lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PETRONAS Taja Lebih 650 Pelajar Cemerlang, Labur RM319 Juta
PETRONAS Taja Lebih 650 Pelajar Cemerlang, Labur RM319 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober– PETRONAS menaja lebih 650 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerusi program utamanya, Memperkasa Ilmu, dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini. Para penerima tajaan terdiri daripada pelajar pelbagai latar belakang yang akan melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal dan pemasaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta institusi terkemuka lain di dalam dan luar negara. Antara universiti luar negara yang menjadi pilihan ialah di United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Menurut kenyataan PETRONAS, proses pemilihan dijalankan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan di seluruh negara berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Majlis penyampaian tajaan disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, yang turut diiringi Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir. Bacho Pilong. Dalam ucapannya, Ruslan berkata tajaan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya peluang untuk para pelajar mengembangkan potensi diri serta menyumbang kembali kepada masyarakat. “Tajaan ini membuka peluang kepada anda untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dalam dan luar negara.  "Ia adalah peluang untuk mendalami ilmu dan melengkapkan diri bagi berbakti kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, PETRONAS memperuntukkan RM319 juta bagi menaja pelajar yang berkelayakan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat itu dalam membina ekosistem pendidikan yang kukuh serta menyediakan laluan ke arah peluang pekerjaan. Program Memperkasa Ilmu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS terhadap pembangunan modal insan negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, lebih 40,000 pelajar Malaysia telah menerima manfaat dengan jumlah pelaburan mencecah RM4.2 bilion. Inisiatif itu turut menyokong Agenda Kelestarian PETRONAS serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berilmu dan berdaya saing.  
05 Oct 25
194
Kerajaan Terengganu Hargai Usaha Pembebasan 23 Sukarelawan GSF
Kerajaan Terengganu Hargai Usaha Pembebasan 23 Sukarelawan GSF
KUALA NERUS, 5 Oktober – Kerajaan Terengganu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha berterusan sehingga membawa kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) dan ditahan oleh tentera Israel sejak Khamis lalu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menjadi tanggungjawab setiap negara untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya rakyat mereka berada atau ditahan di mana-mana tempat di seluruh dunia, bukan hanya di Israel, apabila sesuatu insiden berlaku. “Setiap negara bertanggungjawab mengambil langkah bagi menyelamatkan atau mengeluarkan rakyat mereka daripada tempat kejadian. “Ini pendekatan universal yang difahami oleh semua pihak, negara lain juga akan melakukan perkara yang sama. “Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memainkan peranan penting, dan kita sama-sama mendoakan agar semua yang terlibat selamat tiba di tanah air pada Isnin atau Selasa ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penahanan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF, selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan beberapa anak jati Terengganu yang turut menyertai misi bersejarah tersebut bagi membela nasib rakyat Palestin. “Ada beberapa orang daripada Negeri Terengganu termasuk NGO dan juga personaliti. “Alhamdulillah, mereka berada dalam keadaan sihat. Kita tunggu kepulangan mereka untuk mendengar sendiri kisah apa yang berlaku,” katanya.
05 Oct 25
115
Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
Terengganu Mampu Jadi Hab Inovasi Tempatan
DUNGUN, 4 Oktober - Negeri Terengganu mampu menjadi negeri yang kaya dengan inovasi sekiranya diuruskan dengan baik. Pengarah Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar menyatakan harapan itu ketika menyentuh isu penurunan minat pelajar bagi memasuki aliran sains. "Saya berpandangan, Terengganu memiliki modal insan yang besar dan saya lihat sebagai antara negeri yang boleh kembangkan inovasi. "Cuma, kerajaan negeri perlu lebih proaktif buka ruang dan peluang kerana anak-anak Terengganu bijak dan berkebolehan," katanya. Dr. Roslan menunjukkan alat cerapan UniSZA yang dipamerkan. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengendalikan Bicara STEM bertajuk Astronomi, Falak dan Alam Semesta dalam Sciences Journey Carnival STI Madani anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam. Selain bertindak sebagai panel dalam program tersebut, Dr. Roslan juga merupakan salah seorang daripada 100 saintis tempatan yang dilantik bagi Program STI 100 on Power of Three yang diketengahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pemerkasaan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).  Tambahnya, penganjuran karnival yang boleh dianggap 'pusat sains bergerak' itu merupakan langkah bijak bagi pembudayaan ilmu sains di kalangan masyarakat luar bandar. "Saya rasa PSKT telah berjaya menarik banyak institusi turun padang ke karnival ini dan ia menjadi titik permulaan. "Inilah peluang yang cukup baik dan perlu disokong. Program begini perlu dilakukan secara berkala dan mencapai daerah-daerah," katanya.
