KUALA NERUS, 12 Oktober – Kaum wanita terus diperkasa melalui pendekatan pendidikan dan penerapan nilai Islam bagi melahirkan golongan yang berilmu, berkeyakinan serta berakhlak mulia menerusi penganjuran Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung hari ini.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan masyarakat serta asas kekuatan ummah.
Menurutnya, dalam Islam, tokoh seperti Sayyidatina Aisyah r.a menjadi simbol keilmuan, keberanian dan ketegasan dalam mempertahankan prinsip Islam.
“Beliau bukan sahaja isteri Rasulullah SAW, malah perawi hadis, guru ummah dan tokoh ilmuwan wanita yang disegani. Nilai dan semangat inilah yang ingin kita hidupkan dalam kalangan wanita Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Sayyidatina Aisyah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Tambah beliau, wanita memainkan peranan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah.
“Berdasarkan bancian penduduk 2020, hampir 50 peratus daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita. Majoritinya terdiri daripada suri rumah, usahawan mikro, pendidik serta aktivis komuniti,” ujarnya.
Namun, beliau turut mengakui masih ramai wanita berdepan cabaran seperti kurang keyakinan diri, akses terhad terhadap maklumat agama dan kekurangan sokongan moral.
Sehubungan itu, katanya, penganjuran Hari Sayyidatina Aisyah berperanan sebagai platform pengupayaan yang berasaskan pendidikan, motivasi dan inspirasi tokoh wanita Islam selaras dengan hasrat Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
“Fokus utama program ini ialah meningkatkan kefahaman wanita dan belia terhadap peranan mereka dalam pembangunan ummah, mewujudkan ruang perkongsian ilmu serta melahirkan ikon wanita Terengganu yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Penganjuran kali kedua ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan wanita yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Akhir sekali, beliau menyeru semua pihak agar bersatu dalam memperkasa wanita dengan ilmu dan akhlak mulia, demi membina masyarakat Islam yang kuat dan harmoni.
