KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Negeri Terengganu yang diisytiharkan sebagai gergasi Unsur Nadir Bumi (REE) dengan deposit dianggarkan melebihi 7 juta tan metrik berdepan dengan tugas berat untuk memajukan sektor itu jika tiada pelabuhan berkualiti dunia.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, ini kerana pelabuhan biasa tidak mampu menyokong aktiviti eksport hiliran dan mineral bernilai tinggi tersebut.
Katanya, Pelabuhan Kemaman disifatkan sebagai satu-satunya lokasi yang memiliki ciri fizikal yang sesuai, termasuk kedalaman semula jadi melebihi 16 meter, kemudahan dermaga industri berat, serta sambungan jalan dan rel yang menghubungkannya terus ke kawasan pengeluaran REE utama di Hulu Terengganu dan Setiu.
Namun, Dr. Alias membangkitkan kebimbangan bahawa kapasiti sedia ada pelabuhan itu belum dimaksimumkan.
“Lebih membimbangkan, tiada pelan pengembangan menyeluruh di peringkat nasional untuk mengubahnya menjadi hab eksport REE dan bahan hiliran yang kompetitif di rantau ini," katanya.
Dr. Alias turut mencetuskan persoalan mengenai keadilan pembangunan wilayah, dengan membandingkan peruntukan projek besar antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
“Jika negeri seperti Pulau Pinang boleh menerima RM17 bilion untuk projek LRT, mengapa pelabuhan penting yang berpotensi memacu ekonomi Pantai Timur tidak dijadikan keutamaan nasional?,” soalnya tegas.
Jelas beliau, jika pelabuhan yang dinaiktaraf sepenuhnya barulah sektor REE Terengganu dapat dikembangkan secara bersepadu.
“Pembangunan ini dijangka akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan hasil negeri secara drastik, dan menarik pelaburan asing yang berkualiti ke Pantai Timur.
“Pihak berkepentingan mendesak kerajaan persekutuan untuk segera menjadikan pembangunan Pelabuhan Kemaman sebagai projek keutamaan nasional agar Terengganu dapat mengoptimakan kekayaan mineralnya demi manfaat ekonomi negara dan penduduk setempat,” katanya.