KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memberi tempoh 40 hari kepada Felda untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah seluas 14,791 hektar yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak lebih 40 tahun lalu.
Tanah berkenaan yang merupakan milik kerajaan negeri dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak 1985, sebelum diserahkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV) dan diisytiharkan sebagai aset syarikat itu di Bursa Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, Felda sudah menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut, namun hak kerajaan negeri tidak pernah diambil kira.
“Malah tanah ini dipajak pula kepada FGV dan diisytiharkan di Bursa Malaysia sebagai aset FGV. Bagaimana tanah milik negeri boleh diisytiharkan sebagai aset mereka?.
“Kerajaan negeri sudah lama membuka ruang perbincangan tetapi tidak disambut dengan baik. Kini hanya ada dua pilihan – sama ada Felda beri hak rakyat Terengganu melalui bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan, atau kita bawa kes ini ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini bersedia sepenuhnya sekiranya proses perundangan terpaksa ditempuh, walaupun ia memakan masa yang panjang.
“Kami hadir ke Menara Felda Kuala Lumpur sebagai tuan tanah untuk menuntut hak, bukan memohon ehsan. Ruang tolak ansur sebelum ini kini diganti dengan ketegasan.
“Tempoh 40 hari diberikan sehingga 29 November ini. Jika tiada penyelesaian, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya.