KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan.
Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara.

“Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut.
Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut.
Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut.
Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.