lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan. Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara. “Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut. Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut. Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut. Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
88
Terengganu di Fasa Akhir Pelaksanaan Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal
Terengganu di Fasa Akhir Pelaksanaan Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal
KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu kini berada pada fasa akhir sebelum menerima pakai Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), selepas berjaya melengkapkan semua keperluan teknikal serta dokumentasi yang ditetapkan oleh pihak kementerian. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai prosedur penting termasuk audit menyeluruh di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan aspek pengurusan sisa pepejal dan pelupusan awam. “Segala dokumentasi, audit dan pelaksanaan di peringkat PBT seluruh negeri telah pun dilaksanakan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Saya difahamkan semuanya telah lengkap, dan kini kita hanya menunggu maklum balas rasmi daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam. Menurut Wan Sukairi, Terengganu kini bersedia sepenuhnya untuk memuktamadkan penyertaan dalam Akta 672. Katanya, pelaksanaan akta tersebut bakal menyaksikan sistem pengurusan sisa pepejal negeri diseragamkan dengan negeri-negeri lain yang berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan. “Di peringkat negeri, kita telah menyelesaikan semua yang diperlukan. Sekarang hanya menunggu kelulusan akhir daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. Pelaksanaan Akta 672 dijangka memberi impak besar terhadap kecekapan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di Terengganu. Antara perubahan utama ialah pelaksanaan pengasingan sisa di punca, penggunaan tapak pelupusan berlesen secara lebih sistematik, serta pemantauan bersepadu bagi memastikan tahap kebersihan awam berada pada standard yang lebih tinggi.
13 Oct 25
223
Wanita Terengganu Bangkit Dengan Ilmu dan Akhlak
Wanita Terengganu Bangkit Dengan Ilmu dan Akhlak
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kaum wanita terus diperkasa melalui pendekatan pendidikan dan penerapan nilai Islam bagi melahirkan golongan yang berilmu, berkeyakinan serta berakhlak mulia menerusi penganjuran Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung hari ini. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan masyarakat serta asas kekuatan ummah. Menurutnya, dalam Islam, tokoh seperti Sayyidatina Aisyah r.a menjadi simbol keilmuan, keberanian dan ketegasan dalam mempertahankan prinsip Islam. “Beliau bukan sahaja isteri Rasulullah SAW, malah perawi hadis, guru ummah dan tokoh ilmuwan wanita yang disegani. Nilai dan semangat inilah yang ingin kita hidupkan dalam kalangan wanita Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Sayyidatina Aisyah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.  Tambah beliau, wanita memainkan peranan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah. “Berdasarkan bancian penduduk 2020, hampir 50 peratus daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita. Majoritinya terdiri daripada suri rumah, usahawan mikro, pendidik serta aktivis komuniti,” ujarnya. Namun, beliau turut mengakui masih ramai wanita berdepan cabaran seperti kurang keyakinan diri, akses terhad terhadap maklumat agama dan kekurangan sokongan moral. Sehubungan itu, katanya, penganjuran Hari Sayyidatina Aisyah berperanan sebagai platform pengupayaan yang berasaskan pendidikan, motivasi dan inspirasi tokoh wanita Islam selaras dengan hasrat Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. “Fokus utama program ini ialah meningkatkan kefahaman wanita dan belia terhadap peranan mereka dalam pembangunan ummah, mewujudkan ruang perkongsian ilmu serta melahirkan ikon wanita Terengganu yang berilmu dan berakhlak mulia. “Penganjuran kali kedua ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan wanita yang kompeten dan berdaya saing,” katanya. Akhir sekali, beliau menyeru semua pihak agar bersatu dalam memperkasa wanita dengan ilmu dan akhlak mulia, demi membina masyarakat Islam yang kuat dan harmoni.  
