KEMAMAN, 13 Oktober – Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 yang berlangsung selama dua hari di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, melabuhkan tirai dengan penuh warna-warni, meninggalkan kenangan indah buat lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.
Acara yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya itu bukan sekadar pesta hiburan, tetapi platform untuk meraikan keunikan budaya kampung, warisan tradisional, serta kekayaan hasil laut Kemaman yang menjadi identiti kebanggaan masyarakat setempat.
Sepanjang dua hari penganjuran bermula 10 hingga 11 Oktober, pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertandingan memasak udang galah, memancing sungai dan tebing, pertandingan tangkap udang dengan tangan (gagar udang), serta aktiviti mencabar seperti RC Crawler, hiking dan sukan air.
Tidak ketinggalan, pertandingan udang peliharaan tercantik, anyaman ketupat nasi dan pulut, demonstrasi cucuk atap nipah dan anyaman mengkuang, serta persembahan budaya tradisional turut memeriahkan suasana.
Bagi kanak-kanak pula, pertandingan mewarna dan permainan rakyat menjadi antara tarikan utama yang mencuit hati pengunjung.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, pesta ini bukan sahaja wadah hiburan, tetapi juga usaha untuk memelihara warisan turun-temurun masyarakat nelayan yang hampir pupus.
“Aktiviti gagar udang memerlukan kemahiran, kepekaan dan keberanian tinggi. Ia menggambarkan cara hidup tradisional orang dahulu yang perlu kita hidupkan semula supaya generasi muda mengenali asal-usul mereka,” katanya.
Tambahnya penganjuran tersebut dapat memupuk semangat kebersamaan masyarakat, selain memperkenalkan produk tempatan dan kawasan pelancongan baharu kepada pelawat luar.
“Program seperti ini menggalakkan kerjasama antara komuniti, pemimpin tempatan dan agensi kerajaan. Ia membuktikan bahawa warisan kita bukan sekadar sejarah, tetapi sumber daya tarikan pelancongan yang bernilai,” ujar beliau.
Pesta Gagar Udang Kemaman kini telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu oleh Jabatan Pelancongan Negeri (JPNT), menandakan pengiktirafan rasmi terhadap keunikan dan potensi acara tersebut sebagai tarikan pelancongan tahunan.
JPNT turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menurap kawasan Dataran Ayah Sor untuk keselesaan pengunjung, manakala Tambahan RM15,000 diluluskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, semasa majlis perasmian.
Dari pertandingan masakan udang galah hingga sukan air seperti lumba perahu, panjat tiang licin, tangkap itik dan pukul bantal, pesta ini menawarkan gabungan keseronokan, kekuatan fizikal dan kerja berpasukan yang mencerminkan semangat masyarakat kampung.
Dengan sokongan berterusan kerajaan negeri serta sambutan hangat masyarakat, Pesta Gagar Udang Kemaman dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan warisan baharu bagi negeri Terengganu dalam menyatukan komuniti sambil mengangkat identiti budaya setempat ke persada lebih tinggi.