lightning-solid
Berita :
Perkukuh Pendidikan Turath Bagi Bendung Krisis Akhlak Pelajar
Perkukuh Pendidikan Turath Bagi Bendung Krisis Akhlak Pelajar
Amiirullah Mansor
17 Oct 25
65

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober — Pendidikan turath atau sistem pondok merupakan warisan keilmuan Islam yang terbukti berperanan besar dalam membentuk sahsiah, adab dan jati diri umat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata pendidikan turath bukan sahaja mendidik akal dan minda, tetapi juga melatih hati dan jiwa agar berdisiplin, beradab dan beriman.

“Apa yang kita mahu ialah sistem pendidikan yang bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi membentuk insan yang beradab, bertanggungjawab dan berakhlak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan terhadap pelbagai isu sosial yang melibatkan pelajar akhir-akhir ini, termasuk kes rogol, bunuh, dan salah laku moral yang kian meningkat di sekolah-sekolah.

Justeru, usaha memperkasakan sistem pondok ini perlu digerakkan dengan lebih tersusun, agar ia terus relevan dan diyakini oleh masyarakat sebagai model pendidikan akhlak berkesan.

“Pendidikan turath telah membuktikan kemampuan itu, dan kini tiba masanya kita memperkukuh semula peranannya.

“Kes rogol berkumpulan yang berlaku baru-baru ini cukup membimbangkan. Ia bukan lagi isu kecil, tetapi tanda jelas bahawa nilai akhlak dalam kalangan generasi muda semakin merudum. Hal ini perlu ditangani segera dengan memperkukuh pendidikan yang berteraskan agama dan nilai,” ujarnya.

Katanya lagi, masyarakat kini perlu memberi keyakinan dan kepercayaan semula kepada sistem pendidikan turath sebagai alternatif terbaik dalam membentuk rakyat berjati diri tinggi, berilmu dan beriman.

“Kalau kita ingin melihat masa depan bangsa dan negara yang sejahtera, kita mesti mula dengan akhlak. Pendidikan turath inilah benteng utama untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja cerdik, tetapi juga berjiwa hamba dan berakhlak mulia,” katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan