KEMAMAN, 13 Oktober – Pesta Gagar Udang 2025 yang berlangsung di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini hari ini, menyerlahkan keunikan tradisi dan warisan budaya masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan serta pelancongan komuniti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu yang mewakili Menteri Besar, Ir. Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, selaku tuan rumah, serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dan Pejabat Daerah Kemaman sebagai penganjur bersama.
Beliau berkata, Pesta Gagar Udang bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu usaha memartabatkan warisan budaya dan memperkukuh sektor pelancongan tempatan.
“Aktiviti menangkap udang dengan tangan bukan sekadar tradisi unik, tetapi mempunyai nilai budaya yang tinggi dan wajar didokumentasikan agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kampung Bukit Mentok kini diiktiraf sebagai destinasi di bawah inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism – CBT), yang memberi peluang kepada penduduk setempat menjadi pemilik dan pelaksana dalam aktiviti pelancongan.
Setakat Jun 2025, Terengganu telah menerima hampir 6.9 juta pelancong dan pengunjung, sekali gus menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pelancongan negeri.
“Kita mahu pelancong yang datang bukan sahaja membawa pulang cenderamata, tetapi juga pengalaman dan kenangan tentang kehangatan masyarakat tempatan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM65,000 bagi menaik taraf fasiliti pelancongan dan memperkukuh pembangunan komuniti di Kampung Bukit Mentok.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menobatkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64.
“Ini mencerminkan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, stabil dan berkualiti,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta terus menyokong misi kemanusiaan termasuk Flotilla Gaza.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform hiburan, tetapi juga medan untuk memperkukuh solidariti dan menyemai nilai insaniah dalam masyarakat,” katanya.