lightning-solid
Berita :
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
Ridhwan Balian
12 Oct 25
44

KEMAMAN, 12 Oktober – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakar sejarah tersendiri apabila merasmikan Pejabat Ahli Majlis pertama di daerah Kemaman, sekaligus memperkukuh peranan Ahli Majlis sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.

Majlis perasmian yang berlangsung di Bangunan Pejabat Daerah Kemaman (Lama), Cukai, Terengganu itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MPK, Yusof Zakaria, diiringi Setiausaha MPK, YM Sharifah Khairuzita Tuan Kechil, barisan Ahli Majlis serta pengarah-pengarah jabatan MPK.

Menurut Fadli, pembukaan pejabat tersebut mencerminkan komitmen MPK dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga Kemaman.

“Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan, jadi penggunaannya perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Pejabat Ahli Majlis ini merupakan satu-satunya yang ada di daerah Kemaman dan belum lagi diwujudkan di daerah lain.

“Harapan kita agar pejabat ini dapat dijadikan tempat bagi sesi perbincangan dan perjumpaan bersama komuniti setempat,” katanya.

 

Fadli memegang gunting bagi menyempurnakan simbolik pemotongan reben sempena majlis perasmian Pejabat Ahli Majlis.

Tujuan penubuhan Pejabat Ahli Majlis adalah untuk memperkukuhkan peranan mereka sebagai wakil masyarakat setempat dalam pentadbiran kerajaan tempatan.

Pejabat ini juga berfungsi sebagai saluran rasmi bagi penduduk menyampaikan aduan, cadangan dan pandangan berkaitan isu kebersihan, infrastruktur serta perkhidmatan awam.

Penubuhan pejabat tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh jaringan komunikasi antara pihak MPK dan masyarakat, selain menjadi ruang bersemuka bagi membincangkan isu setempat serta keperluan pembangunan komuniti secara lebih berkesan.


Tag :

Artikel Berkaitan