KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Industri penternakan lebah kelulut dijangka menerima lonjakan baharu menerusi penganjuran Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Lebah Kelulut 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Hotel Permai.
Program anjuran International Institute of Plantation Management (IIPM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk ahli akademik, penternak, penggiat industri, penyelidik, pelajar serta wakil agensi kerajaan dan swasta dari dalam serta luar negara.
Bertemakan “Stingless Bee Industry: Towards Economic, Social and Environmental Sustainability”, persidangan edisi ketiga itu bertujuan memperkukuh pembangunan industri kelulut secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Luqman Ahmad, berkata, industri kelulut mempunyai nilai strategik sebagai kesinambungan warisan tradisi di samping berpotensi menjana produk baharu, peluang pekerjaan dan pasaran antarabangsa.
“Kementerian melihat industri kelulut sebagai sektor berpotensi besar dan komited menyokong pertumbuhannya melalui penyelidikan, inovasi, latihan serta peningkatan kualiti produk. Matlamatnya jelas membina industri kelulut yang berdaya saing, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat serta alam sekitar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohd Salmi Mohd Sohod, berkata industri kelulut bukan sahaja memberi impak terhadap sosioekonomi masyarakat malah turut menyumbang kepada ekopelancongan negara.
“Lebah tanpa sengat berperanan penting dalam pendebungaan hutan dan tanaman yang memastikan keseimbangan ekosistem. Gabungan tunjang ekonomi, sosial dan alam sekitar bukan sahaja melindungi spesies ini tetapi turut membawa manfaat kepada masyarakat dan industri secara mampan,” katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan mendengar pembentangan daripada pakar industri dari Malaysia, Filipina dan Thailand termasuk wakil daripada MARDI, Jabatan Pertanian Malaysia, Boustead Plantations Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UMT sendiri.
Antara pengisian utama ialah pertandingan Stingless Bees Challenge yang menampilkan kategori Invention, Innovation dan Design, bertujuan menggalakkan budaya inovasi serta memperkukuh jaringan antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri.
Selain itu, ruang pameran disediakan bagi membolehkan agensi, syarikat dan usahawan memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkaitan industri kelulut.
Pada 6 Oktober, peserta akan mengikuti lawatan teknikal ke Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya dan Pusat Penyelidikan Getah di Kampus UMT Bukit Kor, serta projek komuniti kelulut di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, bagi meninjau model penternakan bersepadu berasaskan komuniti.
Penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem industri kelulut negara serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama penghasilan madu kelulut berkualiti tinggi di peringkat global.