Oleh : Ahmad Hilmi
BESUT, 14 Oktober – Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu menegaskan kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa ketika menghadapi bencana banjir agar keselamatan nyawa tidak terancam.
Beliau berkata, walaupun banjir tidak dapat dielakkan, langkah persediaan awal dan kepatuhan kepada amaran berpindah mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
"Tempat kita memang terdedah dengan risiko banjir setiap kali monsun tiba. Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan.
“Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan. Keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda,” tegasnya ketika menyampaikan amanat dalam Program Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot di Agro Darau, Hulu Besut, semalam.

Beliau menambah, keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda.
"Kami bersama agensi lain akan bantu jaga keselamatan dan keperluan penduduk,” katanya.
Justeru itu, melalui penganjuran ini, beliau berharap koordinasi antara agensi dan komuniti dapat diperkukuh demi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin apabila Monsun Timur Laut melanda hujung tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Tanah Merah, Mohamad Zu, menyambut baik penganjuran latihan tersebut kerana ia memberi pendedahan langsung kepada penduduk mengenai tindakan sewajarnya semasa banjir.
Beliau turut mencadangkan agar program sebegini diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak sesi latihan praktikal melibatkan agensi keselamatan.
“Kalau boleh, buat secara bersiri dan lebih banyak latihan praktikal di lapangan. Bila orang kampung tengok dan cuba sendiri, mereka lebih faham apa perlu dibuat bila banjir datang,” katanya lagi.

Program tersebut turut disertai oleh 50 JPKK dari seluruh DUN di daerah Besut termasuk Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh, Hulu Besut dan Jabi.
Program anjuran peringkat daerah itu melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kelab Radio Amatur Besut (BESTRAC).
Antara pengisian termasuk taklimat keselamatan air, demonstrasi teknik menyelamat dan CPR, latihan penggunaan radio amatur, dan pengenalan serta penyelenggaraan bot enjin sangkut.