KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas pendekatan kerajaan dalam menyalurkan bantuan bersyarat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menurutnya mengekang pilihan rakyat.
“Perikatan Nasional mahu membina semula kepercayaan rakyat melalui jaringan keselamatan sosial yang adil dan bermaruah. Kami akan rombak keseluruhan kerangka jaringan sosial, dan setiap bantuan mesti membawa makna keadilan sebenar,” tegas beliau dalam perbahasan Belanjawan 2026.
Beliau menyatakan, sekiranya Perikatan Nasional diberi peluang mentadbir, satu skim Bantuan Perhatian Nasional akan diperkenalkan dengan nilai sehingga RM6,000 setahun bagi isi rumah memerlukan tanpa syarat ketat dan kawalan terhadap perbelanjaan.
“Kita beri bantuan dan serahkan kepada rakyat untuk tentukan keperluan mereka, bukan sekat beli itu dan ini, kedai tertentu sahaja,” katanya.
Namun, perbahasan tersebut dicelah oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang menyuarakan kebimbangan kononnya bantuan tanpa kawalan akan disalahguna.
“Kalau rakyat guna beli rokok macam mana, Yang Berhormat?,” katanya mewakili pandangan kerajaan.
Hamzah membalas bahawa kenyataan sedemikian menunjukkan kerajaan bersikap buruk sangka terhadap rakyat sendiri.
“Kalau begitu, kerajaan menganggap rakyat ini tidak tahu mengurus wang sendiri,” tegas beliau.
Perbahasan tersebut mencerminkan pertembungan ideologi antara pendekatan bantuan bersyarat oleh kerajaan dan dasar terbuka berteraskan kepercayaan rakyat yang dibawa oleh Perikatan Nasional.