lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Terus Komited Pacu Agenda Islam
Terengganu Terus Komited Pacu Agenda Islam
Kerajaan Terengganu Komited Jadi Model Pentadbiran Islam KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Kerajaan Terengganu terus teguh melangkah sebagai model pentadbiran Islam dengan menjunjung tinggi syiar Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa dalam aspek pemerkasaan serta penguatkuasaan syariah, kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam dengan memperkemaskan kanun jenayah syariah dan takzir secara berterusan. "Tinggi menggunung impian saya untuk melihat kehidupan rakyat Terengganu berpandukan syariatullah. "Kerajaan negeri akan berusaha sehabis daya untuk mengikuti manhaj Nubuwwah, sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun menyampaikan dakwah Islam. Justeru, belanjawan yang besar turut diperuntukkan bagi memperkasa usaha ini," katanya. Dr. Khalil berkata demikian ketika merasmikan Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat Solidariti Untukmu Al-Aqsa yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam. Beliau menegaskan bahawa kedaulatan negeri atau negara hanya dapat ditegakkan melalui kepimpinan mukmin yang bertakwa, kerana hanya kepimpinan sedemikian mampu melahirkan kerajaan yang adil, bebas daripada salah urus, salah laku serta amalan rasuah. Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa usaha memperluas kefahaman Islam kepada rakyat terus digiatkan melalui pelbagai pendekatan, termasuk majlis ilmu, daurah pengajian berkitab dan karnival Islami yang diadakan secara meluas di seluruh negeri. “Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyuburkan sunnah perjuangan Rasulullah SAW, memastikan Islam sentiasa berada di tempat tertinggi kedaulatannya serta memperkukuh pelaksanaan syariat dalam kehidupan bernegara,” jelasnya.
15 Oct 25
59
Ahli Parlimen Marang Kecam Jemputan Trump
Ahli Parlimen Marang Kecam Jemputan Trump
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan menjemput tokoh yang didakwanya mendukung rejim zalim ke negara ini. Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan tokoh berkenaan sebagai 'syaitan besar' yang tidak sepatutnya diberikan ruang dalam negara ini, apatah lagi membawa pengaruh dari kerajaan yang dilaknat Allah SWT. “Apa yang dilakukan kerajaan hari ini ibarat menjemput masuk ke negeri kita satu tokoh dari kerajaan yang disebut dalam hadis dan sejarah Islam sebagai negeri yang dilaknat Allah. Nabi SAW pun larang sahabat daripada singgah di tempat itu,” katanya merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad SAW melalui kawasan Madain Salih. Beliau mengimbas bagaimana Nabi SAW pernah mengarahkan sahabat membuang air yang diambil dari telaga kawasan itu kerana ia berasal dari tempat yang dimurkai Allah. Predisen PAS itu menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri dan bakal menggerakkan rakyat untuk membantah kehadiran tokoh terbabit dengan sekeras-kerasnya. “Kami akan tegaskan bahawa rakyat mesti diperingatkan agar menolak tokoh yang menjadi alat kepada kezaliman dan kejahatan dunia,” tegas beliau.
15 Oct 25
50
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
DUNGUN, 15 Oktober – Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura terus menjadi platform utama dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, sesi bersemuka seperti ini memberi ruang kepada rakyat untuk meluahkan masalah dan pandangan mereka secara lebih terbuka serta mudah difahami. “Kadang tidak semua masalah boleh diselesaikan atas kertas. Bila bersemuka, rakyat lebih senang meluahkan dan kita pun lebih mudah membantu atau memberi pandangan yang sesuai. Ada antara mereka sebenarnya hanya perlukan bimbingan atau panduan untuk menyelesaikan sesuatu urusan,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program berkenaan.   Menurut beliau, antara isu yang sering dikemukakan oleh penduduk ialah berhubung permohonan bantuan kebajikan, aduan kerosakan jalan, peluang pekerjaan, serta urusan pentadbiran berkaitan kesihatan, perumahan dan perniagaan kecil. Katanya, tidak kurang juga peniaga kecil yang berkongsi cabaran mereka seperti kekurangan tapak niaga, kos operasi yang meningkat serta keperluan sokongan untuk memperluaskan perniagaan. “Isu peniaga kecil ini juga penting kerana mereka sebahagian daripada nadi ekonomi tempatan. Bila mereka terjejas, tempiasnya dirasai oleh ramai,” jelas beliau. Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga seorang doktor berpengalaman dalam bidang kesihatan awam berkata, pendekatan bersemuka turut membantu beliau memahami dengan lebih dekat keadaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat. “Kadang ada yang datang bukan semata nak adu masalah fizikal, tapi kerana tertekan dengan keadaan hidup. Di sinilah pentingnya kita hadir sebagai wakil rakyat, bukan sekadar mendengar, tapi cuba menenangkan dan mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya. Program Hari Bertemu Pelanggan itu akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada komitmen Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk memastikan keperluan dan suara rakyat terus didengar serta diberi perhatian sewajarnya.
15 Oct 25
20
PN Tawar RM6,000 Tunai, PH Risau Rakyat Beli Rokok
PN Tawar RM6,000 Tunai, PH Risau Rakyat Beli Rokok
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas pendekatan kerajaan dalam menyalurkan bantuan bersyarat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menurutnya mengekang pilihan rakyat. “Perikatan Nasional mahu membina semula kepercayaan rakyat melalui jaringan keselamatan sosial yang adil dan bermaruah. Kami akan rombak keseluruhan kerangka jaringan sosial, dan setiap bantuan mesti membawa makna keadilan sebenar,” tegas beliau dalam perbahasan Belanjawan 2026. Beliau menyatakan, sekiranya Perikatan Nasional diberi peluang mentadbir, satu skim Bantuan Perhatian Nasional akan diperkenalkan dengan nilai sehingga RM6,000 setahun bagi isi rumah memerlukan tanpa syarat ketat dan kawalan terhadap perbelanjaan. “Kita beri bantuan dan serahkan kepada rakyat untuk tentukan keperluan mereka, bukan sekat beli itu dan ini, kedai tertentu sahaja,” katanya. Namun, perbahasan tersebut dicelah oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang menyuarakan kebimbangan kononnya bantuan tanpa kawalan akan disalahguna. “Kalau rakyat guna beli rokok macam mana, Yang Berhormat?,” katanya mewakili pandangan kerajaan. Hamzah membalas bahawa kenyataan sedemikian menunjukkan kerajaan bersikap buruk sangka terhadap rakyat sendiri. “Kalau begitu, kerajaan menganggap rakyat ini tidak tahu mengurus wang sendiri,” tegas beliau. Perbahasan tersebut mencerminkan pertembungan ideologi antara pendekatan bantuan bersyarat oleh kerajaan dan dasar terbuka berteraskan kepercayaan rakyat yang dibawa oleh Perikatan Nasional.
15 Oct 25
72
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Oleh : Nor Amira Amijudin BESUT, 15 Oktober – Daerah Besut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 menerusi penganjuran Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot yang diadakan di Agro Darau, Hulu Besut, semalam. Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta BESTRAC, di samping penglibatan kepimpinan komuniti dari seluruh daerah Besut. Simulasi itu memberi fokus kepada latihan keselamatan air, teknik menyelamat, serta pengurusan kecemasan bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh tiba kelak. Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu, pendekatan kesiapsiagaan awal amat penting bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat dilaksanakan sekiranya bencana berlaku.  “Kita tak boleh elak banjir, tapi kita boleh bersedia menghadapinya,” katanya ketika ditemui selepas program Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, YB Mohd Husaimi Hussin, yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan. Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini wajar diteruskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap langkah-langkah keselamatan dan peranan masing-masing ketika menghadapi bencana.
