambungan pelan pembangunan sukan negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat muda dan kekuatan pasukan secara berstruktur. "Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pemain-pemain THT, dan yang paling membanggakan dalam Razak Cup kali ini, ia dibarisi oleh pemain-pemain muda, itu sangat membanggakan pihak kerajaan," ujarnya. Hishamuddin turut menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil sokongan berterusan kerajaan negeri serta pengurusan yang cekap di bawah Persatuan Hoki Terengganu (PHT). "Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri. "Sokongan dan kepercayaan daripada kerajaan negeri menjadi nadi utama kejayaan yang dikecapi oleh pasukan ini," tambahnya. Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai insentif baharu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan. "Insya-Allah ada inisiatif yang akan diberikan cuma buat masa sekarang ini tidak diumumkan lagi kerana masih terlalu awal," katanya.
15 Oct 25
1262
HEBAT 2.0 Sasar Kehadiran 15,000 Belia
HEBAT 2.0 Sasar Kehadiran 15,000 Belia
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Setelah lima tahun berlalu, Karnival  Himpunan Belia Terengganu (HEBAT) kembali diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini, bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah kepada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) atas kejayaan merealisasikan karnival tersebut buat kali kedua ini. "Alhamdulillah, kita telah pun menganjurkan Karnival HEBAT pada tahun 2019, selepas itu kita terhenti akibat banyak faktor terutamanya kewangan kerana kita memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk mengadakan program sebesar ini. "Bermula tahun lepas, dengan usaha gigih yang dilakukan UBSNT, kita dapat merealisasikan HEBAT buat kali kedua. Pada kali ini, kita memilih Kompleks Sukan Negeri Terengganu sebagai tapak program dengan jangkaan kehadiran seramai 10,000 ke 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, HEBAT merupakan salah satu dari program untuk melahirkan generasi belia rabbani menerusi objektif yang disusun melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. "Kita tidak buat secara semberono tetapi ada objektif yang digariskan termasuklah segmen belia.  "Antara komponennya adalah mengadakan karnival yang kita cuba tarik semua belia dengan kesedaran beragama, kesedaran bersosial, kesedaran gaya hidup sihat sebagaimana dipelopori dalam ajaran agama. "Selain karnival belia, kita tambah kesedaran kepada semua peringkat belia negeri Terengganu tentang kebersamaan kita bersama Palestin, ada satu malam yang kita khususkan untuk pendedahan dan kesedaran berkenaan keperluan bersama umat Islam di Palestin dan saya kira ini himpunan yang juga besar di Terengganu yang juga akan membariskan sukarelawan yang telah menyertai Global Sumud Flotilla (GSF). "Itu antara agenda yang telah kita tambah untuk kali ini," tambahnya. HEBAT menawarkan pelbagai aktiviti dan pengisian antaranya ialah pertandingan e-sports, bengkel kemahiran kecerdasan buatan, ekspo kerjaya, sukan rakyat dan pertandingan bola tampar pantai.   
15 Oct 25
512
Kerjasama TI–Greenverse Pacu Terengganu Ke Arah Negeri Hijau dan Lestari
Kerjasama TI–Greenverse Pacu Terengganu Ke Arah Negeri Hijau dan Lestari
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Terengganu melangkah ke hadapan dalam usaha menjadi negeri hijau apabila Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI) menandatangani usahasama dengan Greenverse Holding Sdn. Bhd. bagi menubuhkan TI Greenverse Sdn. Bhd., entiti yang memfokuskan pengurusan sisa terjadual mampan dan pembangunan teknologi hijau. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, kemudahan yang bakal dibangunkan di Taman Bio-Polimer Kerteh itu akan berfungsi sebagai Kemudahan Pemulihan Sisa Terjadual Luar Tapak Bersepadu, khususnya untuk memproses sisa seperti minyak buangan agar dapat dirawat dan digunakan semula. “Satu Perjanjian dan Usahasama Pemegang Saham antara Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dan Greenverse Holding Sdn. Bhd. telah dimeterai pada 10 Oktober 2025 yang lalu menandakan penubuhan TI Greenverse Sdn. Bhd. sebagai sebuah entiti baharu yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa terjadual mampan serta Pembangunan teknologi hijau di Negeri Terengganu. “Kerjasama ini bukan sahaja mengoptimumkan pengurusan sisa secara lebih praktikal dan mampan, malah memberi impak besar terhadap alam sekitar, teknologi serta peluang ekonomi dan pendidikan di negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini. Tambah beliau, MoU tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem hijau, sejajar dengan komitmen Terengganu terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Perubahan Iklim Negeri. “Secara keseluruhan, MoU TI‑Greenverse adalah satu langkah positif dan penting ke arah pengurusan sisa terjadual secara praktikal, mampan dan mesra alam di samping memberi impak signifikan dalam aspek teknologi dan alam sekitar, malahan turut membuka potensi besar dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sosial,” jelasnya lagi.
