MARANG, 17 Oktober – Lumrahnya wanita dikenali sebagai seorang yang berpersonaliti anggun dan lemah lembut.
Bagaimanapun, sejajar dengan peredaran masa, wanita hari ini kian bergerak maju berdiri di atas kaki sendiri sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada kelompok wanita lain.

Percaya kepada kemampuan diri, Maziah Ghazali, 38, dari Kampung Sungai Serai, Binjal Rendah, di sini nekad menceburi pekerjaan sebagai juru kimpal atau 'welder' yang sering digambarkan sebagai kerjaya lasak dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
Isteri kepada Ahmad Sobri Hashimi, 39, mengakui, dia tidak sedikit pun kekok bekerja dalam keadaan panas, berdebu serta berdepan percikan api yang memerlukan kekuatan fizikal.
“Sebelum ini, saya berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengedar dan kontraktor untuk produk-produk kejuruteraan termasuk terlibat dalam industri penyudah logam. Ketika itu, suami turut berkerja di tempat sama dengan membuat kerja-kerja kimpalan.
“Saya sering memerhati tugas juru kimpal malah ada kalanya saya menggantikan kerja mereka, lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami ‘dunia’ ini membuatkan saya dan suami nekad berhenti kerja pada tahun 2022 dan membuka bengkel kimpalan sendiri di rumah,” ujarnya.

Maziah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman ke bengkelnya.
Sebagai wanita, dia mengakui berdepan cabaran berbeza apabila menceburi bidang yang dikuasai lelaki terutamanya dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Reaksi yang saya terima pelbagai, ada baik dan sebaliknya. Maklumlah kerja juru kimpal biasanya melibatkan penyambungan, pembaikan, dan pemotongan logam yang banyak ‘bermain’ dengan api bukan sesuatu yang biasa buat wanita dan membuatkan ada klien yang kurang percaya dengan kemampuan saya.
"Masa mula bekerja sendiri, setiap kali berjumpa 'tauke-tauke' besar untuk dapatkan tawaran kerja-kerja kimpalan, setiap kali itu juga mereka tanya 'bolehkah saya buat kerja untuk model saiz industri?'
"Tapi saya tidak mudah melatah sebaliknya meminta mereka beri peluang untuk lakukan kerja terbabit terlebih dahulu. Dengan dibantu suami, saya telah buktikan setiap kerja tersebut dapat dilakukan sehabis baik," katanya.

Maziah berkata, kini dia bukan sahaja berjaya membuktikan kerjaya lasak ini boleh diceburi golongan wanita, malah keupayaan dan ketelitiannya membuatkan tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai klien yang berpuas hati dengan hasil kerja saya, ada yang dulunya tidak percaya dengan kemampuan saya, sekarang datang cari,” ujarnya.
Maziah berkata, paling membanggakan apabila bengkel kimpalan yang diusahakan bersama suaminya itu turut mendapat projek-projek besar daripada syarikat ternama termasuk anak syarikat kerajaan negeri serta industri perkapalan di Terengganu.