KUALA TERENGGANU, 5 Oktober– PETRONAS menaja lebih 650 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerusi program utamanya, Memperkasa Ilmu, dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
Para penerima tajaan terdiri daripada pelajar pelbagai latar belakang yang akan melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal dan pemasaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta institusi terkemuka lain di dalam dan luar negara.
Antara universiti luar negara yang menjadi pilihan ialah di United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Menurut kenyataan PETRONAS, proses pemilihan dijalankan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan di seluruh negara berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Majlis penyampaian tajaan disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, yang turut diiringi Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir. Bacho Pilong.
Dalam ucapannya, Ruslan berkata tajaan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya peluang untuk para pelajar mengembangkan potensi diri serta menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Tajaan ini membuka peluang kepada anda untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dalam dan luar negara.
"Ia adalah peluang untuk mendalami ilmu dan melengkapkan diri bagi berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, PETRONAS memperuntukkan RM319 juta bagi menaja pelajar yang berkelayakan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat itu dalam membina ekosistem pendidikan yang kukuh serta menyediakan laluan ke arah peluang pekerjaan.
Program Memperkasa Ilmu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS terhadap pembangunan modal insan negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, lebih 40,000 pelajar Malaysia telah menerima manfaat dengan jumlah pelaburan mencecah RM4.2 bilion.
Inisiatif itu turut menyokong Agenda Kelestarian PETRONAS serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berilmu dan berdaya saing.