KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Keputusan kerajaan menaikkan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau dalam Belanjawan 2026 disambut baik, namun langkah itu menimbulkan kebimbangan berhubung peningkatan aktiviti penyeludupan yang semakin sukar dibendung.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berkata walaupun kenaikan cukai rokok dianggap wajar bagi tujuan kesihatan awam dan menambah hasil negara, kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya disokong dengan kawalan penguatkuasaan yang berkesan.
“Setiap kali cukai rokok dinaikkan, kadar penyeludupan turut meningkat. Akhirnya hasil negara terjejas dan rakyat pula terdedah kepada produk seludup yang jauh lebih berbahaya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan perlu memperincikan pelan taktikal bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi maritim bagi memperketatkan kawalan di sempadan dan pelabuhan utama.
“Persoalan saya, adakah pegawai penguat kuasa di agensi-agensi terlibat mencukupi?,” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa isu kecukupan pegawai penguat kuasa perlu diberi perhatian serius, apatah lagi tiada pengumuman khusus mengenai penambahan peruntukan atau jawatan dalam Belanjawan 2026 untuk memperkukuh agensi-agensi terbabit.
“Pasaran gelap rokok kini dianggarkan mencecah hampir 50 peratus. Jika tiada tindakan serius, keadaan ini boleh menjadi lebih parah,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Alias turut meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan langkah persediaan mereka dalam mengharamkan rokok elektronik (vape).
Katanya, larangan tersebut berisiko mewujudkan pasaran gelap vape, sebagaimana yang berlaku terhadap rokok seludup jika tiada strategi penguatkuasaan yang jelas.
“Apakah langkah KKM bersama agensi lain bagi memastikan pasaran gelap vape dapat dikawal sepenuhnya sebelum menjadi ancaman baharu kepada kesihatan awam dan ekonomi negara?,” ujarnya.