KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan menjemput tokoh yang didakwanya mendukung rejim zalim ke negara ini.
Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan tokoh berkenaan sebagai 'syaitan besar' yang tidak sepatutnya diberikan ruang dalam negara ini, apatah lagi membawa pengaruh dari kerajaan yang dilaknat Allah SWT.
“Apa yang dilakukan kerajaan hari ini ibarat menjemput masuk ke negeri kita satu tokoh dari kerajaan yang disebut dalam hadis dan sejarah Islam sebagai negeri yang dilaknat Allah. Nabi SAW pun larang sahabat daripada singgah di tempat itu,” katanya merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad SAW melalui kawasan Madain Salih.
Beliau mengimbas bagaimana Nabi SAW pernah mengarahkan sahabat membuang air yang diambil dari telaga kawasan itu kerana ia berasal dari tempat yang dimurkai Allah.
Predisen PAS itu menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri dan bakal menggerakkan rakyat untuk membantah kehadiran tokoh terbabit dengan sekeras-kerasnya.
“Kami akan tegaskan bahawa rakyat mesti diperingatkan agar menolak tokoh yang menjadi alat kepada kezaliman dan kejahatan dunia,” tegas beliau.