KEMAMAN, 16 Oktober – Dua lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan, berhampiran sebuah kilang besi keluli, kira-kira jam 8.01 pagi semalam.
Mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Shamsuddin Yusof, 39, seorang tukang masak kilang, dan Mohd Alis Ismail, 36, pekerja Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Mohd Alis dalam perjalanan ke bandar Kerteh untuk menjalankan tugas, manakala Shamsuddin yang datang dari Dungun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang berhampiran.
“Kemalangan tragis ini berlaku apabila motosikal yang ditunggang Shamsuddin dipercayai telah memasuki laluan bertentangan untuk masuk ke kawasan kilang, menyebabkan pertembungan dengan motosikal Mohd Alis,” katanya.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mereka telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.