KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Program Masih Ada Yang Sayang yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberi sinar baharu buat klien dengan mengembalikan semula hubungan mereka bersama keluarga.
Program yang berlangsung menerusi kem pemulihan itu menekankan kepentingan sokongan sosial, khususnya daripada ahli keluarga, dalam mempercepatkan proses pemulihan serta mengurangkan risiko berulang (relapse).
Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata ramai klien berhadapan dengan penolakan, hubungan renggang dan kehilangan sokongan keluarga selepas melalui episod penyalahgunaan dadah.
Justeru itu katanya, inisiatif tersebut dicetuskan bagi memulihkan semula ikatan kekeluargaan yang terjejas.
"Antara objektif utama program berkenaan ialah memberi kesedaran kepada ahli keluarga tentang peranan mereka dalam menyokong proses pemulihan klien, menyediakan ruang komunikasi yang sihat dan selamat, memperkuatkan kembali hubungan yang renggang serta meningkatkan motivasi klien untuk kekal bebas dadah.
“Dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak, kita percaya matlamat ini dapat direalisasikan. Mari kita berganding bahu dan bergerak seiring demi masa depan yang lebih cerah,” katanya semasa merasmikan penutup program.
Lebih kurang 50 peserta terpilih dari seluruh daerah bersama keluarga menyertai kem tersebut yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Permai.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin terhadap nasib peserta AADK dan menyokong usaha seperti ini sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat, dengan harapan mereka yang terjebak dapat kembali pulih, diterima masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada negeri.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kem itu, terutamanya para peserta yang menunjukkan komitmen penuh sepanjang program berlangsung.