lightning-solid
Berita :
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
Mohd Irsyadi Abu Bakar
03 Oct 25
125

DUNGUN, 3 Oktober - Masjid-masjid khususnya di Terengganu disarankan untuk mempertingkat aktiviti yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat.

DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, aktiviti bersama anak seperti program bercerita serta program remaja seperti memanah dan lain-lain perlu diperbanyakkan.

"Pengaruh masjid dalam masyarakat masa kini boleh dilihat dari segi inisiatif sosial dan aktiviti yang dilaksanakan seperti program kebajikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi.

"Masjid juga menjadi pusat penyatuan melalui solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti sosial yang membentuk kekuatan dan kesatuan dalam masyarakat. Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai pusat kebajikan yang membantu golongan memerlukan.

"Untuk itu, pengurusan yang efisien dan kerjasama antara komuniti dan pihak pengurusan masjid penting untuk memaksimakan potensi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kampung Jongok Batu, di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, Masjid Kampung Jongok Batu merupakan salah sebuah daripada 51 buah masjid di daerah Dungun. 

Bangunan asal masjid mula dibina pada tahun 1950an di atas tanah kerajaan berkeluasan 0.7901 ekar. 

Bangunan separuh kekal itu berkeluasan 2,000 kaki persegi dan mampu menampung 200 orang jemaah pada satu-satu masa.

Namun, ekoran perkembangan semasa dan pertambahan penduduk, satu lot tanah kerajaan iaitu Lot PT 1832 telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan bangunan baru melibatkan keluasan keseluruhan tapak baru 0.9732 hektar (2.404 ekar) dengan kos pembinaan bernilai RM4.9 juta.

Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 27 Mac 2017 dan siap dibina sepenuhnya pada 5 Januari 2020. 

Bangunan baru Masjid Kampung Jongok Batu mula diguna pakai pada Solat Maghrib 5 Mac 2020M dan Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 6 Mac 2020M bersamaan 11 Rejab 1441H. 

Bangunan berkonsep moden ini dapat menampung kira-kira 500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Terbuka, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, Menara dan Wakaf Rehat.


Tag :

Artikel Berkaitan