KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menggesa Kerajaan Persekutuan menilai semula keutamaan perbelanjaan negara dengan menyalurkan peruntukan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang kepada pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman di Dewan Rakyat, Rosol mempersoalkan rasional perbelanjaan besar bagi projek LRT tersebut yang dianggarkan bernilai RM17 bilion.
“Setuju atau tidak Ahli Parlimen Bachok (Syahir Sulaiman) bahawa peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk LRT Pulau Pinang itu sepatutnya disalurkan kepada projek LPT3 bagi manfaat rakyat di negeri pantai timur?,” soal beliau.
Beliau turut menuntut penjelasan segera daripada pihak Kerajaan berhubung peruntukan besar di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), sambil menegaskan bahawa keutamaan pembangunan perlu diberikan kepada projek yang benar-benar mendesak dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Gesaan tersebut dibuat bagi memastikan projek LPT3 yang amat penting kepada ekonomi serta jaringan perhubungan di Pantai Timur dapat disegerakan pelaksanaannya.
Sebelum ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan besar dalam Belanjawan 2026 bagi projek LRT di Pulau Pinang, sedang LPT3 masih tiada perkembangan untuk disambung bina.