lightning-solid
Berita :
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial - Wan Sukairi
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial - Wan Sukairi
Rohayati Ripin
12 Oct 25
45

KUALA NERUS, 12 Oktober – Wanita perlu menjadi ejen perubahan sosial dengan meniup semangat kebaikan dan membawa masyarakat lebih dekat kepada Allah SWT melalui ilmu, akhlak serta keteladanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  konsep 'wanita inspirasi' bukan sekadar merujuk kepada wanita yang terkenal atau berpangkat.

Tetapi katanya kepada setiap wanita yang mampu menghidupkan semangat orang lain melalui peranan harian mereka.

“Wanita inspirasi bukan semestinya yang terkenal atau berpangkat. Kadang-kadang dia lah seorang ibu yang sabar, guru yang ikhlas, atau jiran yang suka membantu. Walaupun mereka ini mungkin bukan pempengaruh atau terkenal, tetapi auranya menghidupkan semangat orang lain untuk jadi lebih baik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Sayyidatina Aisyah anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al- Wathiqu Billah, di sini, hari ini.

Menurutnya, wanita inspirasi memiliki empat ciri utama, iaitu berilmu dan sentiasa menambah pengetahuan, berakhlak mulia, tabah menghadapi ujian dengan penuh reda dan tawakal, serta menyumbang kepada masyarakat dengan niat yang ikhlas.

Wan Sukairi turut menegaskan bahawa Islam memuliakan wanita dan lelaki secara sama rata, dan yang membezakan mereka hanyalah iman dan amal.

Beliau turut mencontohkan Sayyidatina Aisyah sebagai lambang wanita Islam yang unggul kerana kecerdasan akal, keluasan ilmu dan sumbangan besar terhadap kefahaman agama.

"Di Malaysia, wanita kini bukan lagi berada di pinggiran. Mereka telah membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang, meliputi pendidikan, ekonomi, politik, keusahawanan dan kepimpinan," ujar beliau.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri dan percaya apabila diberi peluang, wanita mampu menjadi penggerak utama kepada perubahan sosial yang positif.

“Teruskan budaya ilmu, semangat juang dan jadilah wanita inspirasi bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan dan keteladanan,” tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan