KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu kini berada pada fasa akhir sebelum menerima pakai Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), selepas berjaya melengkapkan semua keperluan teknikal serta dokumentasi yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai prosedur penting termasuk audit menyeluruh di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan aspek pengurusan sisa pepejal dan pelupusan awam.
“Segala dokumentasi, audit dan pelaksanaan di peringkat PBT seluruh negeri telah pun dilaksanakan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Saya difahamkan semuanya telah lengkap, dan kini kita hanya menunggu maklum balas rasmi daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam.
Menurut Wan Sukairi, Terengganu kini bersedia sepenuhnya untuk memuktamadkan penyertaan dalam Akta 672.
Katanya, pelaksanaan akta tersebut bakal menyaksikan sistem pengurusan sisa pepejal negeri diseragamkan dengan negeri-negeri lain yang berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.
“Di peringkat negeri, kita telah menyelesaikan semua yang diperlukan. Sekarang hanya menunggu kelulusan akhir daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.
Pelaksanaan Akta 672 dijangka memberi impak besar terhadap kecekapan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di Terengganu.
Antara perubahan utama ialah pelaksanaan pengasingan sisa di punca, penggunaan tapak pelupusan berlesen secara lebih sistematik, serta pemantauan bersepadu bagi memastikan tahap kebersihan awam berada pada standard yang lebih tinggi.