15 Oct 25
299
Lautan Manusia Hadiri Maulid Akbar, Teguh Bersolidariti Untuk Al-Aqsa
Lautan Manusia Hadiri Maulid Akbar, Teguh Bersolidariti Untuk Al-Aqsa
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Lautan manusia membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sempena Maulid Akbar Terengganu Berselawat, Solidariti Untuk Al-Aqsa, sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta tanda solidariti terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin merupakan tanggungjawab aqidah dan maruah umat Islam. “Rakyat Terengganu sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin, menentang kezaliman rejim Zionis, serta menyumbang dalam apa jua bentuk sama ada melalui doa, infaq atau peranan masyarakat. “Inilah makna sebenar Ukhuwwah Islamiyyah yang dituntut oleh Rasulullah SAW,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Maulid Akbar tersebut di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut Muhammad Khalil berkata,  kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi diterjemah melalui amal, akhlak dan perjuangan. "Kita semua beruntung dan bertuah pada malam ini kerana program kita dihadiri oleh tetamu istimewa yang datang beribu batu jauhnya, Al Habib Umar Hafidz yang sudi memeriahkan majlis malam ini menyampaikan tausiyah,” katanya.  Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ustaz Azhar Idrus, serta dua wira anak Terengganu yang menyertai Global Sumud Flotilla, iaitu Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan Asmawi Mukhtar, yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi kemanusiaan ke bumi Palestin, khususnya Gaza.   
15 Oct 25
76
Terengganu Perkukuh Usaha Ke Arah Negeri Pintar
Terengganu Perkukuh Usaha Ke Arah Negeri Pintar
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Terengganu terus memperkukuh kedudukan sebagai negeri pintar dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dan automasi melalui Program Terengganu Smart City and Automation 2025 (TSCA.25) yang berlangsung semalam.  Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri itu menjadi platform penting bagi mempamerkan pencapaian, menggalakkan kolaborasi serta menyorot impak positif inisiatif bandar pintar di bawah pelan Smart Terengganu 2040. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan program berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan negeri meletakkan Terengganu 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dalam menghadapi persaingan global era Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi pintar, kecerdasan buatan (AI) dan automasi. “Program ini diharap dapat memberi gambaran jelas mengenai prestasi dan hala tuju Smart Terengganu 2040 agar terus relevan dan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan penutup program tersebut di Duyong Convention Centre, The Langit Marina Resort, di sini semalam.  Tambahnya, sejak pelaksanaan Smart Terengganu 2040, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk pengurusan bandar pintar, pembangunan ekosistem digital serta penglibatan aktif komuniti dalam agenda pendigitalan negeri. "Program TSCA.25 turut menampilkan demonstrasi inovasi terkini serta menonjolkan kerjasama strategik antara pelbagai pihak, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memacu pembangunan pintar di Terengganu," ujarnya  Kerajaan Negeri turut menyeru masyarakat untuk terus menyokong serta mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat, memudahkan urusan harian dan memperkukuh ekonomi digital negeri.  
15 Oct 25
62
Rosol Wahid Gesa Peruntukan LRT Pulau Pinang Dialihkan ke Projek LPT3
Rosol Wahid Gesa Peruntukan LRT Pulau Pinang Dialihkan ke Projek LPT3
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menggesa Kerajaan Persekutuan menilai semula keutamaan perbelanjaan negara dengan menyalurkan peruntukan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang kepada pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3). Ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman di Dewan Rakyat, Rosol mempersoalkan rasional perbelanjaan besar bagi projek LRT tersebut yang dianggarkan bernilai RM17 bilion. “Setuju atau tidak Ahli Parlimen Bachok (Syahir Sulaiman) bahawa peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk LRT Pulau Pinang itu sepatutnya disalurkan kepada projek LPT3 bagi manfaat rakyat di negeri pantai timur?,” soal beliau. Beliau turut menuntut penjelasan segera daripada pihak Kerajaan berhubung peruntukan besar di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), sambil menegaskan bahawa keutamaan pembangunan perlu diberikan kepada projek yang benar-benar mendesak dan memberi manfaat langsung kepada rakyat. Gesaan tersebut dibuat bagi memastikan projek LPT3 yang amat penting kepada ekonomi serta jaringan perhubungan di Pantai Timur dapat disegerakan pelaksanaannya. Sebelum ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan besar dalam Belanjawan 2026 bagi projek LRT di Pulau Pinang, sedang LPT3 masih tiada perkembangan untuk disambung bina. 
