KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Program Terengganu Smart City Activation Day (TSCA) 2025 mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima penyertaan lebih 2,000 peserta serta lebih 31 pempamer daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan Bandar Pintar.
Program sehari suntuk yang berlangsung penuh meriah itu turut menampilkan pembentangan daripada syarikat dan pempamer terpilih mengenai pelbagai inisiatif Smart City yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.
Lebih bermakna, majlis turut menyaksikan penyerahan tiga lagi Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Majlis Daerah Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dengan penyerahan itu, kesemua tujuh PBT di Terengganu kini telah berjaya menyiapkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar masing-masing.
"Dua daripada PBT berkenaan telah pun menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala dua lagi sedang dalam proses penerimaan, dan tiga yang baharu menyerahkan pelan hari ini akan turut dihantar untuk pertimbangan pihak kementerian.
“Menariknya, tahun ini KPKT meningkatkan jumlah geran yang diberikan kepada PBT yang mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter daripada RM200,000 kepada RM400,000, dan berkemungkinan meningkat kepada RM600,000 pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, TSCA 2025 bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengalaman antara pihak berkuasa tempatan dan pemain industri, malah membuka ruang untuk menilai serta menyesuaikan pelaksanaan projek bandar pintar mengikut keperluan setempat.
“Keperluan bandar pintar tidak sama di setiap daerah. Contohnya, di Setiu, Besut dan Kuala Terengganu, fokusnya berbeza. Maka, pameran ini memberi peluang kepada PBT meneliti produk yang paling sesuai untuk diaplikasikan di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama pelaksanaan konsep Smart City bukan sekadar memperkenalkan teknologi canggih, tetapi memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada kemudahan dan sistem yang diperkenalkan.
“Apa yang penting ialah bagaimana teknologi pintar ini boleh memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
"Itulah matlamat sebenar agenda bandar pintar yang digerakkan kerajaan,” katanya.