KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azzamuddin menegaskan bahawa negara kini sedang berdepan dengan satu krisis sosial dan moral yang semakin meruncing, khususnya melibatkan pelajar-pelajar sekolah.
Menurut beliau, isu tersebut tidak boleh diserahkan hanya kepada satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh merentasi pelbagai kementerian, sama seperti ketika negara menangani wabak COVID-19 pada tahun 2020.
“Kalau COVID-19 dahulu kita anggap krisis kesihatan, maka isu yang sedang berlaku di sekolah hari ini boleh kita anggap sebagai krisis moral atau sosial.
“Ini bukan perkara kecil kerajaan perlu bertindak segera,” tegasnya dalam sidang media.
Ketua Pemuda PAS itu turut menekankan bahawa punca kepada krisis tersebut bermula dari rumah, bukan semata-mata di sekolah.
“Anak-anak kita tidak jadi bermasalah dalam sekelip mata. Di rumah ada ibu bapa, ada gajet. Tetapi kandungan gajet dikawal oleh kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan SKMM. Mak ayah hanya boleh menasihati, tapi kawalan sebenar berada di tangan kerajaan,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar Kementerian Komunikasi turut digerakkan bersama Kementerian Pendidikan dalam menangani gejala sosial yang berpunca daripada pendedahan kandungan tidak bermoral di internet dan permainan video ganas.
“Daripada gajet juga datangnya sikap ganas ada yang menonton perkara tidak bermoral, lalu mencuba di dunia sebenar. Ini bukan sekadar isu sekolah, tetapi penyakit sosial yang semakin merebak,” katanya.
Tambahnya lagi, sistem pendidikan juga tidak boleh terlalu berorientasikan pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan pembangunan sahsiah pelajar.
“Apa guna sekolah berprestasi tinggi kalau jiwa pelajarnya kosong? Hari ini semua kejar KPI, ibu bapa kejar pendapatan, sekolah kejar gred. Akhirnya kita hilang nilai dan akhlak dalam diri anak-anak,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut menawarkan kerjasama Perikatan Nasional kepada pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang berlaku, termasuk memberi sumbangan idea dan program intervensi di sekolah.
“Kami bukan mahu berpolitik di sekolah, kami mahu membantu sebagai pemimpin masyarakat. Kalau reunion boleh diadakan di sekolah, sampai ada hidangan arak, mengapa pemimpin masyarakat yang mahu membantu tidak dibenarkan masuk?,” soal beliau.
Mengulas lanjut, Afnan turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara Menteri Pendidikan menangani isu berkenaan yang dianggap tidak menenangkan keadaan.
“Sepatutnya Menteri meredakan keadaan, bukan menambah kegusaran. Maka saya berpendapat, solusi terakhir adalah menukar Menteri Pendidikan sekiranya beliau terus gagal menangani krisis ini dengan serius,” katanya.