15 Oct 25
3360
TSCA 2025 Tarik Sekitar 2000 Peserta, Lengkapkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar
TSCA 2025 Tarik Sekitar 2000 Peserta, Lengkapkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Program Terengganu Smart City Activation Day (TSCA) 2025 mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima penyertaan lebih 2,000 peserta serta lebih 31 pempamer daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan Bandar Pintar. Program sehari suntuk yang berlangsung penuh meriah itu turut menampilkan pembentangan daripada syarikat dan pempamer terpilih mengenai pelbagai inisiatif Smart City yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Lebih bermakna, majlis turut menyaksikan penyerahan tiga lagi Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Majlis Daerah Setiu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dengan penyerahan itu, kesemua tujuh PBT di Terengganu kini telah berjaya menyiapkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar masing-masing. "Dua daripada PBT berkenaan telah pun menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala dua lagi sedang dalam proses penerimaan, dan tiga yang baharu menyerahkan pelan hari ini akan turut dihantar untuk pertimbangan pihak kementerian. “Menariknya, tahun ini KPKT meningkatkan jumlah geran yang diberikan kepada PBT yang mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter daripada RM200,000 kepada RM400,000, dan berkemungkinan meningkat kepada RM600,000 pada tahun hadapan,” katanya. Beliau berkata, TSCA 2025 bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengalaman antara pihak berkuasa tempatan dan pemain industri, malah membuka ruang untuk menilai serta menyesuaikan pelaksanaan projek bandar pintar mengikut keperluan setempat. “Keperluan bandar pintar tidak sama di setiap daerah. Contohnya, di Setiu, Besut dan Kuala Terengganu, fokusnya berbeza. Maka, pameran ini memberi peluang kepada PBT meneliti produk yang paling sesuai untuk diaplikasikan di kawasan masing-masing,” ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama pelaksanaan konsep Smart City bukan sekadar memperkenalkan teknologi canggih, tetapi memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada kemudahan dan sistem yang diperkenalkan. “Apa yang penting ialah bagaimana teknologi pintar ini boleh memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.  "Itulah matlamat sebenar agenda bandar pintar yang digerakkan kerajaan,” katanya.  
15 Oct 25
152
Patuhi Arahan Pihak Berkuasa Utamakan Nyawa
Patuhi Arahan Pihak Berkuasa Utamakan Nyawa
Oleh : Ahmad Hilmi BESUT, 14 Oktober – Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu menegaskan kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa ketika menghadapi bencana banjir agar keselamatan nyawa tidak terancam. Beliau berkata, walaupun banjir tidak dapat dielakkan, langkah persediaan awal dan kepatuhan kepada amaran berpindah mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa. "Tempat kita memang terdedah dengan risiko banjir setiap kali monsun tiba. Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan. “Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan. Keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda,” tegasnya ketika menyampaikan amanat dalam Program Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot di Agro Darau, Hulu Besut, semalam. Beliau menambah, keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda.  "Kami bersama agensi lain akan bantu jaga keselamatan dan keperluan penduduk,” katanya. Justeru itu, melalui penganjuran ini, beliau berharap koordinasi antara agensi dan komuniti dapat diperkukuh demi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin apabila Monsun Timur Laut melanda hujung tahun ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Tanah Merah, Mohamad Zu, menyambut baik penganjuran latihan tersebut kerana ia memberi pendedahan langsung kepada penduduk mengenai tindakan sewajarnya semasa banjir. Beliau turut mencadangkan agar program sebegini diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak sesi latihan praktikal melibatkan agensi keselamatan. “Kalau boleh, buat secara bersiri dan lebih banyak latihan praktikal di lapangan. Bila orang kampung tengok dan cuba sendiri, mereka lebih faham apa perlu dibuat bila banjir datang,” katanya lagi. Program tersebut turut disertai oleh 50 JPKK dari seluruh DUN di daerah Besut termasuk Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh, Hulu Besut dan Jabi. Program anjuran peringkat daerah itu melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kelab Radio Amatur Besut (BESTRAC). Antara pengisian termasuk taklimat keselamatan air, demonstrasi teknik menyelamat dan CPR, latihan penggunaan radio amatur, dan pengenalan serta penyelenggaraan bot enjin sangkut.
14 Oct 25
34