15 Oct 25
316
“Petronas Bukan Lembaga Zakat Kerajaan”
“Petronas Bukan Lembaga Zakat Kerajaan”
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegur kebergantungan berterusan kerajaan terhadap Petronas dalam pembiayaan Belanjawan 2026. Hamzah menyifatkannya sebagai langkah tidak mampan yang boleh menjejaskan masa depan ekonomi negara. Menurut beliau, bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan dijangka menerima bayaran dividen sebanyak RM20 bilion daripada Petronas, selain menggunakan dana syarikat itu untuk membiayai projek Bandar Madani berjumlah RM4 bilion dan transaksi Bandar Malaysia sebanyak RM12 bilion. “Masalahnya sampai bila?. Sampai bila kerajaan mahu terus menyembelih angsa yang sedang mengeluarkan telur emas untuk rakyat?,” soal beliau ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat. Tambah beliau, dividen Petronas tidak boleh dijadikan ‘tabung kecemasan’ kerajaan setiap kali berlaku defisit kerana ia adalah syarikat strategik negara yang sepatutnya menumpukan pelaburan demi masa depan negara. “Jika setiap tahun hasil Petronas digunakan untuk tampung operasi kerajaan, maka tidak lama lagi Petronas akan jadi seperti lembaga zakat kepada kerajaan, bukan lagi syarikat minyak negara,” katanya. Perikatan Nasional, katanya, menegaskan bahawa sumber hasil negara mestilah berpaksikan kepada aktiviti ekonomi sebenar, pelaburan, inovasi dan peningkatan produktiviti – bukan bergantung kepada keuntungan syarikat milik negara semata-mata.
15 Oct 25
56
70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
BESUT, 14 Oktober – Kira-kira 70 orang petani di Baruh Padi Gong Nibong, Jabi kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan konkrit sepanjang 700 meter dijangka siap sepenuhnya sebelum musim menuai tiba, sekali gus memudahkan aktiviti pertanian mereka. Jalan pertanian yang mempunyai lebar 12 kaki itu bakal memberi manfaat besar kepada pengurusan kira-kira 240 hektar kawasan sawah padi di kampung berkenaan, dengan kemudahan infrastruktur yang lebih kukuh dan efisien. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata projek penting itu dibina menggunakan peruntukan bajet negeri bagi memastikan hasil tuaian petani dapat diangkut keluar dengan lebih mudah dan teratur. “Saya bercita-cita nak tengok semua jalan pertanian seperti ini, namun kekangan bajet membataskan hasrat tersebut. “Oleh itu, kita melaksanakan secara berfasa dengan mengutamakan kawasan yang paling penting. Jalan pertanian Baruh Padi Gong Nibong ini dibina sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri,” katanya. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, jalan konkrit tersebut direka dengan teliti menggunakan dua lapis BRC (Bent Reinforced Concrete) bagi memastikan ia cukup kuat dan tahan lasak menampung pergerakan jentera berat pertanian, terutama ketika musim hujan. Beliau turut memaklumkan bahawa projek kini berada di peringkat akhir, dengan hanya baki 150 meter pembinaan yang belum disiapkan. Projek ini diharap dapat mengatasi masalah jalan tanah liat yang sering becak dan sukar dilalui semasa musim tengkujuh, selain meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian. “Walaupun cuaca hujan sedikit mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan, saya mohon semua bersabar. Kerja sedang giat dijalankan dan, insya-Allah, jalan ini boleh digunakan sebelum musim menuai tiba,” jelasnya.    
15 Oct 25
149