lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lautan Rakyat Dijangka Hadir Maulid Akhbar Terengganu Berselawat
Lautan Rakyat Dijangka Hadir Maulid Akhbar Terengganu Berselawat
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Lautan umat Islam dijangka membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok menghadiri Majlis Maulid Akhbar Terengganu Berselawat : Solidariti Untukmu Al-Aqsa. Program penuh keberkatan itu bakal diserikan dengan kehadiran tokoh ulama tersohor dari Tarim, Yaman,  Al-Habib Umar, yang dijadul menyampaikan tausiah khas pada malam esok. Majlis yang bermula pada jam 7.00 malam hingga 11.30 malam itu akan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus bersama wira Sumud Flotila, Ustaz Mad Kecik dan Chief Awie.  Program yang diadakan itu bertemakan hitam putih dan mafla Palestin itu bukan sekadar sambutan maulid semata-mata tetapi ia juga menjadi tanda solidariti umat Islam Terengganu terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim zionis. Dalam pada itu, orang ramai diseru untuk hadir awal ke stadium dan membawa sejadah bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta bersama-sama menunaikan solat hajat sebelum acara utama bermula.  
13 Oct 25
2135
Pelajar Perempuan Jangan Bersendirian, Langkah Awal Elak Tragedi - Maliaman
Pelajar Perempuan Jangan Bersendirian, Langkah Awal Elak Tragedi - Maliaman
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menasihati pelajar khususnya pelajar perempuan agar tidak bergerak bersendirian walaupun dalam kawasan sekolah, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes jenayah seksual di institusi pendidikan. Beliau berkata, tragedi melibatkan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini wajar menjadi peringatan serius kepada semua pihak, termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat, agar tidak leka dalam aspek keselamatan pelajar. "Kita mesti menaruh kebimbangan. Jangan rasa selesa sangat. Walaupun di Terengganu belum berlaku, tapi kejadian di negeri lain seperti Melaka, Sabah dan Johor itu sudah cukup mengingatkan kita. "Pelajar perempuan khususnya tidak boleh bersendirian, walaupun dalam sekolah. Kalau nak ke tandas, biar berteman, supaya perkara di luar jangka tidak berlaku," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Yayasan Salim, RAKR Tok Randok, Ajil.  Menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan keselamatan, Maliaman turut menegaskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam mencegah tragedi tidak diingini. Beliau turut menekankan bahawa kesedaran tentang keselamatan bermula daripada rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan utama menanam sikap berhati-hati dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak. "Saya setuju dengan cadangan pemasangan CCTV, sebab ia boleh membantu kawalan. Tapi yang paling penting ialah kawalan dan kesedaran kita sendiri, khususnya ibu bapa dan pelajar. "Pelajar-pelajar mesti merasa patut diawasi. Pelajar-pelajar perempuan khususnya," jelasnya.  Tambahnya, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut digesa memperkukuh usaha kesedaran dan pemantauan bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pelajar. "Jadi kita pakat-pakat jagalah. JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), JPINT sendiri dan juga Yayasan (Yayasan Terengganu) maknanya kita mengambil peringatan.  "Peringatkan kepada pihak pengetua dan juga rakan-rakan pentadbiran supaya tidak mengambil isu ini dengan sambil lewa," ujarnya.  
13 Oct 25
1204
Lebih 1,500 Pelajar Hulu Terengganu Terima Bantuan One-Off Yayasan Terengganu
Lebih 1,500 Pelajar Hulu Terengganu Terima Bantuan One-Off Yayasan Terengganu
Oleh: Zamarul Hisyam HULU TERENGGANU, 13 Oktober – Lebih 1,500 calon peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di daerah Hulu Terengganu menerima manfaat daripada Bantuan One-Off Yayasan Terengganu (YT) bagi membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan serta memberi suntikan semangat menjelang musim peperiksaan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang dan sokongan yang sama dalam menuntut ilmu. “Saya  menzahirkan penghargaan kepada ketiga-tiga agensi Yayasan Terengganu (YT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)atas inisiatif murni membantu calon peperiksaan, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. “Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sentiasa menitikberatkan soal pendidikan. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi juga memberi dorongan moral kepada calon untuk terus berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di Dewan Tok Randok Ajil, di sini hari ini. Dalam masa sama, bantuan yang disampaikan secara sekali bayaran (one-off) ini disambut baik oleh para penerima dan pihak sekolah yang menyifatkan langkah ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pelajar serta masa depan pendidikan di Terengganu.
