lightning-solid
Berita :
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Rohayati Ripin
15 Oct 25
298

Oleh : Nor Amira Amijudin

BESUT, 15 Oktober – Daerah Besut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 menerusi penganjuran Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot yang diadakan di Agro Darau, Hulu Besut, semalam.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta BESTRAC, di samping penglibatan kepimpinan komuniti dari seluruh daerah Besut.

Simulasi itu memberi fokus kepada latihan keselamatan air, teknik menyelamat, serta pengurusan kecemasan bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh tiba kelak.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu, pendekatan kesiapsiagaan awal amat penting bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat dilaksanakan sekiranya bencana berlaku.

 “Kita tak boleh elak banjir, tapi kita boleh bersedia menghadapinya,” katanya ketika ditemui selepas program

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, YB Mohd Husaimi Hussin, yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.

Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini wajar diteruskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap langkah-langkah keselamatan dan peranan masing-masing ketika menghadapi bencana.


Tag :

Artikel Berkaitan