DUNGUN, 15 Oktober – Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura terus menjadi platform utama dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, sesi bersemuka seperti ini memberi ruang kepada rakyat untuk meluahkan masalah dan pandangan mereka secara lebih terbuka serta mudah difahami.
“Kadang tidak semua masalah boleh diselesaikan atas kertas. Bila bersemuka, rakyat lebih senang meluahkan dan kita pun lebih mudah membantu atau memberi pandangan yang sesuai. Ada antara mereka sebenarnya hanya perlukan bimbingan atau panduan untuk menyelesaikan sesuatu urusan,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program berkenaan.

Menurut beliau, antara isu yang sering dikemukakan oleh penduduk ialah berhubung permohonan bantuan kebajikan, aduan kerosakan jalan, peluang pekerjaan, serta urusan pentadbiran berkaitan kesihatan, perumahan dan perniagaan kecil.
Katanya, tidak kurang juga peniaga kecil yang berkongsi cabaran mereka seperti kekurangan tapak niaga, kos operasi yang meningkat serta keperluan sokongan untuk memperluaskan perniagaan.
“Isu peniaga kecil ini juga penting kerana mereka sebahagian daripada nadi ekonomi tempatan. Bila mereka terjejas, tempiasnya dirasai oleh ramai,” jelas beliau.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga seorang doktor berpengalaman dalam bidang kesihatan awam berkata, pendekatan bersemuka turut membantu beliau memahami dengan lebih dekat keadaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kadang ada yang datang bukan semata nak adu masalah fizikal, tapi kerana tertekan dengan keadaan hidup. Di sinilah pentingnya kita hadir sebagai wakil rakyat, bukan sekadar mendengar, tapi cuba menenangkan dan mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya.
Program Hari Bertemu Pelanggan itu akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada komitmen Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk memastikan keperluan dan suara rakyat terus didengar serta diberi perhatian sewajarnya.