05 Oct 25
124
IIPM, UMT Perkasa Industri Kelulut Ke Arah Pembangunan Mampan
IIPM, UMT Perkasa Industri Kelulut Ke Arah Pembangunan Mampan
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Industri penternakan lebah kelulut dijangka menerima lonjakan baharu menerusi penganjuran Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Lebah Kelulut 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Hotel Permai. Program anjuran International Institute of Plantation Management (IIPM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk ahli akademik, penternak, penggiat industri, penyelidik, pelajar serta wakil agensi kerajaan dan swasta dari dalam serta luar negara. Bertemakan “Stingless Bee Industry: Towards Economic, Social and Environmental Sustainability”, persidangan edisi ketiga itu bertujuan memperkukuh pembangunan industri kelulut secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar. Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Luqman Ahmad,  berkata, industri kelulut mempunyai nilai strategik sebagai kesinambungan warisan tradisi di samping berpotensi menjana produk baharu, peluang pekerjaan dan pasaran antarabangsa. “Kementerian melihat industri kelulut sebagai sektor berpotensi besar dan komited menyokong pertumbuhannya melalui penyelidikan, inovasi, latihan serta peningkatan kualiti produk. Matlamatnya jelas  membina industri kelulut yang berdaya saing, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat serta alam sekitar,” katanya  ketika merasmikan program berkenaan. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohd Salmi Mohd Sohod, berkata industri kelulut bukan sahaja memberi impak terhadap sosioekonomi masyarakat malah turut menyumbang kepada ekopelancongan negara. “Lebah tanpa sengat berperanan penting dalam pendebungaan hutan dan tanaman yang memastikan keseimbangan ekosistem. Gabungan tunjang ekonomi, sosial dan alam sekitar bukan sahaja melindungi spesies ini tetapi turut membawa manfaat kepada masyarakat dan industri secara mampan,” katanya. Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan mendengar pembentangan daripada pakar industri dari Malaysia, Filipina dan Thailand termasuk wakil daripada MARDI, Jabatan Pertanian Malaysia, Boustead Plantations Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UMT sendiri. Antara pengisian utama ialah pertandingan Stingless Bees Challenge yang menampilkan kategori Invention, Innovation dan Design, bertujuan menggalakkan budaya inovasi serta memperkukuh jaringan antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri. Selain itu, ruang pameran disediakan bagi membolehkan agensi, syarikat dan usahawan memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkaitan industri kelulut. Pada 6 Oktober, peserta akan mengikuti lawatan teknikal ke Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya dan Pusat Penyelidikan Getah di Kampus UMT Bukit Kor, serta projek komuniti kelulut di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, bagi meninjau model penternakan bersepadu berasaskan komuniti. Penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem industri kelulut negara serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama penghasilan madu kelulut berkualiti tinggi di peringkat global.
05 Oct 25
120
EX5 Member 5.0 Raikan Keberanian Wira Sumud Flotilla
EX5 Member 5.0 Raikan Keberanian Wira Sumud Flotilla
KUALA NERUS, 4 Oktober – Program EX5 Member 5.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak hari ini bukan sahaja meriah dengan aktiviti permotoran, malah turut menjadi wadah untuk meraikan keberanian wira-wira Sumud Flotilla yang baru sahaja dibebaskan selepas ditahan oleh rejim Zionis. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata keberanian mereka menjadi simbol ketabahan rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan kemanusiaan buat rakyat Palestin. Katanya, kita bersyukur atas pembebasan semua wira Sumud Flotilla.  "Keberanian dan semangat juang mereka wajar dijadikan inspirasi untuk seluruh rakyat, khususnya anak muda agar terus menyemai nilai kemanusiaan dan solidariti. "Saya juga merakamkan penghargaan kepada Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Berhad serta semua pihak yang menjayakan penganjuran dua hari ini yang berlangsung dari 3 hingga 4 Oktober dengan tema ‘Jejak Hadir Ada Kenangan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program EX5 Member 5.0 bertempat di Litar Permotoran Gong Badak pada hari ini. Razali berkata penganjuran program tersebut bukan sahaja memperkukuh komuniti permotoran malah memberi impak ekonomi langsung kepada penduduk setempat. Katanya, dengan melalui peningkatan hasil kepada pengusaha homestay, penjaja kecil dan industri kreatif. “Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha yang menggabungkan elemen pelancongan, belia dan sukan bermotor. "Saya harap komuniti permotoran terus berkembang dalam suasana berhemah dan mematuhi undang-undang. "Terengganu kini terus muncul sebagai hab permotoran utama negara dengan penganjuran pelbagai acara berskala besar sepanjang tahun termasuk Terengganu International Bike Week, RXZ Members, dan JDM Fighter 2.0," ujarnya.  
