KUALA LUMPUR 9 Okt. 2025 – Suasana Dewan Rakyat baru-baru ini dihangatkan dengan soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-PAS), yang mempersoalkan status pelaksanaan tanggungjawab berkanun oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).
Che Mohamad Zulkifly, meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Tuan M. Kulasegaran (PH) berkait isu yang membabitkan LPQB.
Beliau merujuk kepada soalan asal yang dilihat seolah-olah menggesa rombakan institusi LPQB kerana dakwaan kegagalan.
"Soalan saya mudah sahaja. Adakah sehingga kini, ia membuktikan bahawa fungsi-fungsinya (LPQB) telah dilanggar? Maknanya tidak diikuti?" tegas Che Mohamad Zulkifly.
Beliau kemudian menyusul dengan soalan kritikal yang menjadi nadi kerisauan masyarakat, khususnya pelajar undang-undang:
"Adakah terdapat apa-apa bukti rasmi contohnya keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa LPQB tidak menjalankan obligasi statutori (berkanun) mereka?"
Che Mohamad Zulkifly menekankan bahawa LPQB ditubuhkan seawal tahun 1985.
Beliau mempersoalkan mengapa hanya dalam 15 tahun terakhir ini, timbul dakwaan bahawa lembaga tersebut gagal menjalankan tugas.
"Adakah kerana ada kegagalan dalam peperiksaan itu sendiri oleh peguam-peguam yang hendak jadi peguam, ataupun atas sebab-sebab lain?," soalnya, menamatkan desakan kepada Timbalan Menteri.
Menjawab soalan tersebut, M. Kulasegaran mengakui bahawa LPQB telah menjalankan tugas-tugas yang termaktub di bawah Akta Profesion Undang-Undang.
Namun, beliau mengesahkan wujud satu 'kecuaian' LPQB dalam menjalankan obligasi berkanun untuk mengadakan 'Article Clerkship', latihan dalam kamar yang wajib.
Timbalan Menteri mendedahkan bahawa LPQB telah mencadangkan kepada Kerajaan pada tahun 1985 untuk menghapuskan klausa ini, namun tiada sebarang pandangan diberikan oleh Kerajaan pada masa itu.
"Selepas itu, Lembaga itu dengan tersendirinya tidak menjalankan tugas untuk mengadakan 'Article Clerkship'. Itu pada pandangan saya satu adalah satu kecuaian mereka," jelas M. Kulasegaran.
Beliau seterusnya merujuk kepada kes di Mahkamah Persekutuan beberapa hari lalu, di mana mahkamah telah mengarahkan LPQB untuk mendaftarkan seorang pemohon untuk article clerkship.
Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa ini adalah 'statutory obligation' (obligasi berkanun) yang mesti dilakukan oleh LPQB.
Sebagai pengakhiran, Timbalan Menteri memaklumkan mahkamah turut memerintahkan LPQB membayar RM80,000 sebagai kos kepada pihak pemohon, menguatkan lagi pandangan perlunya LPQB mematuhi obligasi yang ditetapkan.