KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Lautan manusia membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sempena Maulid Akbar Terengganu Berselawat, Solidariti Untuk Al-Aqsa, sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta tanda solidariti terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin merupakan tanggungjawab aqidah dan maruah umat Islam.
“Rakyat Terengganu sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin, menentang kezaliman rejim Zionis, serta menyumbang dalam apa jua bentuk sama ada melalui doa, infaq atau peranan masyarakat.
“Inilah makna sebenar Ukhuwwah Islamiyyah yang dituntut oleh Rasulullah SAW,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Maulid Akbar tersebut di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut Muhammad Khalil berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi diterjemah melalui amal, akhlak dan perjuangan.
"Kita semua beruntung dan bertuah pada malam ini kerana program kita dihadiri oleh tetamu istimewa yang datang beribu batu jauhnya, Al Habib Umar Hafidz yang sudi memeriahkan majlis malam ini menyampaikan tausiyah,” katanya.

Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ustaz Azhar Idrus, serta dua wira anak Terengganu yang menyertai Global Sumud Flotilla, iaitu Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan Asmawi Mukhtar, yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi kemanusiaan ke bumi Palestin, khususnya Gaza.