04 Oct 25
8650
‘Masih Ada Yang Sayang’ Pulih hubungan Klien AADK Dengan Keluarga
‘Masih Ada Yang Sayang’ Pulih hubungan Klien AADK Dengan Keluarga
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Program Masih Ada Yang Sayang yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberi sinar baharu buat klien dengan mengembalikan semula hubungan mereka bersama keluarga. Program yang berlangsung menerusi kem pemulihan itu menekankan kepentingan sokongan sosial, khususnya daripada ahli keluarga, dalam mempercepatkan proses pemulihan serta mengurangkan risiko berulang (relapse). Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata ramai klien berhadapan dengan penolakan, hubungan renggang dan kehilangan sokongan keluarga selepas melalui episod penyalahgunaan dadah. Justeru itu katanya, inisiatif tersebut dicetuskan bagi memulihkan semula ikatan kekeluargaan yang terjejas. "Antara objektif utama program berkenaan ialah memberi kesedaran kepada ahli keluarga tentang peranan mereka dalam menyokong proses pemulihan klien, menyediakan ruang komunikasi yang sihat dan selamat, memperkuatkan kembali hubungan yang renggang serta meningkatkan motivasi klien untuk kekal bebas dadah. “Dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak, kita percaya matlamat ini dapat direalisasikan. Mari kita berganding bahu dan bergerak seiring demi masa depan yang lebih cerah,” katanya semasa merasmikan penutup program. Lebih kurang 50 peserta terpilih dari seluruh daerah bersama keluarga  menyertai kem tersebut yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Permai. Tambahnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin terhadap nasib peserta AADK dan menyokong usaha seperti ini sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat, dengan harapan mereka yang terjebak dapat kembali pulih, diterima masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada negeri. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kem itu, terutamanya para peserta yang menunjukkan komitmen penuh sepanjang program berlangsung.
04 Oct 25
68
55 Peserta Terima Hakmilik Tanah, 15 Terima Notis Borang 5A
55 Peserta Terima Hakmilik Tanah, 15 Terima Notis Borang 5A
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Seramai 55 peserta menerima Hakmilik Sementara manakala 15 lagi menerima Notis Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Bangunan Kediaman di DUN Cukai, Daerah Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, pemberian tanah ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyediakan penempatan yang teratur dan masa depan lebih baik untuk rakyat. "Kami berharap agar usaha murni ini akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, baru-baru ini. Menurutnya, inisiatif pemberian tanah kediaman ini adalah sebahagian daripada agenda berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa. “Semoga tanah yang diberikan ini menjadi asas kesejahteraan hidup dan menyumbang kepada kemajuan DUN Cukai khususnya, serta daerah Kemaman amnya,” katanya.
04 Oct 25
133
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
PSKT Bawa Sains Masuk Kampung
DUNGUN, 4 Oktober - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah proaktif membawa 'sains' menerobos kawasan luar bandar menerusi Science Journey Carnival STI Madani yang diadakan di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. Terkenal sebagai pusat transformasi yang berkaitan sains kreativiti tempatan yang bertempat di bandar, akses itu kini dapat dirasai pelajar-pelajar di desa. Menurut salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Ayer Putih, Mustafa Mohd Rafi, 26, peluang itu perlu dimanfaatkan pelajar dengan mencuba semua aktiviti kerana bukan mudah untuk memperolehi suasana sebegitu. Mustafa bersama sebahagian anak-anak muridnya  ​​​​mencuba aktivti yang disediakan. "Kita hendak bawa mereka ke PSKT pun jauh dan perlukan bajet yang banyak, jadi peluang agak terhad. "Di sini, anak-anak murid di luar bandar akan lebih terdedah dan boleh datang terokai sendiri. "Walaupun zaman ini zaman teknologi, masih ada sedikit jurang antara bandar dan luar bandar, tetapi dengan program sebegini membolehkan mereka belajar.  "Paling saya suka, tidak sangka ia meriah begini dengan kawasan agak kecil," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini. Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan bahawa program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan sains. "Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI). "Kalau diteruskan, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan," jelasnya. Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepda lima orang anak yang hadir di sini. Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti. "Tidak sangka PSKT buat begini, saya dapat makluman anak cakap ada sukaneka sahaja, yalah dari luar nampak kecil sahaja. "Program ini bagus dan molek, anak-anak boleh kenal tentang sains lagi, macam begini anak boleh rasa sendiri, buat kajian sains depan mata dia, dia boleh rasa pengalaman itu," tambahnya. Zulaikha bersama anak-anaknya di depan Dome Show. Berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Sciences Journey Carnival menawarkan aktiviti antaranya pertunjukan silap mata, projek Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pameran agensi, cerapan langit dan banyak lagi. Karnival diadakan bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang yang akan berakhir esok. Pelajar SK Durian Mas mencuba aktiviti yang disediakan Petrosains.  
