KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000.
"Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta.
"Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau.
Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu.
"Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.