KUALA NERUS, 15 Oktober – Seramai 219 penerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kawasan Mengabang Bakong menerima khabar gembira apabila borang 5A diserahkan kepada mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata penyerahan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menunaikan janji manifesto walaupun kini berada di penggal kedua pemerintahan.
“Majlis penyerahan borang 5A ini menjadi khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB Kediaman Mengabang Bakong.
“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi diteruskan pada penggal kedua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Borang 5A yang berlangsung di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima RTB secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati hak pemilikan tanah dengan segera.
Sementara itu, rata-rata penerima RTB terkilan yang hadir pada majlis tersebut meluahkan rasa syukur dan terharu atas peluang memiliki tanah yang diberikan.
Mereka turut berterima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana menunaikan janji manifesto yang telah diumumkan sebelum ini.