04 Oct 25
112
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
DUNGUN, 3 Oktober - Masjid-masjid khususnya di Terengganu disarankan untuk mempertingkat aktiviti yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat. DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, aktiviti bersama anak seperti program bercerita serta program remaja seperti memanah dan lain-lain perlu diperbanyakkan. "Pengaruh masjid dalam masyarakat masa kini boleh dilihat dari segi inisiatif sosial dan aktiviti yang dilaksanakan seperti program kebajikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi. "Masjid juga menjadi pusat penyatuan melalui solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti sosial yang membentuk kekuatan dan kesatuan dalam masyarakat. Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai pusat kebajikan yang membantu golongan memerlukan. "Untuk itu, pengurusan yang efisien dan kerjasama antara komuniti dan pihak pengurusan masjid penting untuk memaksimakan potensi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera," titah Baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kampung Jongok Batu, di sini hari ini. Berdasarkan rekod, Masjid Kampung Jongok Batu merupakan salah sebuah daripada 51 buah masjid di daerah Dungun.  Bangunan asal masjid mula dibina pada tahun 1950an di atas tanah kerajaan berkeluasan 0.7901 ekar.  Bangunan separuh kekal itu berkeluasan 2,000 kaki persegi dan mampu menampung 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Namun, ekoran perkembangan semasa dan pertambahan penduduk, satu lot tanah kerajaan iaitu Lot PT 1832 telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan bangunan baru melibatkan keluasan keseluruhan tapak baru 0.9732 hektar (2.404 ekar) dengan kos pembinaan bernilai RM4.9 juta. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 27 Mac 2017 dan siap dibina sepenuhnya pada 5 Januari 2020.  Bangunan baru Masjid Kampung Jongok Batu mula diguna pakai pada Solat Maghrib 5 Mac 2020M dan Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 6 Mac 2020M bersamaan 11 Rejab 1441H.  Bangunan berkonsep moden ini dapat menampung kira-kira 500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Terbuka, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, Menara dan Wakaf Rehat.
03 Oct 25
127
Terengganu Beri Felda 40 Hari Selesai Isu Tanah 14,791 Hektar
Terengganu Beri Felda 40 Hari Selesai Isu Tanah 14,791 Hektar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memberi tempoh 40 hari kepada Felda untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah seluas 14,791 hektar yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak lebih 40 tahun lalu. Tanah berkenaan yang merupakan milik kerajaan negeri dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak 1985, sebelum diserahkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV) dan diisytiharkan sebagai aset syarikat itu di Bursa Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, Felda sudah menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut, namun hak kerajaan negeri tidak pernah diambil kira. “Malah tanah ini dipajak pula kepada FGV dan diisytiharkan di Bursa Malaysia sebagai aset FGV. Bagaimana tanah milik negeri boleh diisytiharkan sebagai aset mereka?.  “Kerajaan negeri sudah lama membuka ruang perbincangan tetapi tidak disambut dengan baik. Kini hanya ada dua pilihan – sama ada Felda beri hak rakyat Terengganu melalui bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan, atau kita bawa kes ini ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook. Menurut beliau, kerajaan negeri kini bersedia sepenuhnya sekiranya proses perundangan terpaksa ditempuh, walaupun ia memakan masa yang panjang. “Kami hadir ke Menara Felda Kuala Lumpur sebagai tuan tanah untuk menuntut hak, bukan memohon ehsan. Ruang tolak ansur sebelum ini kini diganti dengan ketegasan. “Tempoh 40 hari diberikan sehingga 29 November ini. Jika tiada penyelesaian, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya.
03 Oct 25
183