KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan institusi pondok dan pengajian turath sebagai benteng utama dalam melahirkan, membentuk akhlak serta jati diri generasi muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan di bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), termasuk pendaftaran, penyelarasan dan pemerkasaan semua institusi pendidikan Islam agar bernaung di bawah satu sistem tersusun.
“Kita tidak mahu pengajian turath kita ini sampai satu masa berada dalam kemalapan. Antaranya adalah kehilangan tokoh-tokoh, guru-guru hebat yang perlu kita sediakan pelapis-pelapis untuk meneruskan kesinambungan ini dan juga kepada pelajar-pelajar serta minat mereka.
“Sebab itu kerajaan menubuhkan Pusat Tafaqquh Fi al-Din bagi melahirkan tenaga pengajar dalam bidang turath untuk berkhidmat di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program SEPONDOK’ 25 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, kelmarin.

Katanya, ilmu merupakan fardu ain yang wajib dipelajari oleh setiap individu.
“Ia bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau lulus peperiksaan, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk nilai kemanusiaan dan akhlak yang mulia.
“Apatah lagi mutakhir ini dengan isu-isu yang ada dalam pendidikan, isu rogol, bunuh, dan isu-isu akhlak. Jadi ini cukup membimbangkan ibu bapa dan kitalah, masyarakat kita bagaimana nilai akhlak yang makin hari makin orang panggil merudum,” ujar beliau.
Satiful turut melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan minat pelajar dalam pengajian agama serta gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.
Justeru itu katanya, antara alternatif yang ada adalah pendidikan turath perlu diperkasakan sama untuk memberi keyakinan, kepercayaan kepada masyarakat akan terus melahirkan nilai muslim, rakyat jati diri tinggi untuk masa akan datang.
Beliau menambah, sehingga kini lebih 145 institusi pondok dan maahad tahfiz telah berdaftar di bawah JPINT, dan kerajaan negeri akan terus memudah cara segala urusan melibatkan pentadbiran, pengurusan serta bantuan kewangan kepada institusi berkenaan.
Menurutnya, walaupun berdepan kekangan kewangan, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam hal pendidikan, malah menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan rakyat Terengganu.

“Pendidikan ini banyak orang panggil pelaburan, tidak ada ‘return’, pulangan dolar dan sen, tapi kita tahu pelaburan ini penting kerana ia melibatkan anak-anak ataupun rakyat Terengganu bagi melapisi generasi yang akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat dan pondok-pondok akan diselesaikan pada bulan November ini, selain perancangan mengembalikan semula bantuan TVET pondok bagi melahirkan pelajar berkemahiran.
Beliau menambah, langkah ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri di bawah tema “Maju, Berkat dan Sejahtera” dan pelaksanaan Blueprint Pendidikan Sejahtera 2030, yang menjadi hala tuju pembangunan pendidikan Islam serta insan seimbang di Terengganu.