13 Oct 25
88
Pesta Gagar Udang 2025 Semarak Warisan Budaya dan Pelancongan Komuniti
Pesta Gagar Udang 2025 Semarak Warisan Budaya dan Pelancongan Komuniti
KEMAMAN, 13 Oktober – Pesta Gagar Udang 2025 yang berlangsung di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini hari ini, menyerlahkan keunikan tradisi dan warisan budaya masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan serta pelancongan komuniti. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu yang mewakili Menteri Besar, Ir. Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, selaku tuan rumah, serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dan Pejabat Daerah Kemaman sebagai penganjur bersama. Beliau berkata, Pesta Gagar Udang bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu usaha memartabatkan warisan budaya dan memperkukuh sektor pelancongan tempatan. “Aktiviti menangkap udang dengan tangan bukan sekadar tradisi unik, tetapi mempunyai nilai budaya yang tinggi dan wajar didokumentasikan agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Kampung Bukit Mentok kini diiktiraf sebagai destinasi di bawah inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism – CBT), yang memberi peluang kepada penduduk setempat menjadi pemilik dan pelaksana dalam aktiviti pelancongan. Setakat Jun 2025, Terengganu telah menerima hampir 6.9 juta pelancong dan pengunjung, sekali gus menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pelancongan negeri. “Kita mahu pelancong yang datang bukan sahaja membawa pulang cenderamata, tetapi juga pengalaman dan kenangan tentang kehangatan masyarakat tempatan,” katanya. Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM65,000 bagi menaik taraf fasiliti pelancongan dan memperkukuh pembangunan komuniti di Kampung Bukit Mentok. Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menobatkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64. “Ini mencerminkan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, stabil dan berkualiti,” katanya. Beliau turut menyeru rakyat agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta terus menyokong misi kemanusiaan termasuk Flotilla Gaza. “Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform hiburan, tetapi juga medan untuk memperkukuh solidariti dan menyemai nilai insaniah dalam masyarakat,” katanya.        
12 Oct 25
53
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
KEMAMAN, 12 Oktober – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakar sejarah tersendiri apabila merasmikan Pejabat Ahli Majlis pertama di daerah Kemaman, sekaligus memperkukuh peranan Ahli Majlis sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan. Majlis perasmian yang berlangsung di Bangunan Pejabat Daerah Kemaman (Lama), Cukai, Terengganu itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MPK, Yusof Zakaria, diiringi Setiausaha MPK, YM Sharifah Khairuzita Tuan Kechil, barisan Ahli Majlis serta pengarah-pengarah jabatan MPK. Menurut Fadli, pembukaan pejabat tersebut mencerminkan komitmen MPK dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga Kemaman. “Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan, jadi penggunaannya perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. “Pejabat Ahli Majlis ini merupakan satu-satunya yang ada di daerah Kemaman dan belum lagi diwujudkan di daerah lain. “Harapan kita agar pejabat ini dapat dijadikan tempat bagi sesi perbincangan dan perjumpaan bersama komuniti setempat,” katanya.    Fadli memegang gunting bagi menyempurnakan simbolik pemotongan reben sempena majlis perasmian Pejabat Ahli Majlis. Tujuan penubuhan Pejabat Ahli Majlis adalah untuk memperkukuhkan peranan mereka sebagai wakil masyarakat setempat dalam pentadbiran kerajaan tempatan. Pejabat ini juga berfungsi sebagai saluran rasmi bagi penduduk menyampaikan aduan, cadangan dan pandangan berkaitan isu kebersihan, infrastruktur serta perkhidmatan awam. Penubuhan pejabat tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh jaringan komunikasi antara pihak MPK dan masyarakat, selain menjadi ruang bersemuka bagi membincangkan isu setempat serta keperluan pembangunan komuniti secara lebih berkesan.
12 Oct 25
44
Tanam Sendiri, Jimat Belanja
Tanam Sendiri, Jimat Belanja
Oleh: Nor Amira Amijudin BESUT, 12 Oktober – Inisiatif pertanian komuniti melalui projek “Tanaman Bira Rumoh” yang dilaksanakan di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Hulu Besut mencuri perhatian apabila berjaya memberi manfaat secara langsung kepada kakitangan setempat. Program ini merupakan usaha menyahut seruan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Puan Tuan Roslina Tuan Sulaiman, dalam Program Lamanita beberapa bulan lalu yang menggalakkan masyarakat memanfaatkan ruang tanah sedia ada untuk aktiviti bercucuk tanam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata pelaksanaan projek ini bukan sahaja membekalkan sumber makanan segar kepada kakitangan, malah turut membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. “Selain menjimatkan perbelanjaan, projek ini juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pertanian komuniti dalam menjamin bekalan makanan tempatan. Terima kasih kepada USWA kerana sentiasa menggerakkan inisiatif bermanfaat untuk rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini, kelmarin Menurutnya, pelbagai tanaman dapur ditanam di kawasan tersebut dan hasilnya diagihkan serta digunakan secara bersama oleh warga PKM dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Hulu Besut. Beliau berkata, projek ini juga dilihat sebagai model kecil kepada usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan rakyat menanam sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar.
12 Oct 25
10863
Ahli Parlimen Besut Soal Ketelusan LPQB, Timbalan Menteri Akui Kecuaian
Ahli Parlimen Besut Soal Ketelusan LPQB, Timbalan Menteri Akui Kecuaian
KUALA LUMPUR 9 Okt. 2025 – Suasana Dewan Rakyat baru-baru ini dihangatkan dengan soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-PAS), yang mempersoalkan status pelaksanaan tanggungjawab berkanun oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB). Che Mohamad Zulkifly, meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Tuan M. Kulasegaran (PH) berkait isu yang membabitkan LPQB. Beliau merujuk kepada soalan asal yang dilihat seolah-olah menggesa rombakan institusi LPQB kerana dakwaan kegagalan. "Soalan saya mudah sahaja. Adakah sehingga kini, ia membuktikan bahawa fungsi-fungsinya (LPQB) telah dilanggar? Maknanya tidak diikuti?" tegas Che Mohamad Zulkifly. Beliau kemudian menyusul dengan soalan kritikal yang menjadi nadi kerisauan masyarakat, khususnya pelajar undang-undang: "Adakah terdapat apa-apa bukti rasmi contohnya keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa LPQB tidak menjalankan obligasi statutori (berkanun) mereka?" Che Mohamad Zulkifly menekankan bahawa LPQB ditubuhkan seawal tahun 1985. Beliau mempersoalkan mengapa hanya dalam 15 tahun terakhir ini, timbul dakwaan bahawa lembaga tersebut gagal menjalankan tugas. "Adakah kerana ada kegagalan dalam peperiksaan itu sendiri oleh peguam-peguam yang hendak jadi peguam, ataupun atas sebab-sebab lain?," soalnya, menamatkan desakan kepada Timbalan Menteri. Menjawab soalan tersebut, M. Kulasegaran mengakui bahawa LPQB telah menjalankan tugas-tugas yang termaktub di bawah Akta Profesion Undang-Undang. Namun, beliau mengesahkan wujud satu 'kecuaian' LPQB dalam menjalankan obligasi berkanun untuk mengadakan 'Article Clerkship', latihan dalam kamar yang wajib. Timbalan Menteri mendedahkan bahawa LPQB telah mencadangkan kepada Kerajaan pada tahun 1985 untuk menghapuskan klausa ini, namun tiada sebarang pandangan diberikan oleh Kerajaan pada masa itu. "Selepas itu, Lembaga itu dengan tersendirinya tidak menjalankan tugas untuk mengadakan 'Article Clerkship'. Itu pada pandangan saya satu adalah satu kecuaian mereka," jelas M. Kulasegaran. Beliau seterusnya merujuk kepada kes di Mahkamah Persekutuan beberapa hari lalu, di mana mahkamah telah mengarahkan LPQB untuk mendaftarkan seorang pemohon untuk article clerkship. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa ini adalah 'statutory obligation' (obligasi berkanun) yang mesti dilakukan oleh LPQB. Sebagai pengakhiran, Timbalan Menteri memaklumkan mahkamah turut memerintahkan LPQB membayar RM80,000 sebagai kos kepada pihak pemohon, menguatkan lagi pandangan perlunya LPQB mematuhi obligasi yang ditetapkan.
12 Oct 25
161
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial - Wan Sukairi
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial - Wan Sukairi
KUALA NERUS, 12 Oktober – Wanita perlu menjadi ejen perubahan sosial dengan meniup semangat kebaikan dan membawa masyarakat lebih dekat kepada Allah SWT melalui ilmu, akhlak serta keteladanan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  konsep 'wanita inspirasi' bukan sekadar merujuk kepada wanita yang terkenal atau berpangkat. Tetapi katanya kepada setiap wanita yang mampu menghidupkan semangat orang lain melalui peranan harian mereka. “Wanita inspirasi bukan semestinya yang terkenal atau berpangkat. Kadang-kadang dia lah seorang ibu yang sabar, guru yang ikhlas, atau jiran yang suka membantu. Walaupun mereka ini mungkin bukan pempengaruh atau terkenal, tetapi auranya menghidupkan semangat orang lain untuk jadi lebih baik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Sayyidatina Aisyah anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al- Wathiqu Billah, di sini, hari ini. Menurutnya, wanita inspirasi memiliki empat ciri utama, iaitu berilmu dan sentiasa menambah pengetahuan, berakhlak mulia, tabah menghadapi ujian dengan penuh reda dan tawakal, serta menyumbang kepada masyarakat dengan niat yang ikhlas. Wan Sukairi turut menegaskan bahawa Islam memuliakan wanita dan lelaki secara sama rata, dan yang membezakan mereka hanyalah iman dan amal. Beliau turut mencontohkan Sayyidatina Aisyah sebagai lambang wanita Islam yang unggul kerana kecerdasan akal, keluasan ilmu dan sumbangan besar terhadap kefahaman agama. "Di Malaysia, wanita kini bukan lagi berada di pinggiran. Mereka telah membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang, meliputi pendidikan, ekonomi, politik, keusahawanan dan kepimpinan," ujar beliau. Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri dan percaya apabila diberi peluang, wanita mampu menjadi penggerak utama kepada perubahan sosial yang positif. “Teruskan budaya ilmu, semangat juang dan jadilah wanita inspirasi bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan dan keteladanan,” tambah beliau.
12 Oct 25
45
Kemaman Gempita dengan Pesta Gagar Udang 2025
Kemaman Gempita dengan Pesta Gagar Udang 2025
KEMAMAN, 13 Oktober – Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 yang berlangsung selama dua hari di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, melabuhkan tirai dengan penuh warna-warni, meninggalkan kenangan indah buat lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar Terengganu. Acara yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya itu bukan sekadar pesta hiburan, tetapi platform untuk meraikan keunikan budaya kampung, warisan tradisional, serta kekayaan hasil laut Kemaman yang menjadi identiti kebanggaan masyarakat setempat. Sepanjang dua hari penganjuran bermula 10 hingga 11 Oktober, pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertandingan memasak udang galah, memancing sungai dan tebing, pertandingan tangkap udang dengan tangan (gagar udang), serta aktiviti mencabar seperti RC Crawler, hiking dan sukan air. Gambar : Para Peserta Gagar Udang sedang Mencari Udang Menggunakan Tangan Tidak ketinggalan, pertandingan udang peliharaan tercantik, anyaman ketupat nasi dan pulut, demonstrasi cucuk atap nipah dan anyaman mengkuang, serta persembahan budaya tradisional turut memeriahkan suasana. Bagi kanak-kanak pula, pertandingan mewarna dan permainan rakyat menjadi antara tarikan utama yang mencuit hati pengunjung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam bersama isterinya, Puan Sarinah Wahab Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, pesta ini bukan sahaja wadah hiburan, tetapi juga usaha untuk memelihara warisan turun-temurun masyarakat nelayan yang hampir pupus. “Aktiviti gagar udang memerlukan kemahiran, kepekaan dan keberanian tinggi. Ia menggambarkan cara hidup tradisional orang dahulu yang perlu kita hidupkan semula supaya generasi muda mengenali asal-usul mereka,” katanya. Tambahnya penganjuran tersebut dapat memupuk semangat kebersamaan masyarakat, selain memperkenalkan produk tempatan dan kawasan pelancongan baharu kepada pelawat luar. “Program seperti ini menggalakkan kerjasama antara komuniti, pemimpin tempatan dan agensi kerajaan. Ia membuktikan bahawa warisan kita bukan sekadar sejarah, tetapi sumber daya tarikan pelancongan yang bernilai,” ujar beliau. Pesta Gagar Udang Kemaman kini telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu oleh Jabatan Pelancongan Negeri (JPNT), menandakan pengiktirafan rasmi terhadap keunikan dan potensi acara tersebut sebagai tarikan pelancongan tahunan. JPNT turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menurap kawasan Dataran Ayah Sor untuk keselesaan pengunjung, manakala Tambahan RM15,000 diluluskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, semasa majlis perasmian. Dari pertandingan masakan udang galah hingga sukan air seperti lumba perahu, panjat tiang licin, tangkap itik dan pukul bantal, pesta ini menawarkan gabungan keseronokan, kekuatan fizikal dan kerja berpasukan yang mencerminkan semangat masyarakat kampung. Dengan sokongan berterusan kerajaan negeri serta sambutan hangat masyarakat, Pesta Gagar Udang Kemaman dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan warisan baharu bagi negeri Terengganu dalam menyatukan komuniti sambil mengangkat identiti budaya setempat ke persada lebih tinggi.
12 Oct 25
38
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000. "Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.  Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta. "Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau. Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu. "Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.            
12 Oct 25
3244