13 Oct 25
1074
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Kerjasama antara agensi Kerajaan Pusat dalam sektor pertanian di Terengganu dengan Kerajaan Negeri didakwa mula terjejas apabila terdapat agensi yang bertindak bersendirian dan tidak melibatkan Kerajaan Negeri dalam program mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim menyarankan agar semua pihak termasuk agensi Persekutuan bekerja dalam satu pasukan demi mencapai matlamat yang sama untuk rakyat Terengganu. Beliau mendakwa tindakan sesetengah agensi Kerajaan Pusat itu berlaku lantaran kerana arahan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik. "Masih ada lagi di Terengganu Agensi Kerajaan Pusat dalam keluarga pertanian Terengganu yang bertindak sendiri-sendiri tanpa memaklumkan dan melibatkan Kerajaan Negeri dalam program-program lantaran kerana arahan dari Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini. Dr. Azman menjelaskan, pendekatan yang digunakan Kerajaan Negeri setakat ini adalah dengan memberi nasihat serta menekankan kepentingan untuk bekerjasama demi matlamat bersama. "Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama. Tak kisahlah siapa pun Pengerusi Lembaga kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu. Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan. "Kalau mereka yang memegang jawatan di atas inginkan keuntungan politik, silakan ambil. Saya tak berhajat dengan keuntungan politik murahan," tegasnya, sambil membandingkan situasi itu dengan penggal lepas di mana hubungan kerjasama adalah erat dan saling membantu. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, perubahan ini mula dirasai dalam era Madani ini.  Namun katanya, situasi sedikit berbeza di Terengganu apabila Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan besar kepada agensi dan jabatan Persekutuan untuk pelaksanaan program pertanian. "Contohnya, kita salurkan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dana Skim Pinjaman Modal Tani. Jabatan Perikanan Malaysia disalurkan melebihi RM4 juta setahun untuk program tukun, unjam, lepas benih ikan dan pelbagai program bantuan," jelasnya. Tambahnya, tujuan Kerajaan Negeri mempelawa kerjasama dan berbaik bukanlah untuk meminta dana sebaliknya adalah untuk saling membantu dan memanfaatkan sumber sedia ada demi manfaat rakyat.
13 Oct 25
90
Penubuhan Kelab Suri Terengganu Perkasa Suri Rumah
Penubuhan Kelab Suri Terengganu Perkasa Suri Rumah
KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Terengganu menjadikan pemerkasaan suri rumah sebagai agenda utama pembangunan wanita negeri melalui penubuhan Kelab Suri Terengganu di setiap daerah. Katanya, pelaksanaan menyeluruh Dasar Wanita Terengganu yang menumpukan aspek ilmu, ekonomi dan kesejahteraan emosi. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Zuraida Md Noor berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mengiktiraf peranan besar suri rumah yang merangkumi 57 peratus daripada populasi wanita di Terengganu. "Oleh itu, kita perlu mewujudkan satu inisiatif atau platform bagi melahirkan suri rumah bermanfaat, suri rumah yang berilmu, berakhlak dan memiliki keupayaan menyeluruh sebagai satu pakej lengkap. "Bukan sekadar menjaga rumah tangga, tetapi turut berperanan memelihara komuniti, menyumbang kepada masyarakat serta membantu membangunkan negeri Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Simposium Suri Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran  Bandar Al Wathiqu Billah, di sini semalam. Menurut beliau, dasar wanita yang telah digazet dan digunakan secara rasmi kerajaan negeri itu menggariskan empat segmen utama iaitu pembangunan, pemerkasaan, perlindungan dan pemberdayaan wanita. Selain itu, kerajaan turut melaksanakan 13 bidang program termasuk pendidikan, agama, sosial dan ekonomi bagi memperkukuh peranan wanita dalam keluarga serta masyarakat. Beliau turut mengumumkan penubuhan Kelab Suri Terengganu di lapan daerah dan 32 DUN bagi memperluas jaringan komuniti wanita hingga ke peringkat akar umbi. "Antara yang ramai kesihatan mental di kalaangan suri rumah, tidak dinafikan kenapa mereka tidak ada ilmu untuk mengurus masa.  "Bagaimana nak urus diri. Inilah salah satu cara kita nak sampaikan ilmu kepada masyarakat, melalui medium, pempengaruh, pendakwah, medium kerajaan, ia ada medium yang membantu kami untuk menyampaikan risalah ini," katanya. Beliau menambah, ini merupakan satu pelan yang jelas hasil daripada Simposium hari ini.  "Kita mahu memastikan pelan ini digarap dan dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi bukan sekadar di peringkat atasan, tetapi turut sampai ke peringkat DUN dan kampung.  "JPKK lebih rapat dengan para suri rumah berbanding pegawai kerajaan kerana mereka hidup dalam komuniti yang sama. Tidak mustahil, insya-Allah, inisiatif ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain, khususnya dalam kelompok SG4," ujar beliau.
