Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Desak Campur Tangan Antarabangsa Pastikan Peserta GSF Selamat
MARANG, 2 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel serta mendesak campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi membela aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), selepas sebahagian mereka dilaporkan ditahan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang telah berlarutan sejak 1948.
“Zionis Israel mesti dikenakan tindakan antarabangsa. Mereka berkali-kali melakukan pelanggaran terhadap undang-undang dan hak asasi manusia.
“Terengganu akan lakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita, sama ada ceramah, doa, solat hajat, perhimpunan atau demonstrasi sebagai tanda solidariti dan bentuk tekanan,” tegasnya ketika ditemui selepas Himpunan Solidariti Palestin dan GSF di Rusila, hari ini.
Dalam masa yang sama menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JHEAT mengarahkan solat hajat serentak di lebih 500 masjid seluruh Terengganu selepas solat Jumaat, manakala negeri-negeri lain dalam blok SG4 (Kelantan, Kedah dan Perlis) turut mengambil inisiatif sama.
Dr. Khalil turut memaklumkan bahawa teks khutbah Jumaat di negeri-negeri berkenaan akan menyentuh isu Palestin dan perjuangan flotilla sebagai usaha menyemarakkan kesedaran rakyat.
Terdahulu, lebih 5,000 peserta berhimpun di hadapan Masjid Rusila petang tadi dalam acara Himpunan dan Flashmob Solidariti Sumud Flotilla, yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Dr. Khalil, operasi GSF disertai aktivis dari seluruh dunia termasuk anak Terengganu yang berada dalam misi berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia berhak menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini.
“Negara kita demokrasi. Rakyat berhak menyatakan pendirian bahawa Trump tidak wajar diterima, kerana beliau jelas sekutu rapat Zionis,” ujarnya.
02 Oct 25
80
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
SETIU, 2 Oktober - Bermula dari sebuah gerai kopi kecil di Pantai Kampung Mangkok, dua anak muda, Rabiatull Adawiyyah Mohd Kahar dan Nur Nadirah Mat Yunus, masing-masing berusia 23 tahun, kini mengimpikan untuk membawa jenama SNA Coffee sebaris dengan jenama-jenama kopi terkenal di pasaran.
Pengusaha, Rabiatull Adawiyyah, berkata gerai mereka mula beroperasi tiga bulan lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi dan pencuci mulut.
"Kami memulakan gerai jualan kopi sebelah petang dengan pelbagai jenis kopi berperisa antaranya americano, latte, caramel macchiato, chocolate dan minuman berasaskan soda dan yogurt.
"Selain minuman berasaskan kopi, kita juga ada makanan lain seperti kek batik, kek coklat, chicken tender, kerabu maggi dan vietnam rolls," katanya.
Menurut beliau, harga ditawarkan antara RM7 hingga RM11 mengikut jenis minuman, dan sambutan pelanggan semakin menggalakkan.
"Harga bagi setiap cawan kopi bermula RM7.00 hingga RM11.00.
"Purata jualan pada hari biasa sekitar 30 hingga 50 cawan dan meningkat sehingga 80 cawan pada hari minggu," jelasnya.
Rabiatull berkata mereka bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai tetap yang lebih selesa dan strategik.
"Insya-Allah suatu hari nanti jika diizinkan, kami bercadang untuk membuka kedai yang lebih selesa.
"Orang ramai boleh menikmati kopi dengan suasana angin pantai," ujarnya.
02 Oct 25
183
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
MARANG, 2 Oktober — Kira-kira 2,000 rakyat Terengganu berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Rusila petang ini sempena Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla bagi menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam kezaliman rejim zionis Israel.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin berlaku dengan sokongan terang-terangan kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat.
“Mereka menipu untuk melindungi Israel. Mereka ini syaitan besar, termasuklah Donald Trump — itu syaitan besar,” tegas beliau di hadapan ribuan hadirin yang menyambut ucapan itu dengan takbir.
Beliau turut mengecam tindakan menggoda rakyat Palestin dengan habuan kewangan yang besar, hanya untuk menggadaikan tanah air mereka.
“Mereka menggoda rakyat Palestin dengan duit. Sanggup beri berapa triliun kepada orang Palestin, masyarakat orang Palestin,” ujarnya.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Himpunan ini mencerminkan kebersamaan rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, dalam solidariti kemanusiaan sejagat terhadap perjuangan membebaskan Palestin.
02 Oct 25
87
Buluh Berpotensi Jadi Pemangkin Industri Baharu Negara
HULU TERENGGANU, 2 Oktober– Kerajaan melihat perladangan buluh sebagai satu sektor baharu yang berpotensi tinggi untuk menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pasaran eksport buluh global terus berkembang apabila nilainya dijangka meningkat daripada AS$70.78 bilion (RM299.43 bilion) pada 2024 kepada AS$74.26 bilion (RM314.16 bilion) pada tahun ini.
Menurut beliau, kelebihan Malaysia yang mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 spesies tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Buluh Malaysia unik kerana kadar tumbesarannya cepat, mempunyai kekuatan mekanikal serta tahan lama. Potensi ini boleh dikembangkan dalam pelbagai sektor seperti perabot, papan, pembinaan, makanan, tekstil, arang dan kraftangan selain menyokong industri perkayuan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan World Bamboo Day (WBD) Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di sini, hari ini.
Chan Foong Hin menjelaskan, pada tahun lalu industri perkayuan negara menyumbang RM22.92 bilion kepada sektor agrikomoditi, dengan produk berasaskan buluh mencatatkan nilai eksport sebanyak RM18.91 juta.
"Walaupun angka tersebut sedikit menurun berbanding 2023, prospek permintaan global terhadap buluh kekal positif," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus memperkukuh pembangunan industri buluh dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi teknologi, latihan, penghasilan produk bernilai tambah serta penglibatan masyarakat luar bandar.
“Kerajaan juga melaksanakan Projek Pembangunan Community Farming Buluh (PPCFB) yang merangkumi kawasan seluas 135.4 hektar dengan sokongan berupa anak pokok, baja serta latihan kepada peserta. Inisiatif ini penting agar manfaat industri buluh dapat dirasai hingga ke peringkat komuniti akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, MTIB bersama TTITC turut membangunkan Model Ladang Buluh seluas 15 hektar di Hulu Terengganu sebagai pusat kajian, latihan, penyelidikan dan eko-pelancongan.
Antara spesies komersial utama yang ditanam ialah Betung, Madu dan Semantan.
Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang Sambutan WBD Malaysia 2025 bermula 30 September hingga 2 Oktober termasuk kursus asas tanaman buluh secara ladang, pameran, pertukaran MoU serta jualan produk berasaskan buluh.
02 Oct 25
137
Tarif Air : Kerajaan Terengganu Beri Subsidi Sehingga 30 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan Negeri mengumumkan akan menanggung subsidi bil air dengan nilai RM24 juta setahun bagi meringankan beban rakyat susulan pelarasan kadar tarif baharu oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Oktober lalu selepas mengambil kira peruntukan Seksyen 84(2)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] serta meneliti kesan langsung terhadap rakyat, khususnya pengguna domestik.
Menurutnya, subsidi itu melibatkan pengguna domestik Band 2 dan Band 3, dengan pelaksanaan bermula bagi bil air bulan November 2025.
“Kerajaan Negeri bersetuju menanggung subsidi bil air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik Band 2 yang menggunakan antara 21 hingga 35 meter padu sebulan, manakala subsidi sebanyak 15 peratus diberikan kepada pengguna domestik Band 3 dengan penggunaan melebihi 35 meter padu.
“Pengguna domestik bagi kategori Band 2 berjumlah sebanyak 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 2, manakala pengguna domestik kategori Band 3 berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 3 mereka.” katanya dalam satu kenyataan.
Dato’ Nara Setia menegaskan, keputusan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus membela rakyat dalam mendepani kos sara hidup, tanpa menjejaskan kelangsungan SATU dalam membekalkan air bersih dan berkualiti.
“Subsidi ini mewujudkan situasi menang-menang, rakyat menikmati bil air lebih rendah, sementara SATU mampu terus beroperasi secara mampan,” katanya.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri yakin rakyat Terengganu akan terus dapat menikmati bekalan air yang mampu milik, stabil dan berkualiti, seiring dengan hasrat menjadikan negeri ini lebih Maju, Berkat dan Sejahtera.
02 Oct 25
543
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini.
Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda.
Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail.
Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan.
Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya.
Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.
02 Oct 25
1388
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh.
Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin.
Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu
Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum.
"Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.
"Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.
"Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi.
"Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan.
"AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya.
I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman.
Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di laman sesawang Youtube
"I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.
"I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran.
Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas.
Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
9
Suri Rumah Bukan Penjaga Rumah Semata-mata
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Suri rumah bukan lagi dilihat sekadar penjaga rumah tangga, sebaliknya merupakan tulang belakang keluarga dan pemacu pembangunan masyarakat.
Justeru itu, Simposium Suri Sejahtera 2025 yang bakal berlangsung pada 11 Oktober ini di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Watiqhu Billah, Kuala Nerus menjadi platform penting untuk memperkasakan golongan suri melalui perkongsian ilmu, motivasi dan peluang ekonomi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,Pembagunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Negeri, Zuraida Mohd Noor, berkata simposium julung kali itu memberi ruang kepada suri rumah Terengganu meluahkan pandangan dan mengemukakan harapan agar kerajaan negeri menyediakan sokongan lebih menyeluruh terhadap mereka.
“Berdasarkan kajian, 57 peratus wanita Terengganu adalah suri rumah. Mereka istimewa, bukan suri biasa-biasa.
“Simposium ini akan mendedahkan mereka kepada pengurusan diri, kesihatan mental, kewangan keluarga dan peluang jana pendapatan seperti perniagaan atas talian serta kerja sambilan,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika bual bicara bersama Manis FM, pada semalam.
Menurut beliau, stigma bahawa suri rumah tidak menyumbang kepada masyarakat perlu dihapuskan, sebaliknya mereka wajar diberi pengiktirafan sebagai pendidik utama dalam keluarga serta penyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Bertemakan 'Suri Hebat, Suri Mandiri', program itu menghimpunkan barisan pakar dan profesional untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan kebajikan suri rumah, termasuk tekanan ekonomi, keseimbangan peranan dan peluang bantuan kerajaan serta NGO.
Selain itu, satu resolusi bersama akan diangkat sebagai suara suri Terengganu demi memastikan mereka terus mendapat sokongan dalam pendidikan, kemahiran dan peluang ekonomi.
02 Oct 25
60
26 Pensyarah UMT Disenarai Saintis Terbaik Dunia
KUALA NERUS, 2 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengharumkan nama negara apabila seramai 26 pensyarahnya tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025 hasil penilaian Universiti Stanford bersama penerbit akademik terkemuka Elsevier dari Amerika Syarikat.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pengiktirafan itu diumumkan melalui laporan Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators versi kelapan yang menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan.
Menurutnya, tujuh pensyarah UMT diiktiraf dalam Kategori Sepanjang Kerjaya, manakala 19 lagi dalam Kategori Setahun 2024.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global, selain satu penghormatan besar kepada universiti.
“Ia juga menjadi bukti sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan kejayaan tersebut selaras dengan usaha UMT memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia.
“UMT amat berbangga kerana saintis kami mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia,” jelasnya.
02 Oct 25
112
12 Sukarelawan Malaysia Ditahan, 5 Lagi Hilang Kontak
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Detik cemas! Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza, pagi tadi.
Setakat jam 10 pagi, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan identiti mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta selebriti Zizi Kirana di kapal Huga.
Turut sama ditahan, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi di kapal Sirius manakala Danish dan personaliti media sosial, Farah Lee di kapal Grande Blu. Penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah pula menaiki kapal Hio.
Namun, lima lagi sukarelawan tempatan kini hilang kontak selepas berada di atas kapal Estrella iaitu pendakwah bebas PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman, selain pelakon Ardell yang menaiki kapal Mikeno.
Difahamkan, 12 sukarelawan yang ditahan sempat menghantar mesej SOS kecemasan melalui media sosial Sumud Nusantara sebelum komunikasi mereka terputus.
Secara keseluruhan, 23 rakyat Malaysia terbabit dalam misi flotilla itu yang berlayar menuju Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan awal pagi tadi, SNCC mengesahkan kapal GSF dipintas di perairan antarabangsa sekitar jam 2.03 pagi waktu Malaysia.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Israel dalam kenyataannya menuduh konvoi berkenaan sebagai provokasi dan mengarahkan ia mengubah haluan. Tentera Laut Israel turut memberi amaran konvoi itu memasuki zon pertempuran aktif selain mendakwa sekatan laut yang dikenakan adalah sah.
Israel turut menegaskan hanya mereka dibenarkan menghantar bantuan terus ke Gaza tanpa melibatkan mana-mana konvoi antarabangsa.
02 Oct 25
76