KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman (KMI) Kuala Terengganu di sini terus melakar kejayaan membanggakan apabila menerima ‘Global Performance Excellence Awards’ (GPEA) 2025 yang berlangsung di Beijing, China.
Pengurus Besarnya, Salina Long berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi bagi prestasi organisasi dan kecemerlangan perniagaan di rantau Asia Pasifik.
"Selain anugerah ini, KMIKT turut diiktiraf untuk ‘Best Practice’ melalui inisiatif ‘Special Task Force (STF) for Profitability’, yang menekankan pendekatan inovatif dalam meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi keuntungan hospital.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KMIKT terhadap kecemerlangan, pengoptimuman sumber, dan pengurusan strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan selari dengan perkhidmatan berkualiti tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Salina, penilaian bagi GPEA merangkumi beberapa aspek utama seperti kepimpinan, strategi, fokus pelanggan, penglibatan tenaga kerja, keputusan operasi dan inovasi.
"Ia antara nilai-nilai yang sentiasa menjadi teras kepada budaya kerja kami di KMIKT.
"Tahniah kepada seluruh warga kerja KMIKT atas kejayaan antarabangsa yang membanggakan ini. Bersama-sama kita terus memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk masa depan yang lebih cemerlang, " ujarnya.