13 Oct 25
80
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas rasmi sehingga kes sivil membabitkan beliau dan Yusuf Rotter diselesaikan. Cadangan tersebut dilontarkan ketika beliau membahaskan isu tatakelola dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. “Saya tertarik dengan istilah ‘tatakelola’, namun ia tidak memberi makna jika akhirnya menjadi ‘tata kelaut’. Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan mengelakkan wujudnya persepsi dua darjat dalam penghakiman, saya mencadangkan agar YAB Tambun berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga kes ini selesai,” katanya. Rosol menegaskan, cadangan tersebut bukan bersifat serangan politik, sebaliknya bertujuan menjaga kewibawaan institusi Perdana Menteri dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa gangguan. Tambah beliau, langkah itu mencerminkan integriti kepimpinan dan menjadi teladan kepada rakyat dalam menegakkan prinsip ketelusan serta akauntabiliti.  
13 Oct 25
108
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
KUALA NERUS, 13 Oktober - "Sentiasa ingat, kita ada maruah ibu bapa untuk dijaga," itu antara prinsip utama yang dipegang penyanyi dan selebriti terkenal, Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang wanita berkerjaya dalam industri hiburan tanah air. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya dalam program Bicara Selebriti yang diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, semalam. Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nur Shahzwani Hasrita Hasbullah, di sebalik penampilan luaran, kekuatan sebenar seorang wanita berakar umbi daripada pegangan agamanya yang teguh. "Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi, kita kena cakap 'Allah ada'. Apa-apa pun, tak apa Allah ada. Dari situ sebenarnya sumber kekuatan kita. Bila kita dekat dengan agama kita, apabila kita pegang agama kita betul-betul, saya rasa semua yang kita lalui di dunia ini, kita akan lalui," katanya dalam sesi bicara tersebut. Beliau turut menambah bahawa inspirasi daripada tokoh Saidatina Aisyah amat mendalam dalam hidupnya, sehinggakan beliau menamakan anak perempuannya, Aisyah, bersempena dengan isteri Rasulullah S.A.W itu. Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang selebriti, Wany mengakui bahawa mengekalkan amalan ibadah, terutamanya solat, dalam jadual kerja padat adalah satu perjuangan yang memerlukan keazaman tinggi. Beliau menceritakan pengalaman paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Busan, Korea dalam cuaca yang sangat sejuk, di mana beliau terpaksa berlari mencari tempat untuk berwuduk dan solat. "Nak ambil wuduk, cuci tangan tiga kali pun dah tak rasa apa dah. Tangan, kaki, dah memang bergetar-getar. Solat pun sejuk juga, tapi itulah antara yang paling ‘struggle’," kongsinya. Wany menegaskan bahawa untuk menjaga ibadah, ia bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berusaha mencari jalan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ketika ditanya mengenai cara beliau mengekalkan kesederhanaan dan prinsip hidup, Wany menekankan dua perkara utama iaitu memilih lingkungan sosial yang baik dan mendengar nasihat ibu. "Pentingnya circle (lingkungan) yang bagus, yang mengejar akhirat. Secara tidak langsung ia akan mengingatkan saya sendiri. Apabila kawan-kawan yang baik, kita akan sendiri berjaga-jaga," jelasnya. Beliau turut berpesan kepada para hadirin, terutamanya golongan muda, agar sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga serta mendengar nasihat ibu bapa. "Dengarlah cakap ibu. Apa pun yang jadi, percayalah, selalunya apa yang dia cakap tu betul. Mereka lebih tahu," ujar beliau dengan nada sebak sambil menahan air mata. Program Bicara Selebriti berkenaan berjaya menarik minat ramai hadirin dan dilihat sebagai satu platform yang efektif dalam menyebarkan mesej positif dan inspirasi kepada kaum wanita, selari dengan tema acara iaitu 'Wanita Inspirasi'.  
