lightning-solid
Berita :
Kerajaan Terengganu Hargai Usaha Pembebasan 23 Sukarelawan GSF
Kerajaan Terengganu Hargai Usaha Pembebasan 23 Sukarelawan GSF
Noraini Jusoh
05 Oct 25
113

KUALA NERUS, 5 Oktober – Kerajaan Terengganu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha berterusan sehingga membawa kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) dan ditahan oleh tentera Israel sejak Khamis lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menjadi tanggungjawab setiap negara untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya rakyat mereka berada atau ditahan di mana-mana tempat di seluruh dunia, bukan hanya di Israel, apabila sesuatu insiden berlaku.

“Setiap negara bertanggungjawab mengambil langkah bagi menyelamatkan atau mengeluarkan rakyat mereka daripada tempat kejadian.

“Ini pendekatan universal yang difahami oleh semua pihak, negara lain juga akan melakukan perkara yang sama.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memainkan peranan penting, dan kita sama-sama mendoakan agar semua yang terlibat selamat tiba di tanah air pada Isnin atau Selasa ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penahanan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF, selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan beberapa anak jati Terengganu yang turut menyertai misi bersejarah tersebut bagi membela nasib rakyat Palestin.

“Ada beberapa orang daripada Negeri Terengganu termasuk NGO dan juga personaliti.

“Alhamdulillah, mereka berada dalam keadaan sihat. Kita tunggu kepulangan mereka untuk mendengar sendiri kisah apa yang berlaku,” katanya.


Artikel Berkaitan