KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Terengganu terus memperkukuh kedudukan sebagai negeri pintar dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dan automasi melalui Program Terengganu Smart City and Automation 2025 (TSCA.25) yang berlangsung semalam.
Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri itu menjadi platform penting bagi mempamerkan pencapaian, menggalakkan kolaborasi serta menyorot impak positif inisiatif bandar pintar di bawah pelan Smart Terengganu 2040.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan program berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan negeri meletakkan Terengganu 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dalam menghadapi persaingan global era Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi pintar, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
“Program ini diharap dapat memberi gambaran jelas mengenai prestasi dan hala tuju Smart Terengganu 2040 agar terus relevan dan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan penutup program tersebut di Duyong Convention Centre, The Langit Marina Resort, di sini semalam.

Tambahnya, sejak pelaksanaan Smart Terengganu 2040, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk pengurusan bandar pintar, pembangunan ekosistem digital serta penglibatan aktif komuniti dalam agenda pendigitalan negeri.
"Program TSCA.25 turut menampilkan demonstrasi inovasi terkini serta menonjolkan kerjasama strategik antara pelbagai pihak, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memacu pembangunan pintar di Terengganu," ujarnya
Kerajaan Negeri turut menyeru masyarakat untuk terus menyokong serta mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat, memudahkan urusan harian dan memperkukuh ekonomi digital negeri.