13 Oct 25
59
Ahli Parlimen Dedah Murid Tahun 4 Ditemui Tergantung Dengan Skaf Pengakap
Ahli Parlimen Dedah Murid Tahun 4 Ditemui Tergantung Dengan Skaf Pengakap
KUALA LUMPUR, 13 Oktober — Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berhubung satu insiden tragis melibatkan seorang murid Tahun 4 yang ditemui tergantung dengan skaf pengakap di sekolahnya baru-baru ini. Menurut beliau, siasatan polis terhadap kes tersebut hanya dibuka di bawah Seksyen 503C, kes buli, sedangkan pelajar berkenaan telah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke klinik. “Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak. Tapi hari ini, sekolah sudah tidak lagi selamat. Kes Zara belum selesai, berlaku pula kes rogol pelajar Tingkatan 3, dan kini seorang murid Tahun 4 ditemui tergantung dengan skaf pengakap,” katanya ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri hamzah Zainuddin, di Dewan Rakyat, hari ini. Takiyuddin menyifatkan siri kejadian yang berlaku termasuk kes buli, gangguan seksual, rogol serta kematian mengejut pelajar di sekolah sebagai bukti jelas kegagalan sistem pendidikan negara melindungi keselamatan anak-anak rakyat. Beliau dengan nada tegas mempersoalkan sikap kementerian yang seolah-olah mengambil mudah isu keselamatan pelajar. “Adakah menteri akan terus kata, ‘jangan kacau sekolah kami, jangan kacau murid kami’?. Anak rakyat mati, tuan-tuan. Ini bukan soal kecil. Ini soal nyawa. Rakyat sedang mendengar,” tegasnya disambut perhatian penuh sidang Dewan Dalam celahannya, Takiyuddin turut meminta penjelasan dan pandangan Ketua Pembangkang mengenai isu keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara, terutama apabila sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan negara. “Saya mahu dengar pandangan Ketua Pembangkang. Dengan peruntukan pendidikan paling besar, adakah ini hasilnya?,” soal beliau mengakhiri celahan.
13 Oct 25
531
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
KUALA NERUS, 13 Oktober - Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah di sini bergema dengan laungan takbir penuh semangat, menyahut seruan aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi, sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.  Momen penuh emosi itu menjadi kemuncak ‘Slot Khas Wirawati Global Sumud Flotilla’ yang menampilkan beliau dan adindanya, Hazwani Helmi. Segmen khas itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bertemakan "Wanita Inspirasi".  Dalam perkongsian mereka, pasangan wirawati itu membawa para hadirin menyelami realiti dan cabaran misi kemanusiaan di peringkat global, terutamanya dalam usaha membantu dan menyuarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas. Melalui penceritaan yang berkesan, Heliza dan Hazwani menyuntik kesedaran dan menggesa orang ramai agar tidak pernah melupakan saudara seagama di sana dan terus menghulurkan sokongan dalam apa jua bentuk. Kedua-duanya telah berkongsi pengalaman mendebarkan mereka menyertai Misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Palestin. Heliza menjelaskan bahawa nama misi "Sumud" diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud teguh, kuat, cekal dan tabah, yang menggambarkan sifat sebenar rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. "Misi ini bukan semata-mata misi bantuan untuk bagi makanan, tapi ini adalah misi untuk buat bising," tegas Heliza, menjelaskan bahawa tujuan utama flotilla tersebut adalah untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh dunia selepas lebih dua tahun peperangan. Walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk keadaan kapal yang tidak sempurna dan ditawan oleh tentera Israel, kedua-dua beradik itu menekankan bahawa kekuatan mereka datang daripada doa dan keyakinan kepada Allah. "Kadang-kadang kita doa tapi kita punya keyakinan tu tak sepenuh hati... tapi ketika kita tidak ada apa-apa, kita nak sangat, Allah je yang kita tempat bergantung," ujarnya. Bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam arena kemanusiaan, majlis turut menganugerahkan Anugerah Khas Khidmat Bakti kepada Heliza dan Hazwani Helmi.  Penganugerahan tersebut sebagai satu simbol penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam memperjuangkan isu-isu global.
13 Oct 25
21
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
KUALA NERUS, 13 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes influenza di negeri ini dan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi merangka langkah susulan yang terbaik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh serta nasihat rasmi daripada pihak kesihatan bagi memastikan tindakan yang bakal diambil selaras dengan keperluan semasa dan situasi sebenar di lapangan. “Insya-Allah, saya akan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan influenza daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apa-apa cadangan atau nasihat yang diberikan akan diberi perhatian serius,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam. Sehubungan itu, Wan Sukairi menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil, agar lebih peka terhadap tahap kesihatan diri dan keluarga. Beliau menasihatkan agar mereka segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan. “Sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan, segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran,” ujarnya. Dalam masa yang sama, beliau yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal, termasuk mempertimbangkan tindakan khas di sekolah-sekolah yang terlibat bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah terjamin. “Kesihatan rakyat, khususnya pelajar, adalah keutamaan. Jika perlu, kementerian dan jabatan berkaitan akan menilai tindakan sementara yang bersesuaian berdasarkan nasihat daripada pihak kesihatan,” katanya.
13